Sunday, December 12, 2010

Akhirnya rak baru!


Alhamdulillah....niat untuk punyai rak baru tercapai akhirnya. Rak di bawah tangga. Tapi buku masih belum penuh lagi!

Monday, November 22, 2010

ISRAEL - Kubur akhir mereka

Mula-mula teragak-agak untuk membeli buku ini. Walaupun tajuknya begitu pantas memaut hati ini - Saving Israel: How the Jewish People Can Win a War That May Never End (oleh Daniel Gordis). Teragak-agak kerana takut pengaruh buku itu menggoncang kepercayaan. Dan kebencian terhadap bangsa Yahudi yang dilaknat Allah ini memang tak pernah luntur.

Namun, apabila berjaya memujuk hati, buku ini dibeli. Dibaca. Dinilai.

Ya, tentunya ia ditulis oleh seorang Yahudi. Malah buku ini dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama untuk National Jewish Book Awards.

Ya, memang ada bias. Sememangnya bias kepada Yahudi dan Israel. Islam dan Palestin digambarkan begitu buruk - sebagai pengganas. Ya, penulisnya juga menggambarkan perjuangan membentuk negara Israel adalah begitu 'mulia'.

Tetapi di sebalik segala tulisan yang sememangnya amat diketahui akan lebih memihak kepada mereka dengan memburukkan Islam dan Palestin, terdapat juga satu kejujuran yang mungkin kita ketahui.

Bahawa, remaja Yahudi di Israel sekarang sudah mulai mempersoalkan kewujudan Israel dan kezaliman terhadap orang-orang Palestin. Ya, mungkin ini satu bentuk propaganda penulis untuk menghalalkan segala perancangan mereka.

Namun begitu, sepanjang pembacaan saya ini saya dapati penulisnya begitu risau dengan keadaan tersebut. Maka, beberapa cadangan disuarakan. Mengenai pentingnya mempelajari sejarah (ya, sejarah juga boleh dimanipulasikan untuk kepentingan mereka).

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mengenali mereka di Israel. Bukannya untuk bersimpati dengan 'perjuangan' mereka, sebaliknya sebagai satu kefahaman untuk berdakwah. Ya, bukannya mudah. Al-Quran sendiri banyak menceritakan bagaimana bangsa ini dimuliakan Allah satu ketika dahulu, tetapi disebabkan oleh perangai bangsa itu sendiri jugalah mereka menjadi bangsa yang terhina!

Cuma, teori saya, sekiranya mereka dapat didekati dan didakwah, dengan berkat hidayah yang Allah berikan, mereka mungkin dapat diselamatkan. Bukankah Islam itu menyelamat?

Juga saya berteori, tentang apabila tibanya Imam Mahdi dan Nabi Isa turun ke bumi, kiamat nanti, untuk membunuh Yahudi, adakah ia lebih mudah apabila semua bangsa itu dikumpulkan di satu tempat? Iaitu - ISRAEL?

Sebenarnya negara yang mereka inginkan, tubuhkan dan makmurkan itu adalah juga kubur mereka akhir nanti. Dan akhirnya Yahudi tidak akan pernah dapat sebidang tanah pun di muka bumi ini selama-lamanya- seperti yang telah termaktub dalam sejarah!

Tuesday, October 5, 2010

Sedang baca Armagedon 2012

Buku terbaru tulisan Muhammad Alexander; Armagedon 2012 Bencana Akhir Zaman sedang diulit.

Terpaksa saya tinggalkan sekejap beberapa buah buku yang sedang dibaca: Mein Kampf, Alfatihah: menyusun struktur perasaan dan fikiran insan (buku ini hilang sebelum sempat habis bacanya), Illuminations: essays and reflections (agak membosankan), dan A class with Drucker (buku yang menarik - tetapi entah mengapa ditinggalkan sepi di rak).

Saya terpanggil untuk membaca 2012 ini kerana pengarangnya, dan juga kerana isinya. Mahu mengetahui lebih lanjut perbahasan mengenai 2012 yang dikatakan akan kiamat, dan hujah mengenai kiamat (yang pasti akan berlaku satu hari nanti).

Kebiasaannya saya akan menolak semua buku yang sedang dibaca apabila saya perlu menghabiskan buku yang amat saya minati. Pada mulanya mahu disimpan dahulu 2012 ini sebagai wishlist atas himpunan buku-buku saya, tapi nafsu baca saya tidak dapat dibendung. Mulanya agak rasa bersalah apabila terpaksa meninggalkan 4 buah buku yang sedang dibaca, tetapi apabila akal dan hati memberontak, terpaksa juga diikutkan rasa hati untuk membelek dan terus membaca 2012 hingga habis.

Insya Allah, akan diulas lagi tentang 2012.

Aktiviti perbukuan September

Alhamdulillah....selesai sudah Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-4 (2010) yang berjaya dianjurkan ITNM dengan kerjasama Komuniti Bukuonline.

Dikhabarkan seramai lebih 180 pencinta buku dihimpunkan di ITNM. Tema untuk tahun ini, yang berkaitan dengan penterjemahan, nampaknya berjaya menarik minat para pencinta buku. Beberapa kenalan yang sejak dari tahun 2006 (Seminar Pencinta Buku Malaysia yang pertama) juga nampaknya masih setia untuk menghadiri siri seminar ini.

Amat diharapkan hasil daripada seminar ini dapat menjadi satu pemangkin baru dalam gelombang pembacaan di Malaysia. Ada juga teman-teman dari Baca@LRT yang sama-sama hadir untuk memberikan sokongan padu kepada Komuniti Bukuonline.

Sehari selepas itu pula, saya diminta oleh pihak UiTM untuk menjadi moderator kepada program Wacana Malaysia Membaca yang membariskan ahli-ahli panel yang tidak asing lagi bagi pencinta kritikan filem - A. Wahab Hamzah dan Ku Seman.

Satu pengalaman yang amat berharga apabila dapat berkongsi fikiran dan mendapat ilmu baru dalam memperkatakan hubungan akrab antara buku dan filem.

Tuesday, September 21, 2010

Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 (keempat)

INI ADALAH ENTRY PENGUMUMAN. UNTUK ENTRY TERKINI, SILA KE BAWAH.


Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Komuniti Bukuonline akan menganjurkan Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 pada 21 September 2010, di Wisma ITNM. Ia adalah seminar yang keempat dianjurkan oleh Komuniti Bukuonline dalam siri Seminar Pencinta Buku Malaysia.

Maklumat lanjut boleh dilayari di http://www.itnm.com.my/events/seminar_pencinta_buku_malaysia_2010/

Mohon kerjasama semua blogger pencinta buku untuk mewar-warkan seminar ini.

Tuesday, September 14, 2010

Sedang baca Mein Kampf

Mein Kampf atau My Struggle ditulis oleh Adolf Hitler semasa beliau dipenjarakan. Sebenarnya Mein Kampf adalah siri buku yang ditulis oleh Hitler iaitu sebanyak 3 jilid. Namun, hanya 2 jilid sahaja yang diterbitkan.

Mein Kampf sebenarnya merupakan sebuah buku autobiografi Hitler. Walaupun Hitler dikenali (Barat) sebagai seorang yang zalim (apabila membunuh jutaan Yahudi), beliau merupakan seorang pemikir nasionalis yang berzaman.

Menerusi Mein Kampf, saya dapat mengenali hati budi Hitler, yang juga seorang biblioholist. Sifatnya amat berlainan daripada apa yang digambarkan oleh Barat. Sebagai seorang pencinta seni (terutamanya lukisan dan teater), Hitler lebih bersifat manusia. Cuma bezanya beliau terlalu obses dengan bangsanya.

Itupun disebabkan oleh tekanan daripada bangsa-bangsa lain seperti bangsa Yahudi yang amat dibenci Hitler.

Mungkinkah Dilema Melayu boleh dilabelkan sama seperti Mein Kampf?

Thursday, September 2, 2010

Budaya Inovasi

Buku 'Budaya Inovasi' ini adalah himpunan (dan penulisan semula) Prof Zaini Ujang, yang pernah tersiar di Berita Harian.

Buku ini amat bermakna bagi saya kerana:

Pertamanya, penulisnya (Zaini Ujang) pernah menjadi jiran saya.

Keduanya, Zaini Ujang merupakan alumni UTM (begitu juga saya) yang kini menjadi NC UTM.

Ketiganya. Zaini Ujang menjadi idola saya ketika saya masih bergelar mahasiswa. Banyak tulisan beliau yang disiarkan di akhbar menjadi keratan-keratan yang disimpan rapi dalam fail bacaan.

Keempatnya. Tulisan Zaini Ujang yang berkisar mengenai alam sekitar dan pengurusannya amat rapat dengan minat dan kajian saya sekarang.

Malah, apabila selesai membaca buku ini, ada beberapa idea Prof yang dapat membantu saya menyiapkan disertasi PhD saya; misalnya Minda Lestari, Inovasi, Kreativiti. Ia dapat memberi ilham kepada saya untuk meneruskan perjuangan ideanya.

Walaupun buku ini merupakan himpunan rencana beliau yang pernah terbit di Berita Harian, namun uniknya buku ini adalah kerana setiap rencana itu dikemaskini dan dipanjanglebarkan penerangannya menerusi footnote.

Sunday, August 29, 2010

Buku-buku di hujung bulan



Seperti biasa, pada setiap hujung bulan, aktiviti berpeleseran di kedai buku bersama keluarga. Membeli buku pilihan masing-masing.

Tiga buah buku yang saya beli untuk diri sendiri:
  1. Budaya Inovasi: Prasyarat Model Baru Ekonomi (Zaini Ujang)
  2. Mein Kampf (Hitler)
  3. India: A histroy (John Keay)

Saturday, August 28, 2010

Illuminations


Sedang baca Illuminations oleh Walter Benjamin. Sebuah buku lama, diterjemahkan dari bahasa German ke English.

Ia adalah sebuah buku koleksi tulisan Benjamin, yang banyak menulis mengenai hal-hal perbukuan, perpustakaan, falsafah dan kritikan.

Monday, August 23, 2010

Kembara Dr. Farish

Selesai membaca tulisan Dr. Farish - Qur'an and Cricket. Saya secara sedar dan jujur, tidak begitu mengenali Farish, walaupun banyak tulisan beliau di akhbar dan majalah. Saya juga sering dimomokkan dengan persepsi yang negatif terhadap beliau. Malah, secara peribadi, saya tidak mengenali beliau.

Namun, apabila selesai membaca bukunya ini, saya mulai berminat untuk mengikuti pemikiran beliau dengan lebih mendalam. Saya tahu, ada beberapa buah buku beliau yang ada di pasaran pernah melekat di tangan saya, tetapi tidak terniat untuk membelinya.

Tetapi, apabila membaca Qur'an dan Cricket, saya mendapat satu pandangan yang agak berlainan tentang Farish. Walaupun secara jujurnya, saya tidak begitu setuju dengan tajuk buku itu, tetapi pengembaraan akademik dan jasad Farish ke serata dunia Islam, terutamanya ke madarasah-madrasah begitu mengujakan saya.

Mungkin kerana salah-satu faktornya sebelum membaca buku ini, saya telah membaca Three Cups of Tea di mana Mortenson telah mendakwa bahawa kewujudan madrasah yang tiba-tiba banyak dibangunkan di Pakistan-Afghanistan itu sebagai satu melapetaka kepada tamadun manusia kerana didakwa ia adalah sarang terorisme.

Nah! Apabila membaca tulisan Farish dalam kembaranya ke madrasah di Pakistan-Afghanistan-Indonesia-Thailand, saya dapat melihat dari kaca mata seorang Muslim (ya, yang berpendidikan barat - sekular seperti mana yang diakui oleh Farish sendiri) mengenai peranan madrasah yang sebenarnya.

Secara jujurnya, langsai membaca buku ini mengujakan saya untuk turut memulakan pengembaraan akademik ke dunia yang selama ini dimomokkan oleh Barat sebagai merbahaya dan jauh dari pembangunan.

Saya ingin mengembara!!

Wednesday, August 18, 2010

Sedang baca Farish A Noor


Selesai buku Three Cups of Tea, yang telah membawa saya mengembara ke Pakistan, kini sedang membaca himpunan tulisan Farish A Noor dalam bukunya Qur'an and Cricket yang juga sedang membawa saya kembali ke Pakistan...tetapi dari kaca mata yang lain pula!

Wednesday, August 11, 2010

Baca Three Cups of Tea

Tanggapan saya salah terhadap buku ini. Walaupun masih membacanya, tetapi pembacaan buku ini amat lancar dan laju. Semalaman saya tidak mahu tidur, kerana mahu terus membacanya. Seharian semalam di atas kapal terbang, saya tidak dapat lekang dari membaca buku ini.

Mortenson, si pembina sekolah di hujung kampung terpencil sempadan Pakistan-China - lokasi terakhir sebelum seseorang dapat mendaki K2 - merupakan seorang rakyat Amerika yang amat terasa kepentingan pendidikan dalam sesebuah masyarakat.

Beliau, dengan sifat yang amat berlainan daripada kebanyakkan rakyat Amerika, walaupun hidupnya sendiri tidak dapat ditanggung, namun mendambakan diri untuk membina sebuah sekolah di sebuah kampung yang telah menyelamatkan beliau daripada kematian dan kesesatan ketika mendaki K2. Beliau telah berjanji dengan ketua kampung, Haji Ali, untuk kembali dari Amerika untuk membina sekolah di situ. Dan janjinya dikotakan. Malah sehingga kini Mortenson telah berjaya membina 55 buah sekolah di Pakistan dan Afghanistan!

Namun apa yang lebih menyentuh hati saya ialah bagaimana sifat orang-orang Islam di pendalaman itu telah menyentuh hati dan perasaan Mortenson. Beliau kagum dengan kejujuran, kesederhanaan namun bersemangat untuk meneruskan kehidupan di kawasan yang amat sukar untuk hidup. Malah, beliau amat mengkagumi solat. Sifat peniaga yang sanggup meninggalkan perniagaannya sebentar untuk menunaikan solat tepat pada waktunya amat memberikan kesan kepada Mortenson.

Mortenson mempelajari solat. Cara-cara berwuduk dan menunaikan solat. Walaupun sehingga kini, hasil daripada carian saya di internet, masih belum menemui fakta sama ada Mortenson telah memeluk Islam atau tidak, namun saya amat mengharapkan semoga Allah memberikan hidayah kepadanya untuk memeluk Islam. Kebaikan yang telah beliau curahkan kepada saudara seagama kita di pendalaman Pakistan sememangnya amat berharga.

Monday, August 9, 2010

Mula membaca Three Cups of Tea

Selesai akhirnya membaca Hitler's Private Library. Sekarang memulakan bacaan Three Cups of Tea (oleh Greg Mortenson dan David Oliver Relin).

Buku yang menceritakan pengalaman Mortenson, seorang pendaki gunung K2 yang mendambakan dirinya untuk membina 55 buah sekolah di kawasan terpencil sempadan Pakistan dan Afghanistan.

Ingin mengetahui pengalaman dan kesungguhannya. Kata orang, mat saleh buat kerja bersungguh-sungguh. Dan kata orang juga, misi keagamaan mereka amat kuat.

Buku ini mungkin dapat menyingkap kesungguhan itu. Walaupun mungkin ketika membacanya (masih merangkak-rangkak menyingkap helaian buku ini) masih ada sedikit persepsi negatif terhadap usaha Mortenson yang mungkin boleh dianggap sebagai 'ala-ala mubaligh', tetapi apa yang ingin sangat saya dalami ialah berkenaan dengan kaedah beliau menubuh dan membina sekolah-sekolah yang bertujuan memberikan pendidikan 'yang sempurna' kepada masyarakat terpencil di situ.

Saya masih yakin bahawa para pendakwah kita juga tidak kurang hebatnya...cuma belum lagi saya ketemui buku-buku yang dapat menggambarkan kesungguhan mereka!

Friday, August 6, 2010

Menunggu Illuminations tiba di pangkuan

Antara rujukan yang selalu dirujuk oleh pengarang Hitler's Private Library ialah tulisan Walter Benjamin menerusi buku beliau Illuminations: Essays and Reflections.

Siapa Walter Benjamin? Ini maklumat yang saya dapat dari wikipedia:


Walter Bendix Schönflies Benjamin
(15 July 1892 – 27 September 1940) was a German intellectual (philosopher, sociologist, literary critic, translator, essayist) occasionally associated with the Frankfurt School of critical theory. His sociologic and cultural critical thought, combining historical materialism, German idealism, and Jewish mysticism, proved a novel contribution to aesthetic theory and to Western Marxism. As a literary critic, his most famous essays are about Charles Baudelaire (1821–67), coiner of the term Modernism; as a translator he produced the Tableaux Parisiens edition of Les Fleurs du mal (1857), by Baudelaire, and À la recherche du temps perdu (1913–27), by Marcel Proust (1871–1922).

His turning to Marxism in the 1930s, resulted from the influence of playwright friend Bertolt Brecht, whose critical aesthetics developed the Verfremdungseffekt (emotional distancing of the spectator). An earlier influence was friend Gershom Scholem, founder of the academic study of the Kabbalah and of Jewish mysticism. Intellectually influenced by the Swiss anthropologist Johann Jakob Bachofen (1815–87), Walter Benjamin coined the term “auratic perception”, denoting the æsthetic faculty via which civilization would recover appreciation of myth.[1] Contemporarily, Benjamin's work is oft-cited in academic and literary studies, especially the essays The Task of the Translator (1923) and The Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction (1936).

Yang menarik perhatian saya tentang Walter Benjamin (dan ingin mengenali tulisan-tulisan beliau) ialah kata-kata beliau mengenai buku, pembaca dan pemiliknya. Kerana itulah, saya sedang menunggu buku antologi artikel beliau untuk tiba di pangkuan - mungkin 2-3 minggu lagi....

Thursday, August 5, 2010

Denai Buku

Agaknya Denai Buku boleh diterjemahkan dari Book Trail...satu idea yang saya dapat dari Diskusi Kota Buku semalam yang berlangsung di DBP. Pengalaman berharga pegawai-pegawai dari Yayasan Kampung Buku Malaysia yang mempunyai banyak jaringan dengan kampung-kota buku seluruh dunia.

Book Trail merupakan antara aktiviti 'biasa' biblioholist dari seluruh dunia. Katanya hampir 15 juta biblioholist bergerak dari satu kampung buku ke kampung buku lainnya. Terdapat hampir 33 buah kampung buku di seluruh dunia.

Saya cuma rasa terkilan apabila mengenangkan nasib Kampung Buku di Langkawi, juga yang dibangga-banggakan sekarang di Melaka. Konsep Kampung Buku di Langkawi amat saya kagumi, cuma sayangnya ia hancur dalam sekelip mata. Namun konsep kampung buku di Melaka amat tidak saya senangi!

Denai buku, sama ada kita punyai sebuah kampung atau kota buku, amat sesuai kita gerakkan sekarang. Tidak perlu untuk menunggu sebuah kampung/kota buku impian terbina di sini atau punyai wang sedikit untuk mengembara ke luar negara melawat kampung buku di sana.

Cukuplah dengan ada beberapa buah kedai buku di Malaysia. Komuniti bukuonline satu ketika dahulu pernah menganjurkan Kembara Kedai Buku. Ideanya mudah: kumpul beberapa ahli dan bergerak dari satu kedai buku ke kedai buku lain.

Mungkin dengan idea yang lebih mantap, Denai Buku perlu lebih kreatif. Mungkin selain daripada melawat kedai-kedai buku yang tersedia ada, pengembara Denai Buku perlu mencari kedai-kedai buku yang lebih unik. Tentu terdapat di sebalik pekan-pekan kecil kita di Malaysia, kedai-kedai buku kecil tetapi unik. Unik daripada segi jenis buku yang dijual, cara jualannya, malah mungkin rekabentuk kedai itu sendiri.

Pengembara Denai Buku perlu melakar kembali perjalanan mereka. Dan meninggalkan jejak-jejak, sama konsepnya seperti denai di hutan. Pengembara terkemudian akan mengikuti dan mungkin menemui lokasi-lokasi yang lain pula.

Sekadar idea gila!

Tuesday, August 3, 2010

Apa yang Hitler baca?

Hitler, walaupun sifatnya banyak digambarkan oleh Barat sebagai 'pembunuh zalim' terutamanya kepada bangsa Yahudi, rupa-rupanya mempunyai sifat yang lebih lembut.

Beliau boleh melukis (sekiranya seni melukis itu boleh menunjukkan sifat peribadi seseorang itu lebih lembut). Beliau juga seorang biblioholist.

Walaupun pembacaan beliau banyak berkisar tentang Yahudi, beliau juga banyak membaca buku berkaitan dengan senibina, terutamanya yang ditulis oleh Osborn seperti buku Berlin yang banyak membantu beliau 'mengembara' ke Berlin.

Beliau juga didedahkan kepada teater, terutamanya yang diarahkan oleh mentor beliau - Eckart. Teater Peer Gynt banyak mempengaruhi sifat Hitler.

Hitler juga mempunyai koleksi lengkap tulisan Henry Ford - International Jew.

Memang benar apa yang ditulis oleh Walter Benjamin - we collect books in the belief that we are preserving them when in fact it is the books that preserve the collector

Tuesday, July 27, 2010

Nota Kaki


Sekarang sedang baca NOTA KAKI oleh Johan Jaafar. Himpunan 206 buah artikel beliau yang pernah terbit di Utusan Malaysia sekitar tahun sebelum 1998.

Ketika itu, saya masih di universiti. Tulisan Johan Jaafar ini selalunya saya dan seorang rakan lain akan gunting dan tampal sebelum disimpan rapi dalam fail. Entah ke mana hilangnya fail itu sekarang...

Syukur, tulisan Johan Jaafar ini dibukukan. Baru tahun ini terbit. Apabila membacanya, terasa muda semula. Seolah-olah kembali ke alam silam.

Penulisan rencana apabila dibukukan boleh diumpamakan sebagai sebuah time machine. Kita akan membaca dari kacamata seseorang penulis yang menulis pada zamannya, dan apabila kita membaca tulisan itu pada zaman sekarang, ia akan cuba membuka satu lembaran silam pada zaman kini.

Pada masa inilah kita akan dapat melihat sama ada berlaku sebarang perubahan pada keadaan atau tidak. Kita juga boleh berpendapat sama ada penulis itu seorang yang bervisi dan 'dapat melihat masa hadapan' atau tidak.

Cuma sayangnya, Nota Kaki ini mungkin diterbitkan dalam keadaan kelam-kabut, sehingga terlalu banyak kesalahan ejaan! Yang paling melucukan ialah pada mukasurat 345!

Thursday, July 22, 2010

Hitler seorang biblioholist?


Kembara ke MPH malam tadi menemukan saya dengan dua buah buku: NOTA KAKI (JOHAN JAAFAR) dan Hitler's Private Library: The books that shaped his life.

Kebetulan pula saya menerima e-mail berkaitan dengan hubungan Hitler dengan Islam, buku ini akan cuba membuka akal saya untuk mengkaji kehidupan Hitler yang lebih dikenali sebagai pembakar buku daripada dikenali sebagai seorang pembaca. Namun, rupa-rupanya Hitler memang seorang Biblioholist!

Berkaitan dengan hubungan Hitler dengan Islam, beliau dilaporkan amat meminati Islam, lebih-lebih lagi apabila membaca tentang sejarah Yahudi dan hubungan mereka dengan Islam.

Namun, saya masih berfikir mungkin propaganda Yahudi juga untuk mengaitkan Hitler dengan Islam, kerana semua sedia maklum tentang perbuatan anti-Yahudi Hitler yang membunuh jutaan umat Yahudi. Mungkin apabila dapat mengaitkan Hitler dengan Islam, maka definisi keganasan pada masa kini dapat dibuktikan secara lebih jelas untuk mengatakan Islam adalah ganas!


Mungkin ada benarnya Hitler mengagumi Islam. Dan kita juga tidak dapat menolak, mungkin ini juga antara perancangan Yahudi yang kita sedia tahu mereka amat licik dalam perancangan. Tapi kita lebih yakin bahawa Allah lebih bijak melakukan sebarang perancangan!!

Monday, July 19, 2010

Artikel di Utusan Malaysia

Artikel saya bertajuk Pengaruh TV terhadap budaya membaca terbit di Utusan Malaysia hari ini.

Monday, June 21, 2010

Jerusalem dalam 5 Cities that Ruled the World

Selesai membaca Alexander adalah Zulqarnain. Kini sedang membaca 5 Cities that Ruled the World karya Douglas Wilson. Buku ini menceritakan bagaimana pentingnya Jerusalem, Athens, Rome, London dan New York dalam mewarnai peradaban manusia, sama ada pada zaman dahulu mahupun sehingga kini.

Semalam baru habis membaca bab Jerusalem. Penulis, ya seorang 'mat saleh', sudah pasti agak 'negatif' apabila memperkatakan tentang Islam. Jerusalem, yang sehingga kini menjadi 'medan pertempuran' dalam 'keharmonian 3 agama - Yahudi, Kristian dan Islam' menjadi rebutan sepanjang zaman. Walaupun penulis buku ini agak skeptikal tentang Islam, namun ia memberi gambaran yang agak neutral terhadap Jerusalem yang kini secara zalimnya dirampas oleh Yahudi ataupun lebih tepat lagi Zionis.

Memang kita akui, Yahudi adalah satu bangsa yang diceritakan Allah dalam Al-Quran banyak menghabiskan masanya di Jerusalem, tetapi sejarah juga telah membuktikan Yahudi 'tidak layak' untuk hidup di Jerusalem. Memang juga kita akui berapa ramai Rasul dan Nabi diturunkan di kalangan orang Yahudi, tetapi bangsa ini jugalah yang membunuh Rasul dan Nabi mereka.

Menurut buku ini, apabila Jerusalem dirampas oleh British, bangsa Yahudi menginginkan Jerusalem dan Palestin diserahkan 'semula' kepada mereka. Namun British kononnya 'sebagai mediator' antara bangsa Arab dan Palestin, ingin menyerahkan Uganda sebagai negeri untuk bangsa Yahudi. Namun seperti yang ditulis oleh Wilson dalam bukunya ini 'Zionism meant a homeland in Palestine, not just a homeland somewhere'.

Menurutnya lagi "Tension in the Middle East today, centered in Jerusalem, is the result of two major developments. The first was the gradual eclipse of Islamic power, becoming undeniable and irreversible by the nineteenth century. The second was the rise of Zionism or Jewish nationalism.

Kejadian buruk yang sedang berlaku di Palestin kini, menurut Wilson "When we are faced with a problem as difficult as this one, we look to continued support for Israel from the United States, aid to the Palestinians from Europe, or another stern resolution from the United Nations. But why do we look to these entities to solve the problem when they were the ones who created it in the first place?

Yang pasti, ketidaklayakan Yahudi untuk menduduki tanah Palestin dan Jerusalem adalah kerana mereka sendiri - kerana mengingkari perintah Allah dan akibat daripada 'breach of contract' ini, mereka akan hancur di tanah yang diinginkan mereka sepanjang zaman itu sendiri!

Sunday, June 13, 2010

Socrates adalah Lukman al-Hakim


Masih membaca Alexander adalah Zulqarnain. Lebih tebal daripada buku pertama penulis yang sama (Yakjuj Makjuj).

Ada dua perkara yang penting dan menarik dari buku Alexander adalah Zulqarnain ini:

  1. Pendedahan siapa Socrates
  2. Pendedahan Alexander The Great adalah Zulqarnain
Siapa Socrates? Beliau adalah guru kepada Plato. Dan Plato adalah guru kepada Aristotles. Alexander adalah anak murid kepada Aristotles. Mungkin semua tahu nama-nama ini. Tetapi, buku ini telah mendedahkan 'teori' keimanan Socrates, Plato, Aristotles dan Alexander. Malah, mengikut sejarah Socrates dihukum bunuh dengan cara meminum racun (pada zaman tersebut, meminum racun secara sukarela adalah satu cara hukuman bunuh yang dikenakan oleh mahkamah). Socrates dihukum bunuh kerana kepercayaannya terhadap monotisme (iaitu menyembah Tuhan yang Esa). Pada zaman Yunani, paganisme iaitu dengan penyembahan kepada multi Tuhan (berhala) merupakan anutan mereka. Kepercayaan Socrates yang menongkah arus itu menyebabkan pemerintah Yunani ketika itu merasakan ajaran Socrates membahayakan minda generasi muda mereka.

Malah yang lebih memeranjatkan, pendedahan buku ini juga mengaitkan Socrates dengan Lukman al-Hakim (nama yang disebut-sebut dalam Al-Quran, namun sehingga kini tidak pernah dapat dikaitkan dengan sesiapa dalam lipatan sejarah).

Lantas saya membeli sebuah buku lagi yang bertajuk Conversations of Socrates yang ditulis oleh Xenophon (seorang Yunani yang hidup dalam lingkungan masa Socrates-Aristotles). Secara jelas, ia menceritakan tentang kepercayaan dan keimanan Socrates di dalam memperjuangkan kepercayaan monotismenya.

Ya, selama ini kita telah banyak dimomokkan oleh tulisan barat-yahudi yang memesongkan fakta sejarah mengenai tokoh-tokoh zaman dahulu, dengan tidak menceritakan fakta sebenarnya. Maha Besar Allah kerana telah menurunkan Al-Quran untuk membetulkan fakta-fakta salah yang dipesongkan oleh sarjana-sarjana yahudi mahupun yunani itu sendiri.

Wednesday, June 2, 2010

Buku terbaru Alexander adalah Zulqarnian


Baru membeli buku kedua tulisan Muhammad Alexander (penulis bestseller Yakjuj Makjuj). Lebih tebal dan tentunya dapat merungkai 1001 misteri kewujudan nama Iskandar Zulkarnain dalam Al-Quran. Juga nama Alexander The Great yang selama ini dikatakan tidak dikaitkan langsung dengan Iskandar Zulkarnain. Baru merangkak-rangkak membaca buku kedua ini. Maka, terpaksalah menepi beberapa buah buku yang sedang dibaca serentak! nanti ulas lagi...

Sunday, May 2, 2010

Buku-buku yang perlu dibaca


Agak banyak buku yang perlu dibaca dan dihabiskan. Mulanya tidak sebanyak sebegini. Tetapi akibat kerakusan 'nafsu' untuk mendapatkan juga buku-buku ini di pasaran, akhirnya timbunan buku-buku menutup facade meja belajar saya.

Terasa mahu meluangkan masa 24 jam setiap hari untuk menekuni buku-buku ini. Tapi apakan daya, banyak lagi kerja kehidupan yang perlu dilangsaikan!!

Thursday, April 15, 2010

Bahang 23hb

23hb adalah sambutan Hari Buku Sedunia dan Hakcipta. Setakat ini, apa yang saya dimaklumkan sudah terdapat 2 program yang akan diadakan pada hari tersebut di dua buah institusi: Perpustakaan Kuala Lumpur dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pujian kepada kedua-dua institusi ini kerana berusaha dalam menggerakkan gerakan membaca dengan lebih proaktif. Kedua-dua program ini akan membicarakan perihal buku dan gerakan membaca.

Tetapi malangnya, apabila saya cuba 'google' perkataan Hari Buku Sedunia 2010, tidak banyak maklumat mengenainya di Malaysia. Berbeza dengan Indonesia. Buku dan gerakan membaca sudah menjadi bualan ramai, terutamanya bloggers. Gerakan mereka lebih merakyat dan juga telah diinstitusikan.

Mungkin perlu lebih usaha untuk memartabatkan budaya membaca di Malaysia!

Tuesday, April 13, 2010

Majalah dalam Buku

Apa yang akan ada lakukan apabila kapal terbang yang ditunggu-tunggu tak muncul-muncul? Ada yang akan makan apa sahaja yang ada di lapangan terbang, minum-minum, berinternet, dan membaca! Tentunya dalam suasana yang agak stress ini, majalah mungkin sebagai bahan bacaan ringan yang patut dibeli dan dibelek.

Sempat saya membeli sebuah buku bertajuk Up for Renewal di Johor Baharu pagi tadi. Buku yang ada kaitannya dengan majalah. Bezanya, penulis itu (Cathy Alter) tidak mengaitkan majalah dengan menunggu kapal terbang yang tidak muncul-muncul. Sebaliknya menjadikan majalah sebagai 'penghibur' dirinya yang telah bercerai, banyak hutang dan belum berjumpa lelaki idamannya sebagai pengganti suaminya itu.

Sebuah buku yang agak 'kasar' penulisannya. Apatah lagi ditulis oleh seorang wanita. Namun, dalam masa luang yang amat banyak di lapangan terbang, terpaksa juga saya telaahnya. Ada sesuatu yang menarik tentang buku ini disebalik perkataan yang digunakan oleh penulis.

Beliau mengupas setiap satu majalah yang dilangganinya sebagai usaha melepaskan dirinya daripada belenggu masalah kehidupannya. Namun begitu, saya tidak syorkan kepada masyarakat Malaysia untuk membacanya, terutamanya bagi mereka yang di bawah umur! hahaha

Friday, April 2, 2010

Nombor Sempurna

Salah-satu fakta matematik yang menarik dari buku TMWLON ini ialah 'sejarah nombor-nombor' seperti nombor sempurna (perfect number), nombor tunggal dan sebagainya.

Nombor 6 adalah nombor sempurna yang pertama. Syaratnya, ia boleh dibahagikan sempurna dengan nombor-nombor 1, 2 dan 3 (6 bahagi 1= 6, 6 bahagi 2 = 3 dan 6 bahagi 3 = 2) tanpa berbaki, dan nombor 6 juga adalah hasil tambah bagi nombor-nombor 1, 2 dan 3! (1+2+3=6).

Manakala nombor 28 adalah nombor sempurna yang kedua. Ia boleh dibahagikan sempurna dengan nombor-nombor 1, 2, 4, 7 dan 14; dan apabila ditambahkan semua nombor tersebut (1+2+4+7+14=28) hasilnya kembali kepada nombor 28.

Menurut buku ini, orang Kristian juga percaya bahawa dunia ini dibina oleh Tuhan dalam masa 6 hari, dan bulan mengelilingi bumi dalam masa 28 hari.

Menurut St. Augustine: Six is a number perfect in itself, and not because God created all things in six days; rather that the inverse is true; God created all things in six days because this number is perfect. And it would remain perfect even if the work of the six days did not exist!

Yang pasti; dalam Al-Quran (Surah Hud; ayat 7):

"Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam (6) masa, sedang Arash-Nya berada di atas air...."

Surah al-Hadid; ayat 4:

"Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam (6) masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arash; Dia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan".

Masya Allah!

Thursday, April 1, 2010

Membaca Matematik

Dalam kepeningan memilih buku yang mana satu perlu dibaca dahulu, akhirnya saya memilih sebuah buku yang telah agak lama dibeli (di Borders) yang bertajuk The Man Who Loved Only Numbers: The Story of Paul Erdos and The Search for Mathematical Truth (TMWLON)

Sebuah buku biografi. Tentunya genre yang amat saya minati. Buku ini dibeli di Borders, ditemui di bahagian sains. Saya mungkin tidak lagi mampu untuk 'membaca' buku matematik. Matematik (tulen) telah lama saya tinggalkan, setelah SPM langsai!

Namun begitu, saya berminat untuk kembali membaca buku yang cuba merungkai matematik dari sudut yang berbeza.

TMWLON cuba merungkai sejarah hidup Erdos, seorang genius matematik. Yang sepanjang hidupnya (telah meninggal dunia) mendambakan dirinya hanya untuk merungkai seberapa banyak masalah matematik. Sama ada yang berprofil tinggi mahupun masalah matematik peringkat kanak-kanak.

Sifatnya juga telah dipengaruhi oleh subjek matematik. Beliau tidak berumah. Tidak berkeluarga. Tidak berpekerjaan tetap. Tetapi pendambaan kepada matematik itu telah menjadikan beliau seorang yang terkemuka.

Mungkin tidak adil untuk saya merungkaikan isi penting buku ini buat masa ini kerana pembacaan saya masih belum selesai...apatah lagi diganggu oleh buku-buku yang baru saya beli dari PBAKL tempoh hari!!!

Insya Allah, akan dirungkai lagi tentang buku ini di lain lembaran.....

Saturday, March 27, 2010

Hasil tangkapan dari PBAKL


Saya hanya berkesempatan ke PBAKL sekali sahaja tahun ini. Mungkin faktor belanjawan menjadi penghalang utama untuk ke sana pada awal minggu ia dibuka. Dan faktor kesesakan pada hari-hari terakhir ia berlangsung. Apatah lagi dengan kesesakan yang dijangka berlaku pada hari ini, bersempena dengan mesyuarat agung pertama PERKASA yang berlangsung pagi tadi.

Namun begitu, lawatan ke PBAKL semalam tidak menghampakan. Saya hanya membeli dua buah buku baru dari gerai PENGUIN. Tetapi bukan buku-buku itu yang istimewa.

Sebaliknya pembelian dari gerai Arkib Negara amat bermakna. Dengan RM50, saya berjaya membawa pulang 10 buah buku ucapan Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir. Yang mungkin tidak akan dapat dijumpa atau dibeli dari kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Malah, dengan potongan 70% untuk setiap buku yang berkulit keras dan 'tidak berwajah' itu memang berbaloi untuk nilai wang saya.

Sekiranya buku-buku ini dibeli dari Arkib Negara selain dari promosi sempena PBAKL, kata penjualnya, harga asal setiap satunya lebih daripada RM20. Sebaliknya dengan potongan 70% itu, hanya RM3.00 lebih saya sudah mampu tersenyum puas!!

Tentu banyak yang boleh dipelajari daripada setiap ucapan bekas-bekas perdana menteri kita ini. Ucapan-ucapan yang disimpan rapi di Arkib Negara ini tentunya dapat saya gunakan semula untuk menguatkan hujah-hujah penulisan saya nanti.

Bukankah tema PBAKL 2010 ini bertemakan Buku: Lakaran Masa Hadapan?!

Saturday, March 20, 2010

Impian di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 sudah bermula. Namun belum berkesempatan untuk ke sana. Ongkosnya pun perlu dicari terlebih dahulu sebelum dapat memijak masuk PWTC, kalau tidak mungkin sia-sia ke sana untuk hanya menjamu mata!

Itu selingan, sehingga pesta buku itu diselongkar masuk dan dikhatam buku-bukunya. Saya tidak bercadang mahu bernostalgia tentang pesta buku ini yang sudah hampir 10 tahun tidak pernah saya melepas ruang waktu untuk memasukinya kecuali pada tahun-tahun saya tidak di Malaysia untuk tujuan pengajian dahulu.

Impian saya tahun ini adalah untuk mendapatkan buku-buku yang lebih berkualiti, tidak semestinya baru diterbitkan tetapi membantu untuk saya memasuki dunia ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam.

Saya inginkan buku-buku yang jujur. Ditulis dengan berkesan, tidak semestinya cantik pada kulit (walaupun saya akui kadang-kala saya tertarik pada kulitnya sebelum saya cuba menyentuh isinya!) tetapi isinya dikupas dengan baik seperti siri tulisan atau buku Malcolm Gladwell di mana buku-bukunya diterbit ringkas dengan kulit buku berwarna putih yang menjadi trademark penerbitannya.

Saya juga inginkan pesta buku kali ini benar-benar berfungsi sebagai pesta buku, dan bukannya pesta untuk menjual barangan lain seperti pengajian bahasa atau tempat ulat berkumpul untuk memaksa pengunjung termakan buah epal yang cuba dijual mereka.

Saya inginkan jumlah pembelian buku oleh pengunjung bertambah dari pesta ini. Tetapi pastinya bukan dengan nilai ringgit yang dibelanjakan kepada buku atau bahan bacaan yang tidak berkualiti. Mungkin ada yang tidak bersetuju bahawa bahan bacaan perlu disaring kerana mungkin percaya rakyat Malaysia perlu membaca apa sahaja terlebih dahulu untuk menjadikan amalan membaca itu sebagai satu budaya. Memang benar, tetapi hanya benar pada peringkat permulaan pembudayaan membaca. Kita seharusnya sudah berada di peringkat ketiga, iaitu peringkat pemerkasaan pembudayaan membaca. Rakyat Malaysia sudah perlu dididik untuk memilih judul dan jenis bahan bacaan (dalam konteks ini - buku) yang berkualiti, lantas dididik pula untuk membaca secara kritis. Kerana dalam dunia akhir zaman ini, fitnah adalah virus yang menyebabkan manusia itu bernanah menahan sakit.

Mungkin terlalu banyak impian saya sebagai seorang insan yang kerdil untuk mengharapkan sesuatu yang besar berlaku di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat Islam. Tetapi impian-impian saya ini dari pesta buku yang sedang berlangsung ini bukanlah hanya satu impian sebagai seorang biblioholist atau mangsa kapatalisme, sebaliknya amat risau dengan apa yang sedang melanda negara kita dari segi keruntuhan akhlak generasi terkini, dan mungkin jika tidak dibendung - keruntuhan institusi kekeluargaan! Dan jika tahap itu melanda Malaysia, kita mungkin sudah terlambat sepertimana apa yang telah berlaku di US dan UK!

Buku mungkin bukan jawapan yang mutlak kepada penyelesaian epedemik sosial di negara kita, namun ia juga tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa mengambilkira pentingnya buku yang berkualiti dan berilmu dalam usaha penyekatan elemen negatif itu. Ia tetap membantu, malah sepertimana yang sering didengar (dan mungkin tanpa difahami secara mendalam), Iqra' - merupakan usaha pertama untuk menghapuskan elemen jahiliah dalam tamadun manusia!

Pesta buku ini adalah penentunya (dan pasti sekali lagi, ia bukanlah penentu yang mutlak!), namun saya yakin ia adalah penentu yang pasti untuk menjadi benteng pertahanan kepada manusia daripada sesat ke jalan kesesatan dan menjadi pembimbing kepada keimanan. Dengan syarat buku itu berkualiti dan berilmu! Pesta ini perlu juga berkualiti dan berilmu!!

Saturday, March 6, 2010

Kumpulan Membaca di Universiti


Tanggal 5hb Mac yang lepas merupakan satu lagi detik sejarah yang berlangsung di dalam gerakan membaca di Malaysia. Sebuah kumpulan membaca (reading group) telah berjaya dibentuk. Walaupun baru berjumlah 10 orang, namun ia satu petanda yang baik. Konsep reading group ini pernah saya kupas di dalam majalah milenia muslim dua tahun yang lalu. Ia merupakan satu gerakan membaca yang telah mendominasi budaya membaca di UK dan US. Kumpulan membaca yang ditubuhkan di universiti tempat saya mengajar ini pula telah disesuaikan dengan budaya dan iklim Malaysia. Penubuhannya ini akan kemudiannya diharap dapat menjadi pencetus kepada penubuhan kumpulan membaca di merata tempat di Malaysia.

Tuesday, February 16, 2010

Baca: Ahmadinejad


Selesai membaca Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam. Iran, yang merupakan sebuah negara 'asing' bagi saya (dan kemungkinannya kepada masyarakat Malaysia umumnya). Mungkin kerana propaganda Barat dan media massa yang selalu mengaitkannya dengan Syiah dan pengganas. Bangsa Parsi, yang menjadi tulang-belakang sejarah umat Iran memang terkenal dalam sejarah sebagai bangsa yang bijak.

Buku Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam ini ditulis oleh barisan pengarang Indonesia yang pernah belajar di Iran, dan memahami selok-belok Iran malah fasih berbahasa Parsi. Maka, seharusnya buku ini bukanlah cedokan dari mana-mana sumber Barat.

Sebelum sejarah Ahmadinejad disingkap, penulis terlebih dahulu menyingkap sejarah ringkas politik Iran yang diterajui oleh keluarga Syah, dihalau dan berlakunya Revolusi Islam 1979 yang dipimpin oleh Ayatollah Khomeini. Ahmadinejad, secara peribadinya ditulis secara jujur di dalam buku ini yang menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin rakyat yang berjiwa rakyat. Bersesuaian dengan penampilannya yang ringkas, mengingatkan kita kepada Umar Abdul Aziz.

Yang paling menarik di dalam buku ini ialah surat Ahmadinejad kepada Presiden Bush, rakyat Amerika dan juga wawancara antara Majalah Der Spiegel Jerman dengan Ahmadinejad.

Secara jujur, saya begitu terkesan dengan buku yang ditulis ringkas ini, dan menginginkan bacaan tambahan untuk mengenali Iran dan presidennya dengan lebih dekat. Lantas, dibeli dua buah buku lagi:
  1. The Ayatollah Begs to Differ: The Paradox of Modern Iran (Hooman Majd)
  2. Travelog Iran: Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad (Dina Sulaiman)

Monday, January 25, 2010

Perginya seorang wirawan negara


Al-Fatihah atas pemergian Tun Ghazali Shafie. Mengikut Utusan Online hari ini, PM mencadangkan supaya seorang penulis dilantik untuk menulis memoir Allahyarham. Menanti ketibaan buku ini di pasaran.

PETALING JAYA 25 Jan. - Kerajaan bercadang melantik seorang penulis bagi menulis memoir bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie kerana beliau terlibat dalam banyak proses pembentukan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peranan allahyarham sangat penting terutama ketika negara menghadapi detik cemas seperti konfrontasi, pemberontakan komunis dan peristiwa hitam 13 Mei 1969. - Utusan

Wednesday, January 13, 2010

Azam 2010 (versi terlewat)


Rupa-rupanya sudah 13 hari tahun 2010 menjenguk masuk. Tidak sempat untuk saya catat peristiwa penting itu. Walaupun internet di hujung jari, namun kesibukan diri dengan perkara-perkara lain tidak memungkinkan saya untuk mencatatkan sesuatu sebagai lambang bermulanya tahun baharu di blog ini. Terasa segalanya berlalu begitu pantas.

Azam tahun ini, pastinya ingin membaca lebih banyak. Azam untuk membaca 100 buah buku di dalam tahun 2010. Dan pastinya buku-buku yang berkualiti dan berilmu. Azam juga untuk melihat amalan membaca akan menjadi satu budaya di kalangan masyarakat Malaysia. Tentunya artikel-artikel saya sudah tidak diperlukan untuk mengupas amalan-budaya membaca ini. Sebaliknya saya akan melakukannya dengan lebih sistematik mengikut adab ilmu yang akan disusuli dengan gerak kerja dan teori yang lebih bersifat akademik.

Juga di tahun ini, ingin saya memiliki sebuah rak buku yang benar-benar menggambarkan tradisi ilmu yang tinggi. Sebuah rak (sebenarnya lebih dari satu rak diperlukan) yang menempatkan buku-buku yang dimiliki, bukannya di sebuah bilik yang digelar perpustakaan, sebaliknya lebih dirakyatkan, untuk diletakkan di kawasan umum di rumah saya.

Saya perlu lebih pantas membaca. Lebih perlu tersusun minda untuk menterjemahkan semua pembacaan itu ke dalam bentuk tulisan - mungkin dalam bentuk sebuah buku. Saya perlu lebih memilih untuk membeli bahan bacaan. Perlu lebih berani untuk menerokai ruang ilmu yang lebih berat.

Umur 35 tahun yang baru beberapa hari diraikan perlu saya raikannya dengan kematangan berfikir. Kematangan bertindak. Dan terpenting, berazam ingin melihat semua lapisan masyarakat di Malaysia dididik dengan ilmu yang lebih tinggi sifatnya.

Moga Allah memberi kekuatan untuk saya merealisasikannya dalam tahun 2010 ini.....