Friday, November 30, 2007

Berbengkel


3 hari ini tak sempat membaca. Penat minda berbengkel menyiapkan belanjawan RMK9 untuk dibelanja bagi 3 tahun ini.

Tuesday, November 27, 2007

Jemputan ke Jelebu

Hari ini saya dan sahabat-sahabat pendukung utama komuniti bukuonline.org (Ali Dina dan Dr. Abu Hassan Hasbullah) ke Jelebu, untuk memenuhi jemputan dari Perpustakaan Awam Negeri Sembilan - perasmian bangunan baru Perpustakaan Awam Cawangan Jelebu oleh Menteri Besar Negeri Sembilan bersama-sama dengan kehadiran Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Sedikit maklumat mengenai perpustakaan ini. Siap dibina dan mula dibuka kepada awam pada tahun 2005. Ia dibina dengan kos pembinaan dan semua kelengkapan IT sebanyak RM3.04 juta. Bangunan 3 tingkat ini mempunyai koleksi 40,000 buah buku dengan keahlian mencapai 6,000 orang ahli. Ia adalah antara 89 buah perpustakaan yang ada di Negeri Sembilan iaitu termasuk perpustakaan negeri, perpustakaan desa, cawangan dan bergerak. Sehingga kini terdapat 20,000 orang ahli berdaftar dengan semua perpustakaan di Negeri Sembilan. Tetapi menurut Menteri Besarnya, jumlah ini terlalu sedikit dibandingkan dengan jumlah penduduk keseluruhan negeri itu, iaitu merangkumi hanya 30% sahaja. Dan hanya 10,000 orang sahaja daripada jumlah itu pula dikategorikan ahli aktif.

Dr. Rais Yatim, seperti kebiasaannya di dalam kata-kata aluan, tentunya meninggalkan sesuatu kesan yang amat penting di dalam ucapannya. Kali ini beliau mengetengahkan pendapat bahawa sesuatu tamadun itu bermula dengan budaya membaca. "....dari bukulah kita menjadi pandai, dari membacalah ia menjadi tamadun..."

Manakala Menteri Besarnya pula seperti memberi satu arahan kepada semua pustakawan dan setiap pemimpin desa untuk menubuhkan kelab perpustakaan desa, sebagai satu langkah proaktif untuk mengaktifkan semula peranan perpustakaan desa di dalam menyambut seruan Dr. Rais Yatim itu.

Dan seharusnya ini menjadi satu peluang yang baik kepada komuniti bukuonline.org, khususnya untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk mengaktifkan semua perancangan tersebut.

Kami juga tergamam apabila melihat gambar-gambar yang dipamerkan di ruang perpustakaan baru itu, yang antara lainnya merakamkan antara aktiviti bukuonline.org yang telah berjaya dilaksanakan bersama Perpustakaan Awam Negeri Sembilan pada tahun 2006 yang lepas. Dan janji kami kepada perpustakaan, bukuonline.org akan kembali ke Negeri Sembilan tahun depan untuk memperhebatkan lagi gelombang membaca di negeri tersebut.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah kami laksanakan di Negeri Sembilan pada tahun lepas ialah penyertaan aktif di dalam Pesta Buku dan Multimedia Negeri Sembilan, juga menjadi penganjur utama Forum Malaysia Membaca 2006.

Monday, November 26, 2007

Membina bukan seharusnya tidak membaca dan menulis

Hari ini saya menghadiri satu seminar (Built Environment Conference 2007) yang dianjurkan di atas arahan Jemaah Dekan-Dekan Alam Bina di Universiti Malaya. Seminar ini merupakan siri yang pertama dianjurkan, khas untuk semua unversiti yang menawarkan program-program Alam Bina seperti Arkitek, Juruukur Bahan, Arkitek Landskap, Perancang Bandar dan Wilayah, Juruukur Bangunan, dan semua yang terlibat di dalam industri pembinaan.

Terdapat 7 kertas kerja yang dibentangkan oleh setiap Dekan (atau wakilnya) Fakulti Alam Bina, iaitu dari Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Rata-ratanya memperkatakan tentang polisi universiti masing-masing di dalam memacu aktiviti penyelidikan. USM dan UKM misalnya, yang telah dianugerahkan sebagai universiti penyelidikan (Research Universiti) membentangkan aktiviti penyelidikan mereka, yang menggunakan kesempatan yang ada dengan pemberian sejumlah wang yang banyak oleh kerajaan Malaysia untuk melaksanakan penyelidikan mereka.

Apa yang menarik perhatian saya adalah kepada salah-sebuah kertas kerja yang dibentangkan oleh Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi dengan kertas kerjanya bertajuk The Massification of Architectural Knowledge: Strategies for the Production of Books, Media Articles and Publication Spin-Offs.

Prof. Tajuddin terkenal dengan idea-idea bernasnya mempromosi bidang senibina, dengan menulis artikel-artikel yang berkaitan dengan senibina di akhbar-akhbar, juga cubaan beliau untuk menghasilkan siri multimedia yang dapat membantu masyarakat umum mengenali dunia senibina dengan lebih dekat lagi.

Beliau cuba menghuraikan langkah demi langkah bagaimana seseorang profesional di dalam bidang senibina (dan semua profesional di dalam industri binaan) menulis buku yang berkaitan dengannya. Memang semua sedia maklum bahawa ahli-ahli profesional menyisihkan diri mereka daripada aktiviti penulisan, dan apatah lagi membaca!

Menurut beliau:

I have encountered four kinds of attitudes concerning writing on architecture as presented by both so called full time professionals. The first attitude is that 'practice' is more important than writing....The second attitude is that writing is too difficult because you must have lots of 'facts' in order to write.

Pendapat saya pula, untuk menulis, pengalaman saja tidak mencukupi. Pengalaman perlulah dimulai dengan aktiviti membaca. Membaca adalah permulaan kepada semuanya. Apabila ilmu telah dikhatam (yang sudah tentu perlu menerusi membaca), barulah seseorang itu perlu beramal dan amalan yang telah sebati dengan individu tersebut akan dikategorikan sebagai pengalaman. Hasil daripada pembacaan dan pengalaman itulah akan memungkinkan seseorang itu dapat menulis dengan mudah dan lancar.

Saturday, November 24, 2007

Artikel di Milenia Muslim

Alhamdulillah, artikel pertama saya terbit di dalam majalah Milenia Muslim keluaran Disember 2007. Saya menulis artikel yang bertajuk Manusia: Daya Penggerak Gelombang Membaca, yang akan menfokuskan kepada teori yang cuba saya ketengahkan mengenai bagaimana gelombang membaca dapat diwujudkan. Dapatkan ia dipasaran.

Wednesday, November 21, 2007

Hadiah dari Ireland

Sebuah hadiah buku dari ayah dan ibu yang baru pulang dari Ireland, melawat adik yang baru melahirkan anak di sana.

Tajuk: Selling US Wars
Edited by: Achin Vanaik
Foreword by: Tariq Ali
Harga: 16.99 Euro

Apabila mengatakan tentang Ireland (Republic), teringat pula kenangan semasa berjalan-jalan ke sana pada tahun 2003 yang lalu. Berangkat dari Edinburgh ke Belfast dengan menaiki kapal terbang murah. Yang menariknya, apabila turun di Belfast, terus menaiki kereta sewa (Passat) yang telah disewa selama 5 hari dengan harga yang begitu murah. Dari Belfast pula, kami terus ke Dublin.

Di Dublin, tidur semalaman. Dan berjalan-jalan di sekitar bandarnya yang lebih kelihatan seperti di sekitar kawasan Pudu Raya!

Juga berkesempatan ke tasik Glendalough. Di sinilah sebahagian daripada penggambaran Braveheart dijalankan.

Korek-korek balik jejak-jejak yang ditinggalkan di alam maya ini, sila rujuk ke laman web isteri saya yang ketika itu begitu aktif menulis blognya di Laman Ixora.

Saturday, November 17, 2007

Tulisan cantik, tulisan buruk

Memang ada benarnya kata-kata Gandhi di dalam buku autobiografinya: "I do not know whence I got the notion that good handwriting was not a necessary part of education, but I retained it until I went to England. When later, especially in South Africa, I saw the beautiful handwriting of lawyers and young men born and educated in South Africa, I was ashamed of myself and repented of my neglect. I saw that bad handwriting should be regarded as a sign of an imperfect education. I tried later to improve mine, but it was too late . I could never repair the neglect of my youth . Let every young man and woman be warned by my example, and understand that good handwriting is a necessary part of education. I am now of opinion that children should first be taught the art of drawing before learning how to write. Let the child learn his letters by observation as he does different objects, such as flowers, birds, etc., and let him learn handwriting only after he has learnt to draw objects. He will then write a beautifully formed hand."

Semalaman tak tidur menanda kertas peperiksaan akhir. Memang sah kata-kata Gandhi. Rata-ratanya yang buruk tulisan memang dapat markah yang rendah, dan sudah tentu yang cantik tulisannya dapat markah penuh. Tentunya yang membaca dan menanda inilah yang sakit kepala!


Friday, November 16, 2007

2 prosiding semalam


2 prosiding semalam boleh didapati dari Centre for Built Environment, Kulliyyah of Architecture and Environmental Design, International Islamic University Malaysia, P.O. Box 10, 50728, Kuala Lumpur. Tel: +603-61965232

Thursday, November 15, 2007

Mengurus alam


Seringkali kita mendengar dan melihat bagaimana alam diurus dengan tidak sempurna. Akibatnya, kita juga yang merana. Manusia, sebagai Khalifah yang telah diberi kepercayaan oleh Allah untuk mengurus alam ini, sebaliknya tidak sedikit yang cuai.

Saya telah menghadiri 2 hari seminar yang bertemakan Environmental Management for Sustainable Human Activities (boleh rujuk kepada tulisan saya di Catatan Kembara Jalanan.

Dan dari seminar ini, saya telah diberi 2 buah prosiding seminar yang sama yang telah dianjurkan pada tahun 2002 dan 2006 yang lepas:
  1. Sustainable Environment for Future Generation: Generating a Model for Better Community Living.
  2. Innovative Approaches Towards Better Living Environment

Tuesday, November 13, 2007

Membaca kebenaran Gandhi

An Autobiography or the story of my experiments with truth, merupakan sebuah buku karya Mahathma Gandhi. Ia merupakan sebuah buku lama, yang ditulis sendiri mengenai riwayat hidup Gandhi. Diterbitkan di India pada tahun 1927, tetapi salinan yang ada pada saya sekarang ini merupakan terbitan terkini bertarikh November 2006. Sehingga buku ini diterbitkan, ia telah dicetak sebanyak 12, 840,000 cetakan. Manakala edisi asalnya (1927) tercetak sebanyak 6000 cetakan.

Yang menariknya buku ini saya beli dengan harga RM10.00 di Popular Bookstore. Ia begitu murah kerana sebahagian daripada kosnya telah disubsidikan oleh Navajivan Trust.

Gandhi menulis autobiografinya ini bukanlah untuk memperlihatkan kehebatannya sebagai seorang pemimpin, sebaliknya ingin berkongsi mengenai kajian-kajian beliau mengenai kebenaran.

Membaca Gandhi ialah membaca kehidupan seorang insan biasa yang sebenarnya masih tercari-cari kebenaran yang mutlak. Beliau sendiri menulis mengenai pencarian beliau terhadap Tuhan yang sebenarnya....There are innumerable definitions of God, because His manifestations are innumerable...But I worship God as Truth only. I have not yet found him, but I am seeking after Him..

Kebetulan pula pada semester ini saya telah mengajar subjek Management untuk pelajar-pelajar sarjana muda, terutamanya mengenai Wawasan 2020 dan arah tuju masyarakat Malaysia, di mana saya telah menyentuh mengenai peranan individu yang stabil di dalam memacu pembangunan negara dan bangsa. Antara kriteria stabil itu ialah self-esteem, di mana ia mempunyai dua bentuk, tinggi dan rendah. Dan antara fakta-fakta yang mempengaruhi jati diri seseorang itu ialah proses pembesarannya semenjak kecil.

Inilah yang diceritakan semula oleh Gandhi di dalam bab pertamanya. Mengenai pengalaman beliau dibesarkan dan sistem pendidikan yang beliau perolehi.

Satu pengalaman yang agak menarik ialah bagaimana beliau cuba untuk tidak menipu, terutamanya kepada keluarga, guru dan kawan-kawannya.

Misalnya di dalam satu insiden, Gandhi dan pelajar-pelajar lain telah disoal oleh nazir yang melawat sekolah mereka untuk mengeja dan menulis perkataan 'kettle'. Malangnya Gandhi tersilap. Oleh kerana guru-gurunya 'takut' dengan nazir, maka mereka telah cuba membantu setiap pelajar dengan memberikan mereka petunjuk. Semua pelajar berjaya mengejanya dengan bantuan, manakala Gandhi memikirkan ini adalah satu penipuan. Oleh kerana memegang prinsipnya untuk tidak menipu, maka hanya beliau sahaja yang salah. Gandhi membiarkan kesalahan itu kerana kebenaran.

Sesuatu yang dapat dipelajari daripada awalan buku ini ialah bagaimana pengalaman, kenangan dan persekitaran masa silam membentuk peribadi seseorang.

Saturday, November 10, 2007

Terima kasih HP Compaq NX9000, selamat datang Presario V3000

Terima kasih HP Compaq NX9000, yang telah banyak membantu saya. Terutamanya di dalam mendapatkan Master dulu, juga dalam bidang pekerjaan dan minat saya di dalam dunia penulisan. Sememangnya NX9000 ini begitu berharga di dalam kehidupan saya. Ke mana-mana saja saya pergi, NX9000 sentiasa di sisi. Tahan lasak, dan tidak pernah meragam.
Setelah 4 tahun membantu, kini NX9000 ditemani oleh Presario V3000 yang baru dibeli tadi. Tentunya kedua-dua adalah HP Compaq, yang memang saya tidak pernah rugi membelinya.

Tentunya Presario V3000 (bersama NX9000) akan membantu saya untuk mendapatkan PhD pula. Kedua-duanya akan melengkapkan pengembaraan ilmu saya.

NX9000 ketika dibeli adalah yang antara yang terbaik spesifikasinya. Tetapi kini, Presario V3000 dengan Intel Core 2 Duo adalah antara yang terhebat. Kedua-duanya akan terus saya pelihara sebaik-baiknya.

Thursday, November 8, 2007

Pertemuan Bukuonline.org bersama pendukungnya

Dar kiri: Dr. Abu Hassan Hasbullah (Ketua 2 - pensyarah UM yang selalu keluar dalam Fenomena Seni RTM), Shaharom TM Sulaiman (Ketua 1 - pensyarah UiTM yang aktif menulis di KOSMO dan penggiat utama buku di Malaysia), Ali Dina (Ketua 2 - bekas Profesor Madya UiTM), saya (Setiausaha - pensyarah UIAM) dan Nal Azri (Bendahari - pegawai di Yayasan Salam)


Komuniti bukuonline.org adalah sebuah komuniti kecil yang ditubuhkan pada 2003, tetapi berjiwa besar. Foto di atas adalah foto terkini kami berlima. 2006 merupakan tahun yang paling aktif. Kami telah memulakan satu gelombang e-komuniti yang berfokuskan buku. Seminar Pencinta Buku 2006 telah berjaya menemukan pencinta-pencinta buku. Malah Pak Samad (A Samad Said) merupakan kenalan terapat bukuonline.org. Malah penggiat sastera lain seperti Nisah Hj. Haron, Faizal Tehrani juga pernah dijemput untuk bersama seminar ini.

Seminar Pencinta Buku 2007 juga telah berjaya dilaksanakan. Pertemuan pada hari ini adalah untuk berbincang mengenai Seminar Pencinta Buku 2008 dan pelancaran projek terbesar bukuonline.org. Nantikan kemunculannya, hadiah kami kepada semua biblioholiks!

Pertemuan yang dirancang


Sebelum bertemu dengan pendokong utama komuniti bukuonline.org, sempat membeli 3 buah buku di Popular Bookstore, Taman Tun Hussein Onn.

Blog updated directly from my computer at Starbuck.

Tuesday, November 6, 2007

Sidai kain dan buku


Rezeki pada hari ini, mendapat cek bayaran pelengkap kepada projek konsultansi yang telah saya dan kumpulan saya lengkapkan untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai Penyidaian kain di rumah pangsa. Isu ini pernah diketengahkan oleh Tun Dr. Mahathir semasa pemerintahan beliau.

Sepanjang kajian ini dilaksanakan, saya mendapati amat kurang (malah tiada langsung) buku atau rujukan yang boleh dirujuk. Tiada langsung panduan, misalnya untuk membantu para penduduk rumah pangsa menyidai kain.

Walaupun mungkin pada sesetengah orang memikirkan isu ini isu remeh, tetapi apabila diselidiki, saya dapati isu penyidaian kain adalah merupakan salah satu punca permasalahan masyarakat. Ia sedikit-sebanyak menyumbang kepada permasalahan rumah tangga dan para remaja. Bayangkanlah rumah pangsa yang keluasannya seberapa sangat, berbanding dengan jumlah orang yang mendudukinya yang agak ramai dan menyesakkan. Apatah lagi untuk menyidai kain. Ruang yang diperuntukkan tidaklah begitu luas, dan tidak strategik malah menyesakkan kawasan yang sepatutnya digunakan untuk dapur dan membasuh.

Ia mungkin satu isu peringkat nasional apabila dikaitkan dengan keindahan sesebuah bandar yang tercemar disebabkan oleh penyidaian kain di tempat yang tidak sesuai seperti tingkap, tetapi saya pula melihat isu ini adalah isu kemasyarakatan yang perlu diambil peduli oleh setiap pihak yang bertanggungjawab seperti Arkitek dan majlis-majlis perbandaran.

Salah-satu cadangan saya di dalam laporan yang telah dihantar kepada kementerian ialah menerbitkan risalah dan panduan menguruskan pembasuhan dan penyidaian kain. Malah saya juga telah mencadangkan supaya program pendidikan dilaksanakan secara komprehensif, untuk mendidik para suri rumah dan juga penduduk rumah pangsa merancang dan menguruskan aktiviti pembasuhan dan penyidaian kain.

Saturday, November 3, 2007

Pertemuan yang indah


'Pertemuan yang indah' merupakan buku terjemahan ayah (Nazel Hashim Mohamad) yang terbaru. Diterjemahkan untuk Soka-Gakai International, yang diterbitkan semula di Malaysia oleh GAPENA. Ia adalah tulisan Dr. Daisaku Ikeda, Penyair DiRaja dan penerima Hadiah Keamanan Pertubuhan Bangsa Bersatu. Beliau telah menjelajah ke lebih daripada 50 buah negara untuk mempromosikan keamanan.

Buku ini adalah himpunan artikel hasil daripada perbincangan beliau dengan 30 manusia yang cemerlang di dalam bidang masing-masing.
Antaranya ialah Tun Mahathir Mohamad, Jose Abueva, Austrégesilo de Athayde, Particio Aylwin, Ba Jin, Roberta Baggio, Joaquin Balaguer, Cornell Capa, Ricardo Diez-Hochleitner, Johan Galtung, Herbie Hancock, Rem Khokhlov, Aleksey N. Kosygin, Anatoli Logunov, Boris Manço, Yehudi Menuhin, J. Forbes Munro, David L. Norton, Jan Øberg, Glenn D. Paige, Osvaldo Pugliese, Jorge A.H. Rangel, Joseph Rotblat, Krishna Srinivas, Su Buqing, Valentina Tereshkova, Jutta Seifert, Wang Gungwu, Brian Wildsmith dan Zhou Enlai.

Buku ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Syed Hamid Albar. Ia tentunya merupakan saat yang paling manis kepada ayah, yang telah lama berjuang untuk memartabatkan Bahasa Melayu, dengan mengusahakan projek-projek terjemahan.

Ayah cuma mengambil masa 2 bulan (sepenuh masa) di perpustakaan peribadinya, menterjemahkan buku ini yang berketebalan 223 muka surat. Apabila disoal oleh beberapa tetamu semasa upacara perasmian itu, rata-ratanya terkejut dengan jumlah masa yang diambil ayah. Ia tentunya memerlukan kesungguhan dan kecekalan.

Sekarang, ayah sedang mengusahakan beberapa lagi projek terjemahan. Buku ini juga telah membuka mata masyarakat Jepun di sana, terutamanya Dr. Ikeda untuk berusahasama dengan ayah di dalam pertukaran sastera dan buku, kemudiannya.