Tuesday, November 13, 2007

Membaca kebenaran Gandhi

An Autobiography or the story of my experiments with truth, merupakan sebuah buku karya Mahathma Gandhi. Ia merupakan sebuah buku lama, yang ditulis sendiri mengenai riwayat hidup Gandhi. Diterbitkan di India pada tahun 1927, tetapi salinan yang ada pada saya sekarang ini merupakan terbitan terkini bertarikh November 2006. Sehingga buku ini diterbitkan, ia telah dicetak sebanyak 12, 840,000 cetakan. Manakala edisi asalnya (1927) tercetak sebanyak 6000 cetakan.

Yang menariknya buku ini saya beli dengan harga RM10.00 di Popular Bookstore. Ia begitu murah kerana sebahagian daripada kosnya telah disubsidikan oleh Navajivan Trust.

Gandhi menulis autobiografinya ini bukanlah untuk memperlihatkan kehebatannya sebagai seorang pemimpin, sebaliknya ingin berkongsi mengenai kajian-kajian beliau mengenai kebenaran.

Membaca Gandhi ialah membaca kehidupan seorang insan biasa yang sebenarnya masih tercari-cari kebenaran yang mutlak. Beliau sendiri menulis mengenai pencarian beliau terhadap Tuhan yang sebenarnya....There are innumerable definitions of God, because His manifestations are innumerable...But I worship God as Truth only. I have not yet found him, but I am seeking after Him..

Kebetulan pula pada semester ini saya telah mengajar subjek Management untuk pelajar-pelajar sarjana muda, terutamanya mengenai Wawasan 2020 dan arah tuju masyarakat Malaysia, di mana saya telah menyentuh mengenai peranan individu yang stabil di dalam memacu pembangunan negara dan bangsa. Antara kriteria stabil itu ialah self-esteem, di mana ia mempunyai dua bentuk, tinggi dan rendah. Dan antara fakta-fakta yang mempengaruhi jati diri seseorang itu ialah proses pembesarannya semenjak kecil.

Inilah yang diceritakan semula oleh Gandhi di dalam bab pertamanya. Mengenai pengalaman beliau dibesarkan dan sistem pendidikan yang beliau perolehi.

Satu pengalaman yang agak menarik ialah bagaimana beliau cuba untuk tidak menipu, terutamanya kepada keluarga, guru dan kawan-kawannya.

Misalnya di dalam satu insiden, Gandhi dan pelajar-pelajar lain telah disoal oleh nazir yang melawat sekolah mereka untuk mengeja dan menulis perkataan 'kettle'. Malangnya Gandhi tersilap. Oleh kerana guru-gurunya 'takut' dengan nazir, maka mereka telah cuba membantu setiap pelajar dengan memberikan mereka petunjuk. Semua pelajar berjaya mengejanya dengan bantuan, manakala Gandhi memikirkan ini adalah satu penipuan. Oleh kerana memegang prinsipnya untuk tidak menipu, maka hanya beliau sahaja yang salah. Gandhi membiarkan kesalahan itu kerana kebenaran.

Sesuatu yang dapat dipelajari daripada awalan buku ini ialah bagaimana pengalaman, kenangan dan persekitaran masa silam membentuk peribadi seseorang.

2 comments:

Unknown said...

Salam,
Saya sudah banyak akli pegang buku ini, mahu beli tetapi tak jadi. Tulisan dan mutu cetakannnya kurang menyelerakan.

Khairusy Syakirin Has-Yun said...

Rasanya jiwa kena beli juga. Ia walaupun cetakan India, dan dengan harganya yang murah, tetapi tulisan ini adalah tulisan hati Gandhi, yang ditulis bersahaja. Mencungkil pengalamannya mencari kebenaran, sedikit-sebanyak membuat saya bersyukur sendirian kerana dilahirkan dengan rezeki yang Allah telah berikan - Islam.