Tuesday, February 16, 2010

Baca: Ahmadinejad


Selesai membaca Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam. Iran, yang merupakan sebuah negara 'asing' bagi saya (dan kemungkinannya kepada masyarakat Malaysia umumnya). Mungkin kerana propaganda Barat dan media massa yang selalu mengaitkannya dengan Syiah dan pengganas. Bangsa Parsi, yang menjadi tulang-belakang sejarah umat Iran memang terkenal dalam sejarah sebagai bangsa yang bijak.

Buku Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam ini ditulis oleh barisan pengarang Indonesia yang pernah belajar di Iran, dan memahami selok-belok Iran malah fasih berbahasa Parsi. Maka, seharusnya buku ini bukanlah cedokan dari mana-mana sumber Barat.

Sebelum sejarah Ahmadinejad disingkap, penulis terlebih dahulu menyingkap sejarah ringkas politik Iran yang diterajui oleh keluarga Syah, dihalau dan berlakunya Revolusi Islam 1979 yang dipimpin oleh Ayatollah Khomeini. Ahmadinejad, secara peribadinya ditulis secara jujur di dalam buku ini yang menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin rakyat yang berjiwa rakyat. Bersesuaian dengan penampilannya yang ringkas, mengingatkan kita kepada Umar Abdul Aziz.

Yang paling menarik di dalam buku ini ialah surat Ahmadinejad kepada Presiden Bush, rakyat Amerika dan juga wawancara antara Majalah Der Spiegel Jerman dengan Ahmadinejad.

Secara jujur, saya begitu terkesan dengan buku yang ditulis ringkas ini, dan menginginkan bacaan tambahan untuk mengenali Iran dan presidennya dengan lebih dekat. Lantas, dibeli dua buah buku lagi:
  1. The Ayatollah Begs to Differ: The Paradox of Modern Iran (Hooman Majd)
  2. Travelog Iran: Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad (Dina Sulaiman)