Monday, April 27, 2009

Sambutan Hari Buku Sedunia di perhimpunan sekolah



Saya dijemput oleh Sekolah Menengah Sungai Pusu (kredit diberikan kepada isteri...hehe), untuk bercakap 10 minit pada perhimpunan sekolah pagi tadi berkaitan dengan Pesona Buku. Telah saya ambil kesempatan yang singkat ini untuk memperkenalkan sebahagian buku-buku yang ada di perpustakaan peribadi saya. Memang tidak cukup masa 10 minit itu, tetapi saya amat berharap supaya ruang masa yang diberi ini dapat mengubah pemikiran anak-anak bangsa saya ini. Saya doakan.

Sunday, April 26, 2009

Perayaan Hari Bumi


Kesempatan yang ada pada hujung minggu ini, saya habiskan bersama rakan-rakan (Khul dan Long) untuk berjalan-jalan di dalam hutan sambil mengambil gambar-gambar serangga di Taman Rimba Komuniti Kota Damansara.

Tidak menyangka pula rupa-rupanya hari ini adalah perayaan Hari Bumi peringkat Kota Damansara, di mana telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor.

Beberapa foto yang telah saya abadikan:



Saturday, April 25, 2009

FORUM MALAYSIA MEMBACA KE-3 (2009)




Alhamdulillah, Komuniti Bukuonline dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara, Akademi Buku Malaysia dan Kumpulan PTS telah berjaya menganjurkan Forum Malaysia Membaca ke-3 (2009) semalam, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ramai yang hadir, disebabkan lokasi pentasnya dan yang paling penting kerana telah dijayakan oleh barisan panelis yang tidak perlu diperkenalkan biodata masing-masing: Dato' SN A. Samad Said, dan bakal sasterawan Faizal Tehrani, dan wakil industri perbukuan Tuan Haji Hassan Hamzah. Forum ini telah dipengerusikan oleh Sayed Munawar yang berpengalaman mengendalikan forum-forum secara langsung di TV, terutamanya terbitan beliau sendiri Di Luar Lingkungan di TV1 pada setiap Isnin malam.

Forum ini telah berjaya mencuri perhatian pengunjung pesta buku kerana tema forum ini berkisar tentang pesona buku Melayu dan tentunya Sayed telah membawa perbincangan sensitif berkaitan PPSMI dengan penglibatan Sasterawan Negara secara langsung terhadap gerakan anti-PPSMI dan pemantapan Bahasa Melayu di dalam masyarakat Malaysia.

Faizal Tehrani juga berjaya mencuri perhatian pengunjung dengan komen-komen bernas beliau yang turut bersama dengan gerakan murni ini. Manakala Tuan Haji Hassan yang mewakili industri perbukuan memberi komitmen seriusnya terhadap pemantapan buku-buku berbahasa Melayu.

Alhamdulillah...dan Insya Allah, komuniti bukuonline akan meneruskan perjuangan kami untuk memperjuangkan Bahasa Melayu dan buku-buku yang ditulis di dalam bahasa ini.

Dari bilik berita Astro Awani

video

Sunday, April 19, 2009

Hari kedua berPesta Buku

Berehat sambil membaca

Si kakak bersama bukunya

Si abang kepenatan mencari buku yang belum ketemu

Semalam, giliran anak-anak dan isteri pula mengikuti saya membeli-belah di 'pasar ilmu' - untuk mencari makanan minda - ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Sengaja saya membawa mereka menaiki STAR LRT untuk memberikan pengalaman berbeza terutamanya kepada anak-anak.

Tidak banyak buku yang saya beli untuk diri sendiri kerana semalam sudah menjadi satu titik sejarah. Sebaliknya kali ini giliran anak-anak dan isteri pula untuk memilih dan membeli buku-buku pilihan sendiri.

Barisan buku tulisan ayah di gerai DBP


Salah sebuah buku yang dibeli kakak

Anak-anak bergambar dengan penulis Balqis MZ

Friday, April 17, 2009

Hari pertama berPesta Buku


Seawal 10 pagi, sebaik-baik sahaja dibuka pintu PWTC, saya dan seorang sahabat terus memasuki ruang ilmu - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pun bermula!!!

Untuk itu, secara rasminya juga ingin saya maklumkan di sini bahawa sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, komuniti bukuonline.net akan menganjurkan FORUM MALAYSIA MEMBACA:

Tarikh: 25 April 2009 (Sabtu)
Masa: 12 - 1 tengah hari
Tempat: Pentas Utama PBAKL
Panelis: Datuk A. Samad Said dan Faizal Tehrani
Moderator: Sayed Munawar
Tajuk: PESONA BUKU MELAYU


Juga secara rasminya juga telah saya beli beberapa buah buku di hari pertama pesta:


  1. Telaga Budi (Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)
  2. Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat (Abdul Shukur Haron & Annual Bakri Haron)
  3. Buit Duit dengan Cacing Tanah (Mohamad Saat Sukami)
  4. Sejarah Tamadun Islam Jilid 1-14 (Abu Al-Fida Al Hafiz Ismail ibn Kathir)

Monday, April 13, 2009

Mesyuarat Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3

Baru pulang dari menghadiri mesyuarat Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3. Hasil daripada perbincangan tadi, jawatankuasa dimaklumkan bahawa tarikh asal 14 Mei 2009 itu perlu ditangguhkan kepada tarikh 21 Mei 2009 di atas sebab-sebab tertentu. Namun begitu, senarai pembentang telah dikenalpasti. Seminar tahun ini bertemakan PESONA PERPUSTAKAAN. Jemputan secara rasmi akan diletakkan di web rasmi bukuonline.net nanti.

World Book Day @ Popular Bookstore

Dapat email yang telah dipanjangkan (apa perkataan Melayu untuk forward?) oleh khul mengenai aktiviti dan promosi di kedai buku Popular sempena sambutan Hari Buku Sedunia (dari 17 - 30 April 2009). Mahu tahu apa yang ditawarkan, ayuh ke Popular Bookstore.

Mengenai Hari Buku Sedunia, saya pernah menulisnya di Utusan Malaysia tahun lepas, baca sini.

Boleh muat turun poster rasmi Worldbook and Copyright Day 2009 di sini.

Saturday, April 11, 2009

Si kecil yang membaca


Membawa anak-anak ke Karnival Buku di Sekolah Teknik Gombak. Bukanlah satu pesta, namun keghairahan pelajar-pelajar sekolah teknik membelek dan memilih buku amat mengujakan.

Anak-anak memilih buku masing-masing. Walaupun si kecil masih belum mengenali huruf-huruf, apatah lagi membaca, namun kerana melihatkan abang dan kakaknya telah membeli buku masing-masing, si kecil juga terus memilih bukunya sendiri.

Galeri Seni


Seni mungkin belum lagi dimasyarakatkan sepenuhnya di Malaysia. Namun usaha ke arah itu, terutamanya di bandar-bandar besar telah lama dimulakan. Kewujudan Galeri Petronas, Balai Seni Lukis Negara antara usaha bersepadu kerajaan. Malah kemunculan beberapa galeri seni peribadi juga tumbuh bagai cendawan di Kuala Lumpur. Ini adalah petanda positif bahawa seni mula mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

Seni penting untuk mengimbangi kekerasan politik dan ekonomi. Seni juga antara bidang ilmu yang Allah wujudkan untuk manusia pelajari dan perhalusi. Kerana seni berupaya mendidik hati dan minda manusia untuk lebih sensitif dengan alam dan hati manusia lain.

Sekiranya ekonomi mampu mengubah taraf hidup manusia, namun sekiranya ia bergerak sendiri tanpa dibantu dengan elemen seni, manusia itu akan lebih bersifat rakus dan tamak.

Sekiranya politik mampu mempengaruhi manusia untuk maju kehadapan dengan dipimpin saf kepimpinan yang dipilih, namun sekiranya ia juga tidak dibantu elemen seni, manusia itu akan lebih bersifat zalim.

Seni adalah antara elemen terpenting. Namun, seni juga perlu dibantu dengan elemen lain yang lebih kuat dan kukuh, iaitu elemen keimanan kepada Maha Pencipta kita. Dan Insya Allah, sekiranya kesemua elemen ini bergabung dan diimbangi dengan kebijaksanaan, kita mampu menjadi satu bangsa yang berjaya.

Pulang dari Johor Bahru semalam, saya dan rakan-rakan (jasasikin dan amir) terus bergegas menghadiri perasmian pameran Matahati ke Matadunia di Galeri Chandan. Sekumpulan 5 orang pelukis yang telah lama bergabung sebagai sebuah kumpulan (di mana Bayu Utomo - yang amat dikenali menerusi cover jacket kaset Search satu ketika dahulu, juga antara pelukis-pelukis itu) telah berjaya menempatkan karya-karya mereka di persada seni tanahair dan tidak lama lagi di Amerika Syarikat.

Bersama Labu dan Labi


Sekelumit ruang seni di kanvas Bayu Utomo


Seni sebesar dinding

Thursday, April 9, 2009

Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja

Hari ini menghadirkan diri ke Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja 2009 (dengan mewakilkan diri menggantikan ayah) yang telah dianjurkan bersama Jabatan Bahasa Melayu UPM dan Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA) DBP. Telah diadakan dengan jayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya tertarik dengan kata-kata aluan Ketua Pengarah DBP di dalam buku atucaranya:

Sastera kanak-kanak dan remaja mempunyai peranan dan fungsi yang penting sebagai wadah pendidikan dan mempunyai pengaruh dalam kehidupan dan pembangunan masyarakat.

Dan juga menerusi Pengenalan kepada seminar tersebut:

Terdapat beberapa kekurangan dalam proses pertumbuhan dan perkembangan karya sastera kanak-kanak dan remaja tanah air. Antaranya kesungguhan dan ketekunan penglibatan serta penghasilan karya sastera kanak-kanak dan remaja masih jauh ketinggalan dibandingkan dengan apa yang berlaku dalam perkembangan karya sastera dewasa. Sastera kanak-kanak dan remaja bukan sahaja ketinggalan dari segi usia malah dari aspek penglibatan penulis. para pengkritik dan para sarjana dalam pelbagai disiplin yang ada kaitannya dengan dunia kanak-kanak dan remaja itu sendiri. di situlah kesusasteraan kanak-kanak dan remaja itu terabai dan serentak dengan itu pula masyarakat semacam melupakan kebernasan pemikiran warisan bangsa yang menegaskan, "Jika melentur buluh biarlah daripada rebungnya".

Memang benar, sastera kanak-kanak dan remaja amat penting bagi sesebuah negara-bangsa yang sedang membangun. Pendidikan bukan sahaja perlu berkisar pada bagusnya sistem persekolahan formal, malah isi buku yang dibaca oleh golongan ini perlu juga dipantau. Penyelidikan tentang isi dan kaedah penulisan buku kanak-kanak dan remaja masih belum mendalam. Ini cuma dari pemerhatian saya sahaja. Buktinya senang sahaja, cuba lihat jenis dan isi buku yang terjual di kedai-kedai buku. Isinya tidak menggambarkan falsafah pendidikan, iaitu:

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Wednesday, April 8, 2009

Komunikasi

Menerusi bab The Ethnic Theory of Plane Crashes, Malcom Gladwell (Outliers) cuba merungkai di sebalik tabir kemalangan beberapa kes kapal terbang terhempas, terutamanya yang melibatkan syarikat penerbangan Korea.

Dipendekkan cerita, faktor utama adalah komunikasi. Sama ada kerana cuaca, atau keadaan kapal terbang, sekiranya komunikasi baik antara pilot, co-pilot dan menara, kemalangan dapat dielakkan. Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya sekiranya komunikasi itu tidak berlangsung dengan baik.

Begitu juga apa yang telah berlaku di pilihanraya kecil semalam (sama ada Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang menyaksikan kemenangan PR - atau di Batang Ai yang dimenangi BN), ada sesuatu yang tidak kena di dalam penyampaian maklumat kepada pihak-pihak yang kalah, dan tentu sebaliknya komunikasi berkesan kepada pihak yang menang.

Itulah juga yang telah dibincangkan panjang lebar menerusi Analisis Astro AWANI semalam. Yang pasti, masyarakat Malaysia telah berfikir dengan matang.

Tuesday, April 7, 2009

Ahli Politik (dan cerita-cerita lain)

Buku ini juga merupakan antara beberapa buah buku yang telah dapat saya dan ayah selamatkan dari dimakan anai-anai di stor Yayasan Penataran Ilmu. Sebuah buku lama, yang dikarang oleh seorang pengarang Thailand. Merupakan sebuah antologi cerpen yang berbentuk realisme. Kebanyakkan cerpen yang ditulis sekitar tahun 1950an - 1970an.

Pengarang cuba menggambarkan suasana dan situasi masyarakat Siam pada ketika itu, yang rata-ratanya miskin dan yang sentiasa memikirkan bahawa terdapat dua jenis kelompok manusia - di kampung dan di kota.

Namun, sebagai seorang pengarang yang telah menempah nama di US, Eropah dan Afrika, Khamsing Srinawk cuba mendidik para pembacanya (yang pada ketika itu mungkin berada di dalam kelompok pertama, yang sentiasa digambarkan sebagai mereka yang terlalu mempercayai karut-marut dan ketinggalan dari segi pendidikan dan teknologi) untuk berubah.

Salah sebuah cerpen yang saya minati yang menjadi tajuk antologi ini, AHLI POLITIK, yang mengisahkan bagaimana calon-calon pilihanraya yang membawa pelbagai janji manis untuk membeli undi dan kepercayaan penduduk, akhirnya dikalahkan oleh seorang bekas sami yang pemabuk tetapi jujur.

Apa pula ceritanya di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai hari ini?

Monday, April 6, 2009

Za'ba dan Bahasa Melayu

Buku ini telah lama saya miliki, telaah dan menjadi rujukan utama saya apabila memperkatakan tentang politik, Melayu dan juga Bahasa Melayu. Saya pernah mengupas buku ini di Utusan Malaysia, dengan tajuk Pemikiran Za'ba dan Masyarakat Melayu Abad 21.

Yang menariknya, buku ini saya perolehi ketika ayah dan saya menyelongkar (dengan kebenaran) stor Yayasan Penataran Ilmu (sebelah rumah GAPENA). Buku ini (bersama-sama buku lain) telah hampir dijamahi anai-anai.

Za'ba, seorang penulis dan pemikir terlalu banyak menulis dan memikirkan masa hadapan orang Melayu. Antara yang sentiasa diperjuangkannya ialah tentang Bahasa Melayu. Sekiranya pada tahun-tahun Za'ba menulis di akhbar (sekitar tahun 1916-1923) merupakan zaman sebelum merdeka, Za'ba telah pun memulakan keazamannya untuk melihat bangsa Melayu bangun dalam acuan mereka sendiri dengan memartabatkan Bahasa Melayu, maka adakah pada tahun-tahun kebelakangan ini kita kembali kebelakang? Ke zaman penjajah semula?

Atau adakah Za'ba boleh melihat masa hadapan (dan kerana itu pemikirannya masih relevan) atau kita yang tidak ke hadapan (yang menjadikan pemikiran Za'ba itu masih relevan)?

Tulis Za'ba di dalam Utusan Melayu (10 Mei 1917):

Maka pelajaran ini (Bahasa Melayu) tidaklah dapat dicapai perjalanan dan perhinggaan yang sempurna melainkan dengan dibangunkan di negeri ini satu atau dua Madrasah Besar (universiti) yang layak dihimpunkan segala jenis pelajaran dunia dan akhirat yang telah melintasi di hati manusia....

Ironinya, sekarang memang sudah begitu banyak universiti tertubuh di negara kita. IPTA mahupun IPTS tidak lagi memperjuangkan Bahasa Melayu. Sebaliknya bahasa penjajah itu masih lagi ligat digunakan. Seharusnya hanya UIAM sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pembelajaran di dalam bahasa Inggeris, namun apa yang terjadi kini hampir kesemua IPTA (apatah lagi IPTS) menggunakan bahasa itu dengan seluas-luasnya.

Yang menariknya pelajar-pelajar asing di UIAM pula begitu fasih berbahasa Melayu!

Wednesday, April 1, 2009

Mari berPesta!

17hb - 26hb April nanti, akan berlangsunglah satu lagi pesta yang amat dinanti-nantikan oleh pencinta ilmu (dan tentunya buku!), Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang bertemakan Buku: Lakaran Masa Depan.

Bersesuaian dengan tema itu jugalah, komuniti bukuonline akan menganjurkan FORUM MALAYSIA MEMBACA yang akan diadakan pada 25 April 2009 (jam 12:00 - 1:00 tengah hari), bertempat di Dewan Utama PBAKL (di PWTC), yang akan memfokuskan perbincangan forum kepada tajuk PESONA BUKU MELAYU: MASA KINI DAN MASA HADAPAN.

Masuk adalah PERCUMA. Dan kepada semua pencinta bangsa dan bahasa, ayuh ke mari, dan mari kita tunjukkan semangat juang bangsa-bahasa kita sepertimana yang pernah ditunjukkan oleh pejuang bangsa-bahasa kita dahulu.

* berita selanjutnya akan menyusul kemudian