Hari ini menghadirkan diri ke Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja 2009 (dengan mewakilkan diri menggantikan ayah) yang telah dianjurkan bersama Jabatan Bahasa Melayu UPM dan Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA) DBP. Telah diadakan dengan jayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saya tertarik dengan kata-kata aluan Ketua Pengarah DBP di dalam buku atucaranya:
Sastera kanak-kanak dan remaja mempunyai peranan dan fungsi yang penting sebagai wadah pendidikan dan mempunyai pengaruh dalam kehidupan dan pembangunan masyarakat.
Dan juga menerusi Pengenalan kepada seminar tersebut:
Terdapat beberapa kekurangan dalam proses pertumbuhan dan perkembangan karya sastera kanak-kanak dan remaja tanah air. Antaranya kesungguhan dan ketekunan penglibatan serta penghasilan karya sastera kanak-kanak dan remaja masih jauh ketinggalan dibandingkan dengan apa yang berlaku dalam perkembangan karya sastera dewasa. Sastera kanak-kanak dan remaja bukan sahaja ketinggalan dari segi usia malah dari aspek penglibatan penulis. para pengkritik dan para sarjana dalam pelbagai disiplin yang ada kaitannya dengan dunia kanak-kanak dan remaja itu sendiri. di situlah kesusasteraan kanak-kanak dan remaja itu terabai dan serentak dengan itu pula masyarakat semacam melupakan kebernasan pemikiran warisan bangsa yang menegaskan, "Jika melentur buluh biarlah daripada rebungnya".
Memang benar, sastera kanak-kanak dan remaja amat penting bagi sesebuah negara-bangsa yang sedang membangun. Pendidikan bukan sahaja perlu berkisar pada bagusnya sistem persekolahan formal, malah isi buku yang dibaca oleh golongan ini perlu juga dipantau. Penyelidikan tentang isi dan kaedah penulisan buku kanak-kanak dan remaja masih belum mendalam. Ini cuma dari pemerhatian saya sahaja. Buktinya senang sahaja, cuba lihat jenis dan isi buku yang terjual di kedai-kedai buku. Isinya tidak menggambarkan falsafah pendidikan, iaitu:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment