Buku ini telah lama saya miliki, telaah dan menjadi rujukan utama saya apabila memperkatakan tentang politik, Melayu dan juga Bahasa Melayu. Saya pernah mengupas buku ini di Utusan Malaysia, dengan tajuk Pemikiran Za'ba dan Masyarakat Melayu Abad 21.
Yang menariknya, buku ini saya perolehi ketika ayah dan saya menyelongkar (dengan kebenaran) stor Yayasan Penataran Ilmu (sebelah rumah GAPENA). Buku ini (bersama-sama buku lain) telah hampir dijamahi anai-anai.
Za'ba, seorang penulis dan pemikir terlalu banyak menulis dan memikirkan masa hadapan orang Melayu. Antara yang sentiasa diperjuangkannya ialah tentang Bahasa Melayu. Sekiranya pada tahun-tahun Za'ba menulis di akhbar (sekitar tahun 1916-1923) merupakan zaman sebelum merdeka, Za'ba telah pun memulakan keazamannya untuk melihat bangsa Melayu bangun dalam acuan mereka sendiri dengan memartabatkan Bahasa Melayu, maka adakah pada tahun-tahun kebelakangan ini kita kembali kebelakang? Ke zaman penjajah semula?
Atau adakah Za'ba boleh melihat masa hadapan (dan kerana itu pemikirannya masih relevan) atau kita yang tidak ke hadapan (yang menjadikan pemikiran Za'ba itu masih relevan)?
Tulis Za'ba di dalam Utusan Melayu (10 Mei 1917):
Maka pelajaran ini (Bahasa Melayu) tidaklah dapat dicapai perjalanan dan perhinggaan yang sempurna melainkan dengan dibangunkan di negeri ini satu atau dua Madrasah Besar (universiti) yang layak dihimpunkan segala jenis pelajaran dunia dan akhirat yang telah melintasi di hati manusia....
Ironinya, sekarang memang sudah begitu banyak universiti tertubuh di negara kita. IPTA mahupun IPTS tidak lagi memperjuangkan Bahasa Melayu. Sebaliknya bahasa penjajah itu masih lagi ligat digunakan. Seharusnya hanya UIAM sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pembelajaran di dalam bahasa Inggeris, namun apa yang terjadi kini hampir kesemua IPTA (apatah lagi IPTS) menggunakan bahasa itu dengan seluas-luasnya.
Yang menariknya pelajar-pelajar asing di UIAM pula begitu fasih berbahasa Melayu!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam 3alayk tuan,
bagaimana ya sy boleh dapatkan/beli/miliki buku ini. sangat memerlukan.
jazakallahu khoer
Post a Comment