Tuesday, December 9, 2008

Membaca jurnal PEMIKIR

Selesai membaca Jurnal PEMIKIR keluaran Oktober – Disember 2008. Terdapat 10 artikel. Berbekalkan dua buah artikel berkaitan dengan pengajaran bahasa inggeris di dalam subjek sains dan matematik, menjadikan ia isu utama yang dibincangkan di dalam PEMIKIR kali ini. Salah-sebuah artikelnya yang bertajuk Asas Pembangunan Bahasa Kedua, tulisan Harison Mohd. Sidek, membicarakan kepentingan membaca sebagai salah-satu jalan penyelesaian yang berkesan untuk membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris, iaitu bahasa kedua pentingnya di Malaysia. Menurut Harison, membaca boleh membantu para pelajar menguasai sesuatu bahasa dengan lebih berkesan, jika dibandingkan dengan hanya melalui perbualan atau pendengaran. Ini adalah kerana dengan membaca, para pembaca sesuatu teks didedahkan kepada tatabahasa dan perkataan-perkataan yang lebih tersusun, lantas memudahkan penguasaan bahasa itu.


Yang menariknya, Harison juga mempertikaikan kaedah penguasaan bahasa Inggeris melalui pengajaran sains dan matematik, yang menyoal sudahkah pelajar-pelajar yang terlibat di dalam implementasi bahasa kedua bagi sains dan matematik ini menguasai bahasa Inggeris secara umumnya melalui pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua?


Pada hemat saya, mengapa pula kita terlalu mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu sehingga menganaktirikan bahasa ibunda kita sendiri. Tidak salah menguasai 1001 bahasa sekalipun, jika ia dapat mengangkat martabat sesuatu bangsa yang boleh menguasai pelbagai bahasa lantas dapat menyerap sebanyak-banyak ilmu pengetahuan dari segala pelosok dunia. Memang benar bahasa Inggeris perlu dipelajari, namun bahasa-bahasa lain juga perlu turut dipelajari, sepertimana yang pernah ditulis oleh Za’ba, yang ingin melihat orang Melayu juga dapat menguasai bahasa Cina dan India. Betapa ruginya kita yang hidup dalam masyarakat majmuk, sekiranya bahasa jiran sebelah rumah pun kita tidak dapat menguasainya, apatah lagi bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Namun, bahasa Melayu sebagai tonggak keagungan bangsa Melayu perlu terus diperkasakan.


Penguasaan beberapa jenis bahasa ini, dapat pula sekiranya memperkasakan bahasa Melayu itu sendiri. Kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan...., memang ada benarnya.


Manakala dalam satu lagi artikel yang ditulis oleh Tan Yao Sua, bertajuk Generasi Pertama Hadapi UPSR, mengemukakan beberapa tulisan sarjana-sarjana yang mempertahankan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, misalnya Szepe (1984: Mother Tongue, Language Policy and Education) berkata bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda merupakan satu hak asasi manusia dan persoalan pokok tentang bahasa ibunda bukan berkait dengan sama ada bahasa ibunda perlu digunakan, tetapi bagaimana bahasa ibunda perlu digalakkan.


Malah Tan juga cuba mengaitkan perhubungan antara bahasa pertama dengan bahasa kedua, di mana beliau percaya kedua-dua bahasa ini saling bergantung antara satu sama lain.

3 comments:

MARSLI N.O said...

Sdr: Saya membaca entri Sdr yang ini dengan penh teliti dan minat. Walau tidak diucap apa yang terbuku, namun kita pasti mengerti maksud dan erti. Terima kasih kerana mengizinkan saya membaca.

Khairusy Syakirin Has-Yun said...

terima kasih juga kerana mengerti

fusarium solani said...

Salam,

Membaca buku dan akhbar berbahasa Inggeris berserta sebuah kamus ataupun tesaurus amatlah baik terutamanya dalam membina kefahaman dan daftar kata. Namun, berapa ramai yang sanggup mengelek kamus?

Jalan pintas yang ada kini bukanlah yang terbaik, mungkin usaha meluruskan jalan pembelajaran bahasa itu lebih baik daripada mengistiharkan jalan pintas itu sebagai lebuhraya!