Agaknya Denai Buku boleh diterjemahkan dari Book Trail...satu idea yang saya dapat dari Diskusi Kota Buku semalam yang berlangsung di DBP. Pengalaman berharga pegawai-pegawai dari Yayasan Kampung Buku Malaysia yang mempunyai banyak jaringan dengan kampung-kota buku seluruh dunia.
Book Trail merupakan antara aktiviti 'biasa' biblioholist dari seluruh dunia. Katanya hampir 15 juta biblioholist bergerak dari satu kampung buku ke kampung buku lainnya. Terdapat hampir 33 buah kampung buku di seluruh dunia.
Saya cuma rasa terkilan apabila mengenangkan nasib Kampung Buku di Langkawi, juga yang dibangga-banggakan sekarang di Melaka. Konsep Kampung Buku di Langkawi amat saya kagumi, cuma sayangnya ia hancur dalam sekelip mata. Namun konsep kampung buku di Melaka amat tidak saya senangi!
Denai buku, sama ada kita punyai sebuah kampung atau kota buku, amat sesuai kita gerakkan sekarang. Tidak perlu untuk menunggu sebuah kampung/kota buku impian terbina di sini atau punyai wang sedikit untuk mengembara ke luar negara melawat kampung buku di sana.
Cukuplah dengan ada beberapa buah kedai buku di Malaysia. Komuniti bukuonline satu ketika dahulu pernah menganjurkan Kembara Kedai Buku. Ideanya mudah: kumpul beberapa ahli dan bergerak dari satu kedai buku ke kedai buku lain.
Mungkin dengan idea yang lebih mantap, Denai Buku perlu lebih kreatif. Mungkin selain daripada melawat kedai-kedai buku yang tersedia ada, pengembara Denai Buku perlu mencari kedai-kedai buku yang lebih unik. Tentu terdapat di sebalik pekan-pekan kecil kita di Malaysia, kedai-kedai buku kecil tetapi unik. Unik daripada segi jenis buku yang dijual, cara jualannya, malah mungkin rekabentuk kedai itu sendiri.
Pengembara Denai Buku perlu melakar kembali perjalanan mereka. Dan meninggalkan jejak-jejak, sama konsepnya seperti denai di hutan. Pengembara terkemudian akan mengikuti dan mungkin menemui lokasi-lokasi yang lain pula.
Sekadar idea gila!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment