Wednesday, January 13, 2010

Azam 2010 (versi terlewat)


Rupa-rupanya sudah 13 hari tahun 2010 menjenguk masuk. Tidak sempat untuk saya catat peristiwa penting itu. Walaupun internet di hujung jari, namun kesibukan diri dengan perkara-perkara lain tidak memungkinkan saya untuk mencatatkan sesuatu sebagai lambang bermulanya tahun baharu di blog ini. Terasa segalanya berlalu begitu pantas.

Azam tahun ini, pastinya ingin membaca lebih banyak. Azam untuk membaca 100 buah buku di dalam tahun 2010. Dan pastinya buku-buku yang berkualiti dan berilmu. Azam juga untuk melihat amalan membaca akan menjadi satu budaya di kalangan masyarakat Malaysia. Tentunya artikel-artikel saya sudah tidak diperlukan untuk mengupas amalan-budaya membaca ini. Sebaliknya saya akan melakukannya dengan lebih sistematik mengikut adab ilmu yang akan disusuli dengan gerak kerja dan teori yang lebih bersifat akademik.

Juga di tahun ini, ingin saya memiliki sebuah rak buku yang benar-benar menggambarkan tradisi ilmu yang tinggi. Sebuah rak (sebenarnya lebih dari satu rak diperlukan) yang menempatkan buku-buku yang dimiliki, bukannya di sebuah bilik yang digelar perpustakaan, sebaliknya lebih dirakyatkan, untuk diletakkan di kawasan umum di rumah saya.

Saya perlu lebih pantas membaca. Lebih perlu tersusun minda untuk menterjemahkan semua pembacaan itu ke dalam bentuk tulisan - mungkin dalam bentuk sebuah buku. Saya perlu lebih memilih untuk membeli bahan bacaan. Perlu lebih berani untuk menerokai ruang ilmu yang lebih berat.

Umur 35 tahun yang baru beberapa hari diraikan perlu saya raikannya dengan kematangan berfikir. Kematangan bertindak. Dan terpenting, berazam ingin melihat semua lapisan masyarakat di Malaysia dididik dengan ilmu yang lebih tinggi sifatnya.

Moga Allah memberi kekuatan untuk saya merealisasikannya dalam tahun 2010 ini.....

6 comments:

Jiwa Rasa said...

Kirin,

Salam ulangtahun kelahiran. Panjang umur murah rezeki. Moga tercapai azam tahun baru umur baru.

100 buku setahun bermakna kita mesti baca 2 buku seminggu atau mesti menghabiskan 1 buku dalam masa 3 hari!

Khairusy Syakirin Has-Yun said...

Terima kasih....ya...saya cuba mencongak tadi..2 buku seminggu, rasanya boleh :)

taufiq said...

Semalam terbaca dari link twitter, ada seorang pembaca buku tegar di US ini. Setahun menghabiskan 200 buah buku lazimnya. Pada hujung tahun akan menghantar kebanyakan buku-bukunya ke perpustakaan awam agar dapat dikongsi bersama dengan orang lain.

Adakah ini bisa menjadi 'trend' di negara kita suatu hari nanti? Apa pendapat tuan?

Khairusy Syakirin Has-Yun said...

taufiq: ya, semoga ia juga menjadi satu ikutan yang baik di Malaysia. Tapi kita dah ada seorang macam tu...Dato' Jaafar Rahim, pemilik 45,000 buah buku yang dibaca dan dimilikinya...setahun yang lalu telah mendermakan 11,000 buah buku kepada rumah anak-anak yatim.

fusarium solani said...

Salam,

Tuan,

Selamat hari lahir. Wah. Azam yang berat sikit bagi saya itu...Mungkin 50 buah buku setahun saya mampu.

Khairusy Syakirin Has-Yun said...

hehe..terima kasih. Memang itulah sifat azam..meletakkan yang mustahil untuk dicapai supaya segala usaha dilipatgandakan untuk mencapainya...berpeluh juga!