Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 sudah bermula. Namun belum berkesempatan untuk ke sana. Ongkosnya pun perlu dicari terlebih dahulu sebelum dapat memijak masuk PWTC, kalau tidak mungkin sia-sia ke sana untuk hanya menjamu mata!
Itu selingan, sehingga pesta buku itu diselongkar masuk dan dikhatam buku-bukunya. Saya tidak bercadang mahu bernostalgia tentang pesta buku ini yang sudah hampir 10 tahun tidak pernah saya melepas ruang waktu untuk memasukinya kecuali pada tahun-tahun saya tidak di Malaysia untuk tujuan pengajian dahulu.
Impian saya tahun ini adalah untuk mendapatkan buku-buku yang lebih berkualiti, tidak semestinya baru diterbitkan tetapi membantu untuk saya memasuki dunia ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam.
Saya inginkan buku-buku yang jujur. Ditulis dengan berkesan, tidak semestinya cantik pada kulit (walaupun saya akui kadang-kala saya tertarik pada kulitnya sebelum saya cuba menyentuh isinya!) tetapi isinya dikupas dengan baik seperti siri tulisan atau buku Malcolm Gladwell di mana buku-bukunya diterbit ringkas dengan kulit buku berwarna putih yang menjadi trademark penerbitannya.
Saya juga inginkan pesta buku kali ini benar-benar berfungsi sebagai pesta buku, dan bukannya pesta untuk menjual barangan lain seperti pengajian bahasa atau tempat ulat berkumpul untuk memaksa pengunjung termakan buah epal yang cuba dijual mereka.
Saya inginkan jumlah pembelian buku oleh pengunjung bertambah dari pesta ini. Tetapi pastinya bukan dengan nilai ringgit yang dibelanjakan kepada buku atau bahan bacaan yang tidak berkualiti. Mungkin ada yang tidak bersetuju bahawa bahan bacaan perlu disaring kerana mungkin percaya rakyat Malaysia perlu membaca apa sahaja terlebih dahulu untuk menjadikan amalan membaca itu sebagai satu budaya. Memang benar, tetapi hanya benar pada peringkat permulaan pembudayaan membaca. Kita seharusnya sudah berada di peringkat ketiga, iaitu peringkat pemerkasaan pembudayaan membaca. Rakyat Malaysia sudah perlu dididik untuk memilih judul dan jenis bahan bacaan (dalam konteks ini - buku) yang berkualiti, lantas dididik pula untuk membaca secara kritis. Kerana dalam dunia akhir zaman ini, fitnah adalah virus yang menyebabkan manusia itu bernanah menahan sakit.
Mungkin terlalu banyak impian saya sebagai seorang insan yang kerdil untuk mengharapkan sesuatu yang besar berlaku di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat Islam. Tetapi impian-impian saya ini dari pesta buku yang sedang berlangsung ini bukanlah hanya satu impian sebagai seorang biblioholist atau mangsa kapatalisme, sebaliknya amat risau dengan apa yang sedang melanda negara kita dari segi keruntuhan akhlak generasi terkini, dan mungkin jika tidak dibendung - keruntuhan institusi kekeluargaan! Dan jika tahap itu melanda Malaysia, kita mungkin sudah terlambat sepertimana apa yang telah berlaku di US dan UK!
Buku mungkin bukan jawapan yang mutlak kepada penyelesaian epedemik sosial di negara kita, namun ia juga tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa mengambilkira pentingnya buku yang berkualiti dan berilmu dalam usaha penyekatan elemen negatif itu. Ia tetap membantu, malah sepertimana yang sering didengar (dan mungkin tanpa difahami secara mendalam), Iqra' - merupakan usaha pertama untuk menghapuskan elemen jahiliah dalam tamadun manusia!
Pesta buku ini adalah penentunya (dan pasti sekali lagi, ia bukanlah penentu yang mutlak!), namun saya yakin ia adalah penentu yang pasti untuk menjadi benteng pertahanan kepada manusia daripada sesat ke jalan kesesatan dan menjadi pembimbing kepada keimanan. Dengan syarat buku itu berkualiti dan berilmu! Pesta ini perlu juga berkualiti dan berilmu!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment