
Sambil membelek dan membaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, terutamanya di ruangan rencana, terpandang ruangan Bisik-bisik...yang kosong
Malam tadi saya menemankan ayah dan kakak yang baru sampai dari perlis, menghadiri majlis makan malam bersama media anjuran Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) yang telah diadakan di Hotel Impiana. Malam ini begitu bermakna kepada ayah, kerana buku yang telah beliau terjemahkan dari buku tulisan Dr Daisaku Ikeda (Penyair Diraja dan penerima Anugerah Keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang berjudul Sahabat yang Sentiasa di Hati telah dilancarkan.
Buku ini telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan (diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan). Juga sempat bertemu dengan Nazmi, wartawan sastera Berita Harian.
Selain daripada pelancaran buku, GAPENA juga menyampaikan beberapa anugerah. Utusan Malaysia dan BERNAMA telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Citra Gapena. Manakala, Anugerah Budaya Gapena telah diberikan kepada Dato’ Haji Tengku Alaudin T.A. Majid, Haji Md. Ismail Zamzam, Haji Rejab Ismail (Rejab F.I.) dan Dato’ Baharudin Zainal (Baha Zain).
Satu ketika dahulu, semasa di tahun 2 pengajian saya di universiti, saya bersama 4 rakan yang lain menubuhkan PEMISIS, iaitu singkatan kepada Kumpulan Pemikir Siswa. Tujuan utama kami menubuhkannya adalah untuk mewujudkan satu gelombang positif di kalangan para siswa/siswi di universiti kami. Aktiviti mingguan yang dibuat adalah perhimpunan 2 jam setiap dua minggu. Kami bertemu di kelas kosong, dan berbincang mengenai pelbagai perkara. Hasilnya, ada di antara kami menjadi Presiden MPP, menerbitkan risalah mingguan, yang menjadi gelombang pertama diterbitkan di fakulti dan juga masjid. Alhamdulillah, semua usaha itu sudah menampakkan kejayaan.
Kini, sudah hampir 10 tahun lebih berlalu. PEMISIS sudah tiada. Mungkin kerana tiadanya keseinambungan di antara senior dan junior, walaupun pada ketika itu dua tiga batch junior turut sama dididik oleh PEMISIS. Namun, semangat untuk melihat rakyat Malaysia berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi terus membara.
Salah-satu berita gembira, ialah apabila Yayasan Inovasi Malaysia ditubuh dan diperbadankan. Yayasan Inovasi Malaysia yang diperbadankan pada 20 Oktober 2008, yang kemudiannya diluluskan Kabinet pada 7 November, dan seterusnya dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini merupakan inisiatif kerajaan terkini untuk berusaha mencapai taraf negara maju dalam acuannya sendiri, seperti yang telah termaktub di dalam Wawasan 2020.
Pentingnya budaya inovasi digerakkan di dalam sesebuah negara, bukan sahaja untuk merekacipta teknologi terkini, ataupun barangan yang dapat memenuhi kehendak manusia, malah budaya inovasi harus digunakan dalam konteks yang lebih luas.
Ada beberapa buah buku yang selalu saya rujuk ketika menyelesaikan disertasi master saya beberapa tahun yang lalu. Antaranya Lansley, P. (1996), Innovation: The role of research, education and practice, QA Research (1997), Innovation & Success: Who needs market research?, The Idea Book: Improvement Through TEI (Total Employee Involvement) edited by the Japan Human Relations Association.
Itu antaranya. Sekarang saya sedang menanti, dan melihat perkembangan tentang kewujudan yayasan ini. Semoga ia tidak menjadi satu lagi projek gajah putih!!
Beberapa waktu kebelakangan ini, saya banyak menghabiskan masa membaca akhbar (secara serius – dari muka depan ke muka belakang), terutamanya di ruangan rencana. Juga beberapa buah majalah, seperti Dewan Kosmik, Dewan Masyarakat, Millinea Muslim serta jurnal PEMIKIR.
Dari pemerhatian saya, dapat saya lihat satu perkembangan positif, di mana kebanyakkan rencana yang ditulis sama ada di akhbar mahupun majalah, ditulis oleh pensyarah-pensyarah dari pelbagai universiti. Ini memperlihatkan satu gelombang ilmu yang baik sekali.
Sebagai seorang pensyarah, tugas mereka terangkum di dalam 6 bahagian, ataupun lebih dikenali sebagai 6P. Iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Perundingan, Perkhidmatan kepada masyarakat, Pentadbiran dan Penulisan (Penerbitan). Walaupun masyarakat melihat kerjaya sebagai seorang pensyarah tampak begitu mudah, yang mungkin pada persepsi masyarakat, pensyarah hanyalah bertugas untuk mengajar. Namun, apabila dilihat kepada 6P itu, tentulah secara keseluruhannya ia nampak lebih berat dan mencabar.
Salah-satu tugas pensyarah adalah menulis. Penulisan bukanlah sekadar bererti menulis di jurnal-jurnal (yang selalunya dipinta oleh setiap universiti sebagai sasaran kerja), malah menulis di media massa juga perlu diteruskan supaya ilmu yang dipelajari dan diajari di universiti lebih bersifat terbuka dan dimasyarakatkan.
Sepertimana yang pernah saya tulis di dalam Dewan Sastera tempoh hari, menulis bukannya satu perkara yang mudah, walaupun kepada penulis mapan. Ia adalah perkara yang paling sukar untuk dilaksanakan. Seseorang penulis perlu berilmu. Ilmu yang didapatinya itu perlu pula pernah diamalkannya. Kerana itulah acapkali bijak-pandai kita mengatakan bahawa mata pena itu lebih tajam daripada sebilah pedang.
Menulis merupakan hierarki ilmu paling tinggi bagi saya. Bermula dengan membaca, beramal dan kemudiannya menulis. Sekiranya seseorang itu mampu menulis, tentunya beliau telah mencapai pusingan ilmu yang lengkap, sebelum ia bermula semula dengan membaca.
Selesai membaca Jurnal PEMIKIR keluaran Oktober – Disember 2008. Terdapat 10 artikel. Berbekalkan dua buah artikel berkaitan dengan pengajaran bahasa inggeris di dalam subjek sains dan matematik, menjadikan ia isu utama yang dibincangkan di dalam PEMIKIR kali ini. Salah-sebuah artikelnya yang bertajuk Asas Pembangunan Bahasa Kedua, tulisan Harison Mohd. Sidek, membicarakan kepentingan membaca sebagai salah-satu jalan penyelesaian yang berkesan untuk membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris, iaitu bahasa kedua pentingnya di Malaysia. Menurut Harison, membaca boleh membantu para pelajar menguasai sesuatu bahasa dengan lebih berkesan, jika dibandingkan dengan hanya melalui perbualan atau pendengaran. Ini adalah kerana dengan membaca, para pembaca sesuatu teks didedahkan kepada tatabahasa dan perkataan-perkataan yang lebih tersusun, lantas memudahkan penguasaan bahasa itu.
Yang menariknya, Harison juga mempertikaikan kaedah penguasaan bahasa Inggeris melalui pengajaran sains dan matematik, yang menyoal sudahkah pelajar-pelajar yang terlibat di dalam implementasi bahasa kedua bagi sains dan matematik ini menguasai bahasa Inggeris secara umumnya melalui pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua?
Pada hemat saya, mengapa pula kita terlalu mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu sehingga menganaktirikan bahasa ibunda kita sendiri. Tidak salah menguasai 1001 bahasa sekalipun, jika ia dapat mengangkat martabat sesuatu bangsa yang boleh menguasai pelbagai bahasa lantas dapat menyerap sebanyak-banyak ilmu pengetahuan dari segala pelosok dunia. Memang benar bahasa Inggeris perlu dipelajari, namun bahasa-bahasa lain juga perlu turut dipelajari, sepertimana yang pernah ditulis oleh Za’ba, yang ingin melihat orang Melayu juga dapat menguasai bahasa Cina dan India. Betapa ruginya kita yang hidup dalam masyarakat majmuk, sekiranya bahasa jiran sebelah rumah pun kita tidak dapat menguasainya, apatah lagi bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Namun, bahasa Melayu sebagai tonggak keagungan bangsa Melayu perlu terus diperkasakan.
Penguasaan beberapa jenis bahasa ini, dapat pula sekiranya memperkasakan bahasa Melayu itu sendiri. Kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan...., memang ada benarnya.
Manakala dalam satu lagi artikel yang ditulis oleh Tan Yao Sua, bertajuk Generasi Pertama Hadapi UPSR, mengemukakan beberapa tulisan sarjana-sarjana yang mempertahankan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, misalnya Szepe (1984: Mother Tongue, Language Policy and Education) berkata bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda merupakan satu hak asasi manusia dan persoalan pokok tentang bahasa ibunda bukan berkait dengan sama ada bahasa ibunda perlu digunakan, tetapi bagaimana bahasa ibunda perlu digalakkan.
Malah Tan juga cuba mengaitkan perhubungan antara bahasa pertama dengan bahasa kedua, di mana beliau percaya kedua-dua bahasa ini saling bergantung antara satu sama lain.
Kepada pencinta buku sekalian,
PAY LESS BOOKS' Warehouse Sales is back in 3K Inn!!!
Venue: Hotel Hall, Ground Floor, Jalan 13/1, Subang Jaya, Selangor D Ehsan.
Date: 5 - 7 December 2008 (Friday - Sunday)
Time: 10:00am - 7:00pm
Log in to http://www.paylessbooks.com.my/events_4.html for further info.PAY LESS BOOKS' Warehouse Sales is back in YMCA KL!!!
Venue: 1st Floor, YMCA Kuala Lumpur (Opposite KL Sentral)
95, Jalan Padang Belia, Off Jalan Tun Sambanthan, 50470 KUALA LUMPUR
Please click the link for map and further details: http://www.paylessbooks.com.my/events_4.html
Date: 14 - 16 November 2008 (Friday - Sunday)
Time: 10:00am - 7:00pm