Wednesday, September 24, 2008

Hari jalan-jalan di Melbourne City




Hari ini jalan-jalan. Dari pagi - ke Immigration Museum, kemudian ke City Museum, State Library dan akhir sekali ke Old Melbourne Gaol. Sambil-sambil cari dan membeli cenderahati untuk dibawa pulang. Tak lupa singgah beberapa kedai buku membeli buku yang amat berkaitan dengan Melbourne - senibina dan juga budaya hidup masyarakatnya.

Yang menarik ialah pada setiap lokasi sejarahnya, selain menjual barangan cenderahati, tak kurang juga beberapa buah buku yang berkaitan dengan tempat itu. Terkejut juga apabila melawat Old Melbourne Gaol (penjara lama - dan seharusnya Penjara Pudu dibiarkan menjadi lokasi sejarah) terdapat beberapa buah buku berkaitan dengan banduan-banduan yang pernah dipenjara dan dihukum bunuh dalam sejarah Melbourne.

Immigration Museum pula merungkai pertanyaan saya mengenai keakraban masyarakat berbilang bangsa di sini. Seperti ramai yang tahu, Melbourne atau Australia secara keseluruhannya adalah sebuah pulau/benua. Tentunya kemasukkan masyarakat moden sini adalah daripada benua lain yang lebih maju.

Mengikut perangkaan di muzium itu terdapat 9 juta orang telah datang dan tinggal di negara ini sejak 1788. Kerana itulah saya dapati terlalu ramai orang asing di sini, terutamanya daripada negara-negara asia.

Di City Museum pula menceritakan semula perihal sejarah pembangunan Melbourne sebagai sebuah bandar seperti sekarang. Sempat membeli sebuah buku berkaitan dengan bangunan-bangunan lama yang sebahagiannya sudah dirobohkan. Juga menceritakan mengenai keunikan tram yang dahulunya digerakkan dengan menggunakan kabel bawah tanah, yang dipusingkan dengan kuasa wap. Tetapi kini telah ditukar menggunakan kuasa elektrik.

No comments: