Friday, October 3, 2008

Allahyarham Dr. Shaharom Husain

Semalam, seorang lagi tokoh meninggalkan kita. Dr. Shaharom Husain telah menghembuskan nafas terakhirnya di Gombak. Arwah yang berusia 88 tahun adalah seorang cendekiawan, sasterawan malah sejarawan yang begitu banyak meninggalkan ilmu pengetahuan kepada anak bangsa.

Saya membaca sebuah buku yang diselenggarakan oleh Talib Samat yang diterbitkan pada tahun 2003 oleh Yayasan Warisan Johor, bertajuk Shaharom Husain Gapura Sastera Johor. Buku setebal 903 muka surat ini begitu padat dengan segala maklumat (malah begitu terperinci) mengenai Allahyarham Dr. Shaharom Husain. Buku ini merupakan himpunan artikel yang dikumpul oleh Talib Samat mengenai Dr. Shaharom Husain yang ditulis oleh pelbagai pengarang dan wartawan. Setiap satu daripada artikel ini (dan ada juga yang ditulis pada sekitar tahun 1970an, malah ada yang terbaru sehingga buku ini diterbitkan) begitu unik, memperkatakan kehebatan Allahyarham sebagai seorang guru, sejarawan, sasterawan malah pejuang kemerdekaan.

Melalui pembacaan saya ini, dapat saya simpulkan bahawa Allahyarham merupakan seorang insan yang begitu asyik belajar, mencari ilmu di pelusuk dunia sama ada secara formal mahupun secara tidak formal iaitu melalui siri kembaranya di beberapa buah negara.

Malah yang lebih menarik ialah sifat mendokumentasikan semua ilmu yang dipelajari Allahyarham. Allahyarham mempunyai perpustakaannya sendiri yang lebih dikenali sebagai Gapura Sastera di Johor.

Nama Allahyarham juga terpahat di dalam Dictionary of International Biography 1968 dan juga merupakan salah-seorang daripada 2000 nama yang terkumpul di dalam buku The Two Thousand Men of Achievement yang diterbitkan di England pada tahun 1969. Ia memuatkan biodata lengkap Allahyarham sehingga tahun 1969.

Sesungguhnya negara kehilangan seorang lagi cendekiawan yang begitu berharga kepada bangsa dan agama. Al-Fatihah.

No comments: