Edisi terbaru Dilema Melayu (Mahathir Mohamad) terbit tahun ini (2008). Saya membelinya di MPH bulan lepas. Ia masih mempunyai isi yang sama, seperti yang ditulisnya pada tahun 1970. Namun, prakatanya ditulis semula oleh Dr. Mahathir, yang menyatakan beberapa isi kandungan buku ini sudah tidak relevan. Namun, menurut beliau lagi, isi kandungan buku ini masih tidak berubah, sehinggalah beliau menilai semula kandungannya.
Dr. Mahathir, menerusi prakata terbarunya ini, menyatakan bahawa antara isi penting yang sudah tidak relevan ialah faktor-faktor keturunan (menurut Dr. Mahathir, orang Melayu yang berkahwin antara saudara selalunya melahirkan keturunan yang tidak pandai) tidak lagi relevan sekarang, setelah penghijrahan orang Melayu keluar dari kampung. Kelemahan pendidikan dan kekurangan kesihatan bangsa Melayu juga tidak relevan. Melayu sudah ramai yang bijak pandai dan hidup sihat, sehinggakan ada laporan di akhbar baru-baru ini yang menyatakan bahawa dalam masa 10-20 tahun lagi, Malaysia akan dipenuhi dengan rakyatnya yang berumur lebih 60 tahun. Penglibatan orang Melayu di dalam bidang perniagaan juga disentuhnya. Namun, isu ini sudah hampir tidak relevan, apabila sudah ada peratusan orang Melayu yang berniaga, walaupun peratusan ini masih boleh dipertikaikan.
Namun, menurut Dr. Mahathir, ada fenomena mutakhir yang merisaukan, tentang peratusan kaum wanita yang semakin ramai di universiti berbanding dengan kaum lelaki.
Tentunya Dr. Mahathir mengakui bahawa buku Dilema Melayu ini perlu disemak semula.
Saya juga terjumpa sebuah buku tulisan Dr. Bakri Musa, yang bertajuk The Malay Dilemma Revisited. Ia merupakan antara buku yang penting untuk dibaca, bersama dengan buku asal Dilema Melayu. Oleh kerana buku Dilema Melayu ditulis sekitar tahun 1970an, selepas peristiwa 13 Mei 1969 berlaku, maka sudah tiba masanya secara kritikalnya buku Dilema Melayu ini disemak dan ditulis semula. Walaupun ia bukanlah sebuah buku 'perlembagaan' atau kitab penting bangsa Melayu, namun Dilema Melayu masih penting sebagai satu bentuk kritikan yang perlu diterima dan dianalisis oleh bangsa itu sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment