Thursday, October 18, 2007

Kampung bukuku lesu

Semalam adalah lawatan kedua saya ke Kampung Buku Melaka. Tidak seperti baru dibuka, yang kehangatannya dapat dirasai. Kini, walaupun terasa panas di dalamnya (kerana ketiadaan hawa dingin) tetapi kedinginan dan kemurungannnya menghampakan saya.

Walaupun ada beberapa kedai buku di dalamnya, tidak seperti lawatan pertama saya (yang kebetulan pula bersama dengan Tan Sri Sanusi), kini tiada seorang pun yang menjaganya, kecuali pakcik 'guard'. Mungkin juga kerana cuti raya yang panjang, pujuk hati saya. Namun, apabila dilihat kepada buku lawatannya, amat kurang sekali pengunjungnya. Hanya cukup-cukup untuk mewajibkan kewujudannya.

Sebagai seorang pembaca, saya mengharapkan yang lebih daripada sesebuah Kampung Buku. Buku yang murah, yang banyak judulnya, yang antik, yang dapat menggugat nafsu baca saya. Tetapi itu semua masih belum ada, kampung buku masih belum dapat menyengat hati saya. Buku-buku yang ada di situ kebanyakkannya ada di kedai-kedai buku lain. Harganya masih begitu.

Saya mengharapkan kampung buku melaka terus hidup. Kerana kasihkan buku, kasihkan ilmu, saya terpaksa menulis rasa hati ini. Ingin melihat ia terus dikunjungi dengan promosi yang lebih hebat. Saya ingin mempromosikannya di sini, tetapi terasa kekurangan yang ada itu tidak dapat saya lindungi. Mungkin apa yang boleh saya lakukan ialah cuba bersama-sama mereka di kampung buku untuk memantapkannya. Tentunya Tan Sri faham maksud saya ini. Sebagai pencinta buku, tentunya beliau juga mahu kampung buku idamannya menjadi kenyataan.


Insya Allah, akan saya kongsikan idea dan cadangan saya di sini.

No comments: