Wednesday, October 31, 2007

Buku yang hilang


Baru sempat membacanya dua hari...sekarang entah ke mana menghilangnya. Buku yang sedap dibaca (walaupun pengarangnya cuba mengungkit kembali peristiwa 9/11 yang juga dikaitkan dengan 11/9 pula! The World is Flat, yang saya cuba habiskan dan ratahnya, entah menghilang ke mana. Habis dicari. Di rumah, di dalam kereta, di pejabat, di dalam beg sandang kembara.....kata isteri, mungkin di'curi' kanak-kanak yang menduduki rumah saya sekarang ini. Apa-apa pun sekiranya tak bertemu langsung, maka perlu membelinya semula!

Thursday, October 25, 2007

Membaca Globalisasi

Sedang membaca The World is Flat. Diperkenalkan kepada saya oleh Keith Thong, pemilik University Bookstore Sdn. Bhd. (UBSD) ketika saya dijemput berucap di hari akhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 yang lalu. Tetapi, baru saja membelinya menjelang raya yang lepas.

Membaca The World is Flat, ialah membaca bagaimana proses globalisasi sedang berlaku di dunia kini. Ia umpama sebilah pisau. Yang gunanya sama ada untuk tujuan kebaikan seperti memotong bahan-bahan masakan, atau juga boleh digunakan untuk kejahatan, seperti membunuh.

Globalisasi juga adalah antara 9 cabaran utama di dalam merealisasikan Wawasan 2020. Ada juga yang mengatakan ia umpama satu penjajahan baru, kali ini di dalam bentuk ekonomi. Negara-negara besar akan mendapat manfaat yang banyak, sebaliknya negara-negara miskin akan terus miskin (boleh membacanya di dalam jurnal PEMIKIR, terbitan Utusan Publication).

Sebaliknya, di dalam The World is Flat, penulisnya cuba mengetengahkan idea-idea 'outsourcing' (yang kebetulan memang topik yang saya ajar di universiti - yang amat berkaitan dengan jurusan saya) dan beberapa terma-terma baru yang diciptanya.

Misalnya, warga Amerika yang sering menggunakan khidmat telefon, contohnya untuk mendapatkan bantuan tentang kerosakan komputer mereka. Khidmat 'call centre' yang telah diswastakan (outsourcing) kepada India. Bayangkanlah anda di Amerika, tanpa disedari mendapatkan bantuan tentang masalah-masalah harian anda yang telah diselesaikan oleh masyarakat India, di India!

Saya masih membaca buku ini, dan semestinya banyak lagi ilmu yang akan diterokai. Nanti saya kupaskan lagi.

Friday, October 19, 2007

Sahabat buku-bukuku


Antara sahabat-sahabat rapat buku-bukuku....cuma kadang-kala hayat hidup mereka ini terlalu singkat. Gunanya walaupun terhad sebagai peneman bukuku, tetapi kesannya kepada pembacaan dan pemikiranku amat dihargai. Tanpa mereka ini, tentunya akal yang sedang asyik dibuai ilmu pasti terhenti-henti dan tidak berkesudahan mencari punca kekalutan diri. Terima kasih kalian kerana meneruskan budaya ilmu ini..

Thursday, October 18, 2007

Kampung bukuku lesu

Semalam adalah lawatan kedua saya ke Kampung Buku Melaka. Tidak seperti baru dibuka, yang kehangatannya dapat dirasai. Kini, walaupun terasa panas di dalamnya (kerana ketiadaan hawa dingin) tetapi kedinginan dan kemurungannnya menghampakan saya.

Walaupun ada beberapa kedai buku di dalamnya, tidak seperti lawatan pertama saya (yang kebetulan pula bersama dengan Tan Sri Sanusi), kini tiada seorang pun yang menjaganya, kecuali pakcik 'guard'. Mungkin juga kerana cuti raya yang panjang, pujuk hati saya. Namun, apabila dilihat kepada buku lawatannya, amat kurang sekali pengunjungnya. Hanya cukup-cukup untuk mewajibkan kewujudannya.

Sebagai seorang pembaca, saya mengharapkan yang lebih daripada sesebuah Kampung Buku. Buku yang murah, yang banyak judulnya, yang antik, yang dapat menggugat nafsu baca saya. Tetapi itu semua masih belum ada, kampung buku masih belum dapat menyengat hati saya. Buku-buku yang ada di situ kebanyakkannya ada di kedai-kedai buku lain. Harganya masih begitu.

Saya mengharapkan kampung buku melaka terus hidup. Kerana kasihkan buku, kasihkan ilmu, saya terpaksa menulis rasa hati ini. Ingin melihat ia terus dikunjungi dengan promosi yang lebih hebat. Saya ingin mempromosikannya di sini, tetapi terasa kekurangan yang ada itu tidak dapat saya lindungi. Mungkin apa yang boleh saya lakukan ialah cuba bersama-sama mereka di kampung buku untuk memantapkannya. Tentunya Tan Sri faham maksud saya ini. Sebagai pencinta buku, tentunya beliau juga mahu kampung buku idamannya menjadi kenyataan.


Insya Allah, akan saya kongsikan idea dan cadangan saya di sini.

Wednesday, October 17, 2007

Singgah di Melaka


Belum habis beraya lagi, tetapi kini bermalam pula di Melaka. Terlihat sebuah buku resepi, RESEPI SELERA SAJIAN BAKUTeM terbitan Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Yang menariknya buku ini ialah terdapat 92 resepi yang disumbangkan oleh staf UTeM. Ia merupakan daya usaha Badan Kebajikan UTeM yang ingin melihat resepi-resepi tempatan didokumentasikan. Biarpun ia hanya sebuah buku resepi mudah dan ringkas, tetapi usaha yang telah dipertunjukkan oleh staf-staf UTeM seharusnya mendapat pujian.

Puan Norliah Kudus, Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita UTeM melahirkan hasratnya untuk menghasilkan banyak lagi buku resepi dengan tujuan pendokumentasian.

Saturday, October 13, 2007

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin

Selamat Hari Raya, mohon maaf kepada semua umat manusia sekiranya diri kerdil ini bersalah. Raya tahun ini di Batu Pahat, Johor. Sebelah isteri. Inilah keindahan bekeluarga kutub utara kutub selatan. Setiap tahun tentunya kami berubah arah dan angin.

Sempena 'lawatan kembali' saya ke Johor, tempat menetap saya selama 10 tahun, tentunya ia banyak menggamit kenangan. Sebagai seorang pengembara, ingin saya rakamkan semuanya ini dalam catatan dan gambar. Semoga, seperti yang selalu saya fikir dan catatkan, membaca, mempraktik dan menulis adalah tiga aktiviti pendidikan sepanjang hayat.

Kerana itulah, beg sandang komputer yang selalu saya bawa ke hulu ke hilir, terutamanya ke pejabat dan kelas, tentunya kali ini penuh juga dengan buku-buku. Hobi utama saya sekarang adalah untuk mengembara, sambil membaca dan akhirnya dituliskan kembali pembacaan dan pengembaraan saya itu ke dalam bentuk artikel. Semoga ia dapat memanfaatkan umat. Kalau dulu, 12 tahun yang lalu apabila saya mengembara menaiki keretapi ke KL, Singapura, Ipoh atau berkereta ke seluruh negeri Johor hinggalah ke Kelantan dan Terengganu, saya rakamkan ke dalam buku catatan. Kini teknologi semakin mudah dan murah. Apa yang diperlukan hanyalah keazaman. Mungkin saya perlu lebih berteknologi, ada wang semua boleh jadi. Perkakasan moden perlu dibeli untuk memenuhi hobi baru penulisan saya itu.

Thursday, October 11, 2007

Angkasa1 dan Star Trek


Tentunya Dr. Sheikh Muszafar dan krew telah selamat berada di angkasa setelah berlepas dari bumi malam tadi (jam 9:21 malam waktu Malaysia). Dan mereka akan berada di angkasa mengelilingi bumi selama 2 hari sebelum tiba di ISS. Malaysia telah melakar satu lagi sejarah, umpama First Contact di dalam siri kegilaan saya, Star Trek, apabila kapal angkasa T'Plana-Hath, iaitu milik bangsa Vulcan yang telah menyahut gelombang yang dihantar oleh Zefram Cochrane dari bumi. (Syukur saya mempunyai koleksi majalah Star Trek yang begitu berharga + DVDnya).

Lakaran sejarah semalam merupakan First Contact Malaysia dengan angkasalepas. Tidak mustahil satu hari nanti pelepasan roket-roket ke angkasa akan dibuat di KLIA (dan mengikut kajian KLIA merupakan tapak pelepasan yang terbaik disebabkan lokasinya yang strategik di Khatulistiwa).

Ia sememangnya New Frontier bagi masyarakat Malaysia. Memang sememangnya ia sesuatu yang menjanjikan keluasan ilmu yang tiada batasannya. Namun sebelum itu yang terpenting, bangsa Malaysia perlulah menuntut ilmu terlebih dahulu. Sifat dan sikap ini perlu diperjelaskan lagi, dan tentunya membaca adalah paksi keilmuan itu.

Tahniah Malaysia!

Wednesday, October 10, 2007

Nafsu di Bulan Ramadhan


Tak tahan rasanya mengurung nafsu. Nafsu makan sudah berkurangan, berat badan sudah dikurangkan, perut sudah dikempiskan. Baju telah dibeli isteri. Apa lagi kalau bukan buku yang mengganggu.

Ke MPH, terlihat tiga buah buku (yang asalnya ada pada tangan 5 buah), tetapi bila terfikirkan sejumlah belanja untuk pulang ke kampung, diletakkan semula 2 buah. Maka terbelilah:

1. The World is Flat (dah lama mengidam)
2. You've got to read this book (cuba melengkapkan koleksi buku tentang buku)
3. Permata pengislahan perundangan Islam - biografi Prof. Emritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim (tokoh ini sedang hangat diperkatakan sekarang)

2 buah buku yang teringin nak beli tadi (tak cukup duit):

1. Pengembaraan Ibnu Batutah (RM250)
2. No. 1 Wisma Putra

Lain kali...Insya Allah

Tuesday, October 9, 2007

Kampungku, bukuku


Berhujung minggu di kampung halaman, nun jauh di utara. Bersama-sama kenangan semasa kecil, yang tentunya dipenuhi buku, dan buku dan tentunya buku.

Mengenangkan kembali saat-saat kehangatan berkeluarga, dengan ayah dan ibu yang sentiasa mengulit ketenangan. Ayah yang sentiasa memastikan kami adik-beradik tidak putus bahan bacaan. Dan ibu yang sentiasa memastikan makan-minum-pendidikan sentiasa terjaga.

Pulang ke kampung, ke halaman-halaman tersendiri, yang sentiasa terasa empuk. Halaman-halaman itulah yang sentiasa menjadi tempat saya membaca.

Dan tentunya, sampai masa untuk pulang ke tempat bermaustatin, keadaan-halaman inilah yang ingin saya wujudkan kembali untuk anak-anak meneruskan perjuangan mencari ilmu yang tiada hentinya ini.

Friday, October 5, 2007

Mentong dengan Masali


Malam tadi mentong dengan Masali di kawasan perumahannya di Bandar Baru Nilai, sejam perjalanan dari rumah saya. Atas urusan percetakan semula karya-karya ayah, dan juga atas urusan baru bukuonline.org, sebuah projek yang dirancang yang bakal menempa sejarahnya di Malaysia, terutamanya di tapak Bandar Baru Nilai. Nantikan kemunculannya.

Masali terus membawa saya bersiar-siar di malam hari di sekitar kawasan Kolej Universiti Antarabangsa Inti, Kolej Universiti Antarabangsa Nilai, Universiti Sains Islam Malaysia dan juga bakal tapak pembinaan Kolej Universiti Metropolitan.

Antara input yang didapati ialah jumlah para pelajar dan penduduk di situ yang bakal menyaksikan satu pertumbuhan yang memberangsangkan.

Thursday, October 4, 2007

Pembinaan Semula Khutub Khanah

Oleh kerana hidup seperti 'orang badwi' yang berpindah-randah, sehingga kini sudah 7 buah rumah saya duduki. Disebabkan itulah Khutub Khanah (Khutub Khanah Ibnu Has-Yun) yang saya idam-idamkan tidak dapat direalisasikan sehinggalah 'sebuah banglo' milik sendiri terbina.

Namun begitu, buku semakin banyak...rumah yang didiami sekarang perlu diserahkan semula kepada tuannya yang akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Ke mana pula hala tuju buku-buku ini?

Lalu terfikir, apa salahnya jika Khutub Khanah ini dibina semula di pejabat? Lantas ke Jaya Jusco dan menghabiskan sebanyak RM150 untuk 6 buah rak buku. Insya Allah, ada rezeki perlu tambah rak lagi (hingga ke atas) untuk menampung jumlah buku yang masih banyak di dalam kotak di rumah sana.....

Monday, October 1, 2007

Ulasan buku di Utusan Malaysia

Dapatkan Utusan Malaysia hari ini untuk membaca ulasan saya mengenai buku terbaru Shaharom TM Sulaiman.