Beberapa waktu kebelakangan ini, saya banyak menghabiskan masa membaca akhbar (secara serius – dari muka depan ke muka belakang), terutamanya di ruangan rencana. Juga beberapa buah majalah, seperti Dewan Kosmik, Dewan Masyarakat, Millinea Muslim serta jurnal PEMIKIR.
Dari pemerhatian saya, dapat saya lihat satu perkembangan positif, di mana kebanyakkan rencana yang ditulis sama ada di akhbar mahupun majalah, ditulis oleh pensyarah-pensyarah dari pelbagai universiti. Ini memperlihatkan satu gelombang ilmu yang baik sekali.
Sebagai seorang pensyarah, tugas mereka terangkum di dalam 6 bahagian, ataupun lebih dikenali sebagai 6P. Iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Perundingan, Perkhidmatan kepada masyarakat, Pentadbiran dan Penulisan (Penerbitan). Walaupun masyarakat melihat kerjaya sebagai seorang pensyarah tampak begitu mudah, yang mungkin pada persepsi masyarakat, pensyarah hanyalah bertugas untuk mengajar. Namun, apabila dilihat kepada 6P itu, tentulah secara keseluruhannya ia nampak lebih berat dan mencabar.
Salah-satu tugas pensyarah adalah menulis. Penulisan bukanlah sekadar bererti menulis di jurnal-jurnal (yang selalunya dipinta oleh setiap universiti sebagai sasaran kerja), malah menulis di media massa juga perlu diteruskan supaya ilmu yang dipelajari dan diajari di universiti lebih bersifat terbuka dan dimasyarakatkan.
Sepertimana yang pernah saya tulis di dalam Dewan Sastera tempoh hari, menulis bukannya satu perkara yang mudah, walaupun kepada penulis mapan. Ia adalah perkara yang paling sukar untuk dilaksanakan. Seseorang penulis perlu berilmu. Ilmu yang didapatinya itu perlu pula pernah diamalkannya. Kerana itulah acapkali bijak-pandai kita mengatakan bahawa mata pena itu lebih tajam daripada sebilah pedang.
Menulis merupakan hierarki ilmu paling tinggi bagi saya. Bermula dengan membaca, beramal dan kemudiannya menulis. Sekiranya seseorang itu mampu menulis, tentunya beliau telah mencapai pusingan ilmu yang lengkap, sebelum ia bermula semula dengan membaca.
4 comments:
benar....benar semuanya tu....cantik header baru
Teruskan menulis.. semoga menjadi inspirasi dan motivasi kepada penulis-penulis lain teruma yg masih mentah.
Saya pernah menulis dalam Tunas Cipta, "Dengan menulis, kita mampu habis membaca buku paling kurang lima buah." Jalan singkat membaca buku dengan pembacaan pantas. hehe.
jasa: terima kasih kerana mencantikkannya..hehe
alongkay: teruskanlah juga untuk membaca dan menulis
anuarmanshor: ya betul tu...itu satu motivasi untuk terus membeli buku, membaca dan menulis....dapat duit honararium, dapat beli buku balik, membaca dan menulis kembali
Post a Comment