Tuesday, December 16, 2008

Masyarakat berinovasi

Satu ketika dahulu, semasa di tahun 2 pengajian saya di universiti, saya bersama 4 rakan yang lain menubuhkan PEMISIS, iaitu singkatan kepada Kumpulan Pemikir Siswa. Tujuan utama kami menubuhkannya adalah untuk mewujudkan satu gelombang positif di kalangan para siswa/siswi di universiti kami. Aktiviti mingguan yang dibuat adalah perhimpunan 2 jam setiap dua minggu. Kami bertemu di kelas kosong, dan berbincang mengenai pelbagai perkara. Hasilnya, ada di antara kami menjadi Presiden MPP, menerbitkan risalah mingguan, yang menjadi gelombang pertama diterbitkan di fakulti dan juga masjid. Alhamdulillah, semua usaha itu sudah menampakkan kejayaan.


Kini, sudah hampir 10 tahun lebih berlalu. PEMISIS sudah tiada. Mungkin kerana tiadanya keseinambungan di antara senior dan junior, walaupun pada ketika itu dua tiga batch junior turut sama dididik oleh PEMISIS. Namun, semangat untuk melihat rakyat Malaysia berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi terus membara.

Salah-satu berita gembira, ialah apabila Yayasan Inovasi Malaysia ditubuh dan diperbadankan. Yayasan Inovasi Malaysia yang diperbadankan pada 20 Oktober 2008, yang kemudiannya diluluskan Kabinet pada 7 November, dan seterusnya dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini merupakan inisiatif kerajaan terkini untuk berusaha mencapai taraf negara maju dalam acuannya sendiri, seperti yang telah termaktub di dalam Wawasan 2020.


Pentingnya budaya inovasi digerakkan di dalam sesebuah negara, bukan sahaja untuk merekacipta teknologi terkini, ataupun barangan yang dapat memenuhi kehendak manusia, malah budaya inovasi harus digunakan dalam konteks yang lebih luas.


Ada beberapa buah buku yang selalu saya rujuk ketika menyelesaikan disertasi master saya beberapa tahun yang lalu. Antaranya Lansley, P. (1996), Innovation: The role of research, education and practice, QA Research (1997), Innovation & Success: Who needs market research?, The Idea Book: Improvement Through TEI (Total Employee Involvement) edited by the Japan Human Relations Association.


Itu antaranya. Sekarang saya sedang menanti, dan melihat perkembangan tentang kewujudan yayasan ini. Semoga ia tidak menjadi satu lagi projek gajah putih!!


1 comment:

fusarium solani said...

Salam,

Sama-samalah kita doakan, jangan bila acuan sudah molek, bancuhan kuihnya masih lagi keras oleh kapur politik!