Friday, May 9, 2008

Gelombang Membaca (Siri 2)

Artikel ini terbit di Milenia Muslim (Disember 2007)

Salah-satu daya yang diperlukan di dalam mewujudkan gelombang membaca ialah Daya Penggerak. Penulis memikirkan bahawa manusialah Daya Penggerak itu.

Sekiranya dapat dirujuk kepada hukum fizik, apabila sesebuah objek itu bergerak, ia tentunya mempunyai Momentum, yang dirujuk sebagai Jisim x Halaju. Namun begitu, untuk tujuan artikel ini, daya-daya yang akan dibincangkan hanyalah satu analogi.

Manusia, makhluk ciptaan Allah, merupakan ciptaan-Nya yang terhebat. Seperti yang disebut oleh Dr. Haron Din, di dalam bukunya Manusia dan Islam:

Diberikan kepadanya sifat-sifat khusus untuk membolehkannya menanggung amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain....

Ini adalah disebabkan faktor biologi manusia itu sendiri, yang mempunyai cukup sifat-sifat jasadiah dan rohaniah yang memungkinkan mereka menanggung amanah-amanah yang Allah berikan. Sifat-sifat khusus seperti akal, hati dan nafsu merupakan tiga sifat serentak yang hanya ada pada manusia, tetapi tidak ada pada mana-mana makhluk lain.

Amanah yang Allah berikan kepada manusia bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Amanah yang tidak termampu ditanggung oleh makhluk-makhluk lain, yang saiznya lebih besar dari manusia itu. Amanah untuk ‘menjaga’ dunia ini, amanah untuk memakmurkan alam ciptaan Allah, iaitu ‘kewajipan menegakkan agama Allah, Islam, atau kewajipan melaksanakan tugas terhadap agama Allah (Islam) yang diberikan kepada manusia. (Dr. Haron Din).

Untuk memastikan manusia berjaya menyempurnakan amanah ini, manusia perlu mempunyai ilmu. Ilmu adalah makanan jiwa, makanan akal dan benteng kepada keterlanjuran nafsu. Ilmu amat diperlukan untuk melengkapkan sifat-sifat Khalifah yang diberikan Allah kepada manusia. Tanpa ilmu, manusia hanya dipandu nafsu dan menuju kehancuran seperti mana yang telah berlaku kepada banyak kelompok peradaban manusia.

Memetik tulisan Prof. Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharudin di dalam bab pengenalan kepada buku Pendidikan Asas Kemajuan Minda dan Material di Johor, yang ditulis oleh Rahimah Abdul Aziz dan Rahmat Saripan, terbitan Yayasan Warisan Johor:

Ilmu pengetahuan yang kita kenal kini terbina melalui kegiatan manusia yang tidak henti berwacana. Mengiringi kegiatan berwacana tersebut adalah pelbagai usaha merakamnya, sama ada dalam bentuk tulisan dan dalam bentuk selainnya. Melalui proses inilah ilmu pengetahuan manusia itu bertimbun-tambah. Keseluruhan proses ini pula diwarnakan oleh pelbagai bentuk kontradiksi, bangkang-membangkang, persetujuan dan bersetuju-tak-bersetuju. Keadaan dan konteks semasa juga amat mempengaruhi keseluruhan proses ini. Dalam perkataan lain, ilmu serta tafsiran mengenai sesuatu himpunan ilmu itu lahir atau dilakukan dalam keadaan yang tidak bebas daripada pelbagai pengaruh. Dengan itu, ilmu itu adalah sesuatu yang hidup dan senantiasa dibincang, disanggah dan ditambah.

Perbincangan ilmu tidak pernah terhenti sejak manusia tiba di muka bumi ini. Malah, memetik tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah untuk Kaum Muslimin:

Plato pernah menarik perhatian dengan menyatakan bahawa untuk seseorang menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan maka perlulah dia mempunyai ilmu yang lengkap pula mengenai bidang itu....

Tentuya ilmu tidak boleh dipisahkan daripada aktiviti membaca, mempraktik dan menulis. Ini adalah tiga unsur utama kepada pendidikan. Mustahil bagi seseorang manusia biasa memperolehi ilmu tanpa melalui tiga unsur ini. Membaca bagi penulis bukan pula sekadar membaca buku atau tulisan, malah apabila dilihat dari konteks yang lebih luas, membaca daripada pandangan mata yang terus dihantar informasi itu ke akal dan dihakimi hati juga adalah proses yang penting. Namun tidak semua manusia punyai kebolehan ini. Lantas menjadikan proses membaca tulisan (sama ada dari buku, majalah, akhbar dan sebagainya) sebagai satu proses umum yang boleh dilakukan oleh segenap lapisan manusia. Kerana itulah Al-Quran diturunkan dengan Iqra’ sebagai ayat pertama. Bacalah.

Sebagai satu daya penggerak kepada gelombang membaca, manusia seharusnya mempunyai kualiti ilmuwan. Namun hukum alam (apabila dilihat secara lebih realitis) akan memperlihatkan bukan semua manusia mempunyai kualiti itu. Biarpun benar manusia adalah Khalifah yang dilantik Allah di muka bumi ini, namun hanya kelompok-kelompok tertentu sahaja yang layak.

Mereka adalah yang beriman kepada Allah. Yang tentunya apabila dikaitkan semula dengan ilmu, hanya mereka yang berilmu sahaja yang layak memimpin ummat manusia.

Terlalu banyak contoh di dalam peradaban manusia yang memperlihatkan kepentingan ilmu di dalam memandu kesejahteraan hidup manusia. Malah di dalam peradaban moden yang berteknologi ini pun masih dapat kita saksikan bagaimana masyarakat yang tidak berilmu (tidak membaca) hidup dalam keadaan yang penuh kedaifan dan menuju kehancuran.

Peperangan, perselisihan, kebuluran, kehancuran nilai-nilai sosial dan sebagainya yang negatif adalah hasil daripada tidak menjadikan ilmu sebagai objektif utama kehidupan mereka. Ilmu adalah berkadar terus dengan iman. Keimanan seseorang perlu disusuli dengan ilmu. Dan ilmu juga berkadar terus dengan membaca. Tanpa membaca, ilmu tidak akan terhasil. Dan hanya bacaan terpilih sahajalah yang layak dikutip dan dibaca. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. ‘...membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu’.

Telah diterangkan di atas, kepentingan ilmu, dan kesan membaca terhadap perkembangan ilmu. Manusia sebagai Khalifah amat memerlukan sifat dan nilai ini. Tetapi bagaimana Daya Penggerak ini iaitu manusia boleh dijadikan satu penggerak utama kepada pencarian ilmu atau lebih spesifik lagi mewujudkan Gelombang Membaca yang lebih besar?

Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dikupas, dan penulis percaya ia tidak akan terhasil dalam masa yang singkat. Amalan perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum sesebuah budaya terhasil. Dan Daya Penggeraklah yang memastikan Gelombang Membaca ini terhasil dan tsunami akan terwujud.

1 comment:

MARSLI N.O said...

Sdr. Sekarang ni saya tengah kempen berhenti merokok. Lawatlah kat "klinik" saya.