Friday, May 23, 2008

Baca Puisi Kuala Lumpur















Begitu lama tidak saya mengikuti mana-mana aktiviti baca puisi, mahupun sendiri mendeklamasi puisi sejak meninggalkan universiti sejak 10 tahun yang lalu. Entah bagaimana terdetik di hati malam ini untuk mengikuti Baca Puisi Kuala Lumpur di Dewan Bahasa dan Pustaka tadi.

Mungkin kerana terpanggil oleh Dewan Sastera yang inginkan saya berkarya semula. Atau mungkin juga kerana sudah muak dengan dunia yang huru-hara dengan karenah manusia yang tidak ketentuan destinasinya. Atau pun mungkin juga kerana mencari ilham dan tenaga semula di dalam berkarya.

Baca Puisi Kuala Lumpur kedua untuk tahun ini bertemakan Didaktisme dan Kebenaran, yang telah menampilkan Prof. Rahman Shaari (guru sajak saya dahulu) sebagai hosnya. Antara lain yang juga turut mendeklamasi dan 'mendendangkan' sajak masing-masing, A. Rahman Amiruddin, Raja Rajeswari Sita Raman, Bingkas Kebayan, Datuk Haji Salleh Yusup (Ketua Pengarah DBKL), Rahimidin Zahari, Datuk Haji Abdul Rahim Haji Abu (Setiausaha Politik Menteri Pelancongan Malaysia), Adik Norain A. Rahman, Rogayah A. Hamid, Rasdi Daud dan Abot, juga Mufti Perlis, Dr. Asri.

Saya tertarik dengan objektif program ini:
  1. Mengetengahkan tokoh penyair tempatan.
  2. Memasyarakatkan puisi untuk penghayatan 'Puisi Milik Kita'
  3. Memeriahkan Laman Teater DBP sebagai tempat penyatuan penyair dan peminat sastera menyampaikan ilmu dan berkongsi pengalaman kreatif kepada khalayak.
  4. Menyemarakkan aktiviti berlandaskan ilmu di Bandaraya Kuala Lumpur sebagai santapan minda dan membentuk jati diri masyarakat bagi mengimbangi kepesatan pembangunan Kuala Lumpur dalam segala bidang kehidupan.
Puisi atau sajak pernah menjadi subjek sastera kegemaran saya, sehingga pernah DBP menerbitkan antologi sajak saya dan Khyrun Anuar (sahabat menulis). Tetapi entah bagaimana kemahiran itu semakin lama semakin hilang. Tetapi saya masih percaya kepentingan subjek ini di dalam usaha mengimbangi kehidupan manusia dalam zaman sekarang. Saya pernah terbaca mengapa Al-Quran diturunkan oleh Allah dalam bentuk sedemikian, iaitu di dalam bentuk kata-kata yang indah. Kerana zaman itu (dan semestinya sehingga Kiamat), manusia bersastera dan bermain dengan kata-kata.

Kerana itulah, saya lihat tamadun-tamadun manusia selepas kewafatan Nabi Muhammad berlandaskan kepada kata-kata (terutamanya sastera dan ilmu-ilmu yang ditulis di dalam buku). Maka janganlah ada orang yang ingin memperkecil-kecilkan sumbangan sastera (terutamanya sajak) di dalam peradaban manusia masa kini dan akan datang. Ia masih relevan. Dan tentunya perlu direlevankan.

No comments: