Saya memang meminati rancangan AFC (Asian Food Channel). Malah, sebelum ini semasa di Scotland, sepanjang hari saya akan hanya duduk menonton UKFood Channel. Apabila pulang ke Malaysia, yang pada ketika itu AFC belum disiarkan, saya tercari-cari akan alternatif. Akibatnya, saya memilih buku-buku masakan/resepi sebagai koleksi.
Antara koleksi buku masakan/resepi yang tersusun rapi di rak rumah saya termasuklah hasil tulisan Hugh Fearnley-Whittingstall yang pernah saya tulis mengenai beliau di dalam Utusan Malaysia satu masa dahulu.
Namun begitu, saya kini agak cerewet apabila membeli buku masakan/resepi. Walaupun Malaysia tidak kurang dengan buku-buku sebegitu, namun kebanyakkannya saya lihat agak hambar: pemilihan jenis kertas yang tidak sesuai, fotografi yang tidak menarik, selain daripada rekaletak dan rekasusun resepi dan gambar yang tidak sesuai. Begitu juga bukan semua buku masakan/resepi dari luar negara itu tergolong dalam buku yang menarik. Tidak semua dapat memancing minat saya.
Tetapi, apabila saya ke MPH hari ini, ke bahagian buku masakan, saya terpandang akan sebuah buku resepi tulisan Datin Seri Raihan Abdul Rahman, A Taste of Batu Gajah. Walaupun agak mahal (memang kebanyakkan buku masakan itu mahal), namun ciri-ciri buku masakan/resepi yang diinginkan itu ada padanya. Walaupun resepi yang dihidangkan itu adalah segala jenis masakan kampung yang kebiasaannya terhidang di atas meja rumah-rumah kita, namun persembahannya yang nampak 'mengiurkan' dan pemilihan warna kertas, warna foto dan jenis kertasnya memang memuaskan!
Saya kata kepada isteri saya semalam, akan kami hasilkan sebuah buku masakan/resepi yang diinspirasikan daripada dTaman69 sebagai pelengkap dokumentasi keluarga kami - dari utara dan selatan, sambil mengambil contoh daripada A Taste of Batu Gajah ini, pastinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment