Saturday, May 24, 2008

Pelancaran pameran solo Mustapa Haji Ibrahim @ RA Fine Arts

Seperti biasa, petang sabtu pada setiap bulan, apabila menerima sms daripada Raja Ahmad, saya pasti akan ke RA Fine Arts di Jalan Aman, KL. Memenuhi jemputan-jemputan aktiviti pameran lukisan di galeri miliknya.

Petang sabtu tadi dilancarkan pameran solo pelukis Mustapa Haji Ibrahim. Kali ini saya membawa bersama putera saya, Ajmal Hadi Has-Yun, yang telah saya lihat ada kebolehan melukis pada usianya kini 5 tahun. Ingin saya lihat ada seorang Has-Yun di dalam keluarga kami menjadi pelukis terkenal negara nanti, Insya Allah.

Kerana itulah dibawa bersama ke pameran ini. Sekurang-kurangnya dia diperkenalkan kepada konsep dan permainan warna oleh pelukis-pelukis mapan. Diperkenalkan juga Ajmal kepada Prof. Siti Zainon dan Pak Mustapa sendiri. Kebetulan juga Pak Samad ada di situ.

Selain daripada pameran lukisan Pak Mustapa, dijual juga sebuah buku unik, tulisan T.K. Sabapathy (dari National University of Singapore) bertajuk Mustapa Haji Ibrahim Paintings 1968-2008.

Saya kutip dari blurb buku ini:

This publication is the first detailed study of paintings by Mustapa Haji Ibrahim. It spans 40 years of his practice, illustrating and discussing the earliest known pictures produced in the late 1960s. It then proceeds to underline the dominant formal adn symbolic attributes that characteristics Mustapa's compositions through the 1970s until 2007.

Yang menariknya tentang buku ini, ia ditulis di dalam dwi bahasa - Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Yang paling menarik ialah pendekatan buku ini ditulis di dalam bentuk perbualan antara Sabapathy dengan Mustapa. Perbualan mereka berkisar tentang lukisan-lukisan yang telah dihasilkan Pak Mustapa. Tentang bagaimana idea-idea dicari dan lukisan-lukisan itu terbentuk. Di akhir buku ini turut dipamerkan lukisan-lukisan Pak Mustapa yang juga sedang dipamerkan di RA Fine Arts.

Pak Mustapa

Ajmal bersama Pak Samad

Ajmal bersama Prof. Siti Zainon



Lagi lagi buku

Sesat seketika di PJ, mencari tempat Payless mengadakan jualan gudangnya. Nasib baik ada sahabat yang membantu di Yayasan Salam, yang kebetulan saya sesat di jalan belakang bangunannya. Lantas, mohon pertolongannya melayari internet dan cetak peta untuk diberikan kepada saya yang menunggu di belakang bangunannya.

Syukur, akhirnya bertemu. Lalu membeli beberapa buah buku untuk diri, isteri dan anak-anak:
  1. Architects of the web
  2. Star Trek Memories (by William Shatner)
  3. Eyeopeners! (by Beverly Kobrin)
  4. Four Arguments for the elimination of television (Jerry Mander)
  5. My sourdough dad (Olivia Casberg)
  6. The one to one future (Don Peppers & Martha Rogers)

Friday, May 23, 2008

Baca Puisi Kuala Lumpur















Begitu lama tidak saya mengikuti mana-mana aktiviti baca puisi, mahupun sendiri mendeklamasi puisi sejak meninggalkan universiti sejak 10 tahun yang lalu. Entah bagaimana terdetik di hati malam ini untuk mengikuti Baca Puisi Kuala Lumpur di Dewan Bahasa dan Pustaka tadi.

Mungkin kerana terpanggil oleh Dewan Sastera yang inginkan saya berkarya semula. Atau mungkin juga kerana sudah muak dengan dunia yang huru-hara dengan karenah manusia yang tidak ketentuan destinasinya. Atau pun mungkin juga kerana mencari ilham dan tenaga semula di dalam berkarya.

Baca Puisi Kuala Lumpur kedua untuk tahun ini bertemakan Didaktisme dan Kebenaran, yang telah menampilkan Prof. Rahman Shaari (guru sajak saya dahulu) sebagai hosnya. Antara lain yang juga turut mendeklamasi dan 'mendendangkan' sajak masing-masing, A. Rahman Amiruddin, Raja Rajeswari Sita Raman, Bingkas Kebayan, Datuk Haji Salleh Yusup (Ketua Pengarah DBKL), Rahimidin Zahari, Datuk Haji Abdul Rahim Haji Abu (Setiausaha Politik Menteri Pelancongan Malaysia), Adik Norain A. Rahman, Rogayah A. Hamid, Rasdi Daud dan Abot, juga Mufti Perlis, Dr. Asri.

Saya tertarik dengan objektif program ini:
  1. Mengetengahkan tokoh penyair tempatan.
  2. Memasyarakatkan puisi untuk penghayatan 'Puisi Milik Kita'
  3. Memeriahkan Laman Teater DBP sebagai tempat penyatuan penyair dan peminat sastera menyampaikan ilmu dan berkongsi pengalaman kreatif kepada khalayak.
  4. Menyemarakkan aktiviti berlandaskan ilmu di Bandaraya Kuala Lumpur sebagai santapan minda dan membentuk jati diri masyarakat bagi mengimbangi kepesatan pembangunan Kuala Lumpur dalam segala bidang kehidupan.
Puisi atau sajak pernah menjadi subjek sastera kegemaran saya, sehingga pernah DBP menerbitkan antologi sajak saya dan Khyrun Anuar (sahabat menulis). Tetapi entah bagaimana kemahiran itu semakin lama semakin hilang. Tetapi saya masih percaya kepentingan subjek ini di dalam usaha mengimbangi kehidupan manusia dalam zaman sekarang. Saya pernah terbaca mengapa Al-Quran diturunkan oleh Allah dalam bentuk sedemikian, iaitu di dalam bentuk kata-kata yang indah. Kerana zaman itu (dan semestinya sehingga Kiamat), manusia bersastera dan bermain dengan kata-kata.

Kerana itulah, saya lihat tamadun-tamadun manusia selepas kewafatan Nabi Muhammad berlandaskan kepada kata-kata (terutamanya sastera dan ilmu-ilmu yang ditulis di dalam buku). Maka janganlah ada orang yang ingin memperkecil-kecilkan sumbangan sastera (terutamanya sajak) di dalam peradaban manusia masa kini dan akan datang. Ia masih relevan. Dan tentunya perlu direlevankan.

Thursday, May 22, 2008

Akademi Buku Malaysia

Setelah Akademi Buku Malaysia selamat dilancarkan pada 29 Februari 2008 yang lepas, akhirnya ia telah direalisasikan dengan pelaksanaan mesyuarat tenaga kerjanya yang pertama hari ini. Mesyuarat telah terlaksana di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang telah dihadiri oleh penggiat-penggiat utama industri, termasuklah mantan-mantan pesonel DBP sendiri.

Saya dan rakan-rakan dari komuniti bukuonline juga dijemput sebagai ahli jawatankuasa pelaksana Akademi Buku Malaysia, malah konsep asalnya juga ada di dalam komputer peribadi saya. Syukur, kerana ia terlipat di dalam lipatan sejarah negara.

Cuma pelaksanaannya perlulah berhati-hati. Kami dari bukuonline ingin mewakili para pembaca, yang menjadi pelanggan utama kepada industri ini. Insya Allah, sekiranya ada sebarang cadangan dan pandangan, bukuonline perlulah dipergunakan sebaik-baiknya. Mata dan telinga anda akan sentiasa diwakilkan oleh komuniti bukuonline di dalam Akademi Buku Malaysia ini. Izinkanlah bukuonline mewakili anda sebagai pembaca yang budiman dan pelanggan yang dihormati di dalam usaha murni ini.

Objektif utama perlaksanaan Akademi Buku Malaysia ialah:

  1. Menyediakan tenaga pekerja yang terlatih dan profesional dalam industri penerbitan buku negara.
  2. Meningkatkan keupayaan negara dalam produktiviti penerbitan buku sesuai dengan negara maju menjelang tahun 2020.
  3. Meningkatkan budaya membaca dan cintakan ilmu di kalangan rakyat Malaysia.
  4. Membangunkan modal insan yang cemerlang melalui industri buku yang maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Promosi Pay Less

Terima e-mail dari Pay Less (promosi):


PAY LESS BOOKS' Warehouse Sales is back in Millennium Square!!!

Venue: Ground Floor, Millennium Square, Dataran Millennium PJ,

Jalan 14/1, Petaling Jaya, Selangor D Ehsan.

Date: 23 - 25 May 2008 (Friday - Sunday)

Time: 10:00am - 7:00pm

Log in to http://www.paylessbooks.com.my/4.html for further info.

Friday, May 16, 2008

The book of other people


Dah lama benar tak ke Borders. Semalam, pulang dari kerja, bersama-sama keluarga ke Berjaya Times Square. Cadangnya untuk makan malam. Selesai makan, tersangkut pula di Borders. Berbelanja sikit untuk membeli buku: untuk isteri, untuk setiap anak-anak (yang telah memegang buku kegemaran masing-masing), lantas mencari buku untuk diri sendiri.

Ini hasilnya, sebuah buku bertajuk The Book of Other People. Tertarik dengan kulitnya. Dan apabila membaca prakatanya, terbukti ia adalah sebuah buku yang unik. Kerana setiap penulisnya dimestikan untuk menulis cerita setiap seorang dengan mewujudkan watak-watak yang tersendiri. Setiap watak itu tidak pula dimestikan menggambarkan seorang manusia, oleh kerana itulah ada ceritanya yang menjadikan alien sebagai wataknya. Menurut editornya: ...the hope was that the finished book might be a lively demonstration of the fact that there are as many ways to create character (or deny the possibility of character) as there are writers.....

Friday, May 9, 2008

Gelombang Membaca (Siri 2)

Artikel ini terbit di Milenia Muslim (Disember 2007)

Salah-satu daya yang diperlukan di dalam mewujudkan gelombang membaca ialah Daya Penggerak. Penulis memikirkan bahawa manusialah Daya Penggerak itu.

Sekiranya dapat dirujuk kepada hukum fizik, apabila sesebuah objek itu bergerak, ia tentunya mempunyai Momentum, yang dirujuk sebagai Jisim x Halaju. Namun begitu, untuk tujuan artikel ini, daya-daya yang akan dibincangkan hanyalah satu analogi.

Manusia, makhluk ciptaan Allah, merupakan ciptaan-Nya yang terhebat. Seperti yang disebut oleh Dr. Haron Din, di dalam bukunya Manusia dan Islam:

Diberikan kepadanya sifat-sifat khusus untuk membolehkannya menanggung amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain....

Ini adalah disebabkan faktor biologi manusia itu sendiri, yang mempunyai cukup sifat-sifat jasadiah dan rohaniah yang memungkinkan mereka menanggung amanah-amanah yang Allah berikan. Sifat-sifat khusus seperti akal, hati dan nafsu merupakan tiga sifat serentak yang hanya ada pada manusia, tetapi tidak ada pada mana-mana makhluk lain.

Amanah yang Allah berikan kepada manusia bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Amanah yang tidak termampu ditanggung oleh makhluk-makhluk lain, yang saiznya lebih besar dari manusia itu. Amanah untuk ‘menjaga’ dunia ini, amanah untuk memakmurkan alam ciptaan Allah, iaitu ‘kewajipan menegakkan agama Allah, Islam, atau kewajipan melaksanakan tugas terhadap agama Allah (Islam) yang diberikan kepada manusia. (Dr. Haron Din).

Untuk memastikan manusia berjaya menyempurnakan amanah ini, manusia perlu mempunyai ilmu. Ilmu adalah makanan jiwa, makanan akal dan benteng kepada keterlanjuran nafsu. Ilmu amat diperlukan untuk melengkapkan sifat-sifat Khalifah yang diberikan Allah kepada manusia. Tanpa ilmu, manusia hanya dipandu nafsu dan menuju kehancuran seperti mana yang telah berlaku kepada banyak kelompok peradaban manusia.

Memetik tulisan Prof. Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharudin di dalam bab pengenalan kepada buku Pendidikan Asas Kemajuan Minda dan Material di Johor, yang ditulis oleh Rahimah Abdul Aziz dan Rahmat Saripan, terbitan Yayasan Warisan Johor:

Ilmu pengetahuan yang kita kenal kini terbina melalui kegiatan manusia yang tidak henti berwacana. Mengiringi kegiatan berwacana tersebut adalah pelbagai usaha merakamnya, sama ada dalam bentuk tulisan dan dalam bentuk selainnya. Melalui proses inilah ilmu pengetahuan manusia itu bertimbun-tambah. Keseluruhan proses ini pula diwarnakan oleh pelbagai bentuk kontradiksi, bangkang-membangkang, persetujuan dan bersetuju-tak-bersetuju. Keadaan dan konteks semasa juga amat mempengaruhi keseluruhan proses ini. Dalam perkataan lain, ilmu serta tafsiran mengenai sesuatu himpunan ilmu itu lahir atau dilakukan dalam keadaan yang tidak bebas daripada pelbagai pengaruh. Dengan itu, ilmu itu adalah sesuatu yang hidup dan senantiasa dibincang, disanggah dan ditambah.

Perbincangan ilmu tidak pernah terhenti sejak manusia tiba di muka bumi ini. Malah, memetik tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah untuk Kaum Muslimin:

Plato pernah menarik perhatian dengan menyatakan bahawa untuk seseorang menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan maka perlulah dia mempunyai ilmu yang lengkap pula mengenai bidang itu....

Tentuya ilmu tidak boleh dipisahkan daripada aktiviti membaca, mempraktik dan menulis. Ini adalah tiga unsur utama kepada pendidikan. Mustahil bagi seseorang manusia biasa memperolehi ilmu tanpa melalui tiga unsur ini. Membaca bagi penulis bukan pula sekadar membaca buku atau tulisan, malah apabila dilihat dari konteks yang lebih luas, membaca daripada pandangan mata yang terus dihantar informasi itu ke akal dan dihakimi hati juga adalah proses yang penting. Namun tidak semua manusia punyai kebolehan ini. Lantas menjadikan proses membaca tulisan (sama ada dari buku, majalah, akhbar dan sebagainya) sebagai satu proses umum yang boleh dilakukan oleh segenap lapisan manusia. Kerana itulah Al-Quran diturunkan dengan Iqra’ sebagai ayat pertama. Bacalah.

Sebagai satu daya penggerak kepada gelombang membaca, manusia seharusnya mempunyai kualiti ilmuwan. Namun hukum alam (apabila dilihat secara lebih realitis) akan memperlihatkan bukan semua manusia mempunyai kualiti itu. Biarpun benar manusia adalah Khalifah yang dilantik Allah di muka bumi ini, namun hanya kelompok-kelompok tertentu sahaja yang layak.

Mereka adalah yang beriman kepada Allah. Yang tentunya apabila dikaitkan semula dengan ilmu, hanya mereka yang berilmu sahaja yang layak memimpin ummat manusia.

Terlalu banyak contoh di dalam peradaban manusia yang memperlihatkan kepentingan ilmu di dalam memandu kesejahteraan hidup manusia. Malah di dalam peradaban moden yang berteknologi ini pun masih dapat kita saksikan bagaimana masyarakat yang tidak berilmu (tidak membaca) hidup dalam keadaan yang penuh kedaifan dan menuju kehancuran.

Peperangan, perselisihan, kebuluran, kehancuran nilai-nilai sosial dan sebagainya yang negatif adalah hasil daripada tidak menjadikan ilmu sebagai objektif utama kehidupan mereka. Ilmu adalah berkadar terus dengan iman. Keimanan seseorang perlu disusuli dengan ilmu. Dan ilmu juga berkadar terus dengan membaca. Tanpa membaca, ilmu tidak akan terhasil. Dan hanya bacaan terpilih sahajalah yang layak dikutip dan dibaca. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. ‘...membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu’.

Telah diterangkan di atas, kepentingan ilmu, dan kesan membaca terhadap perkembangan ilmu. Manusia sebagai Khalifah amat memerlukan sifat dan nilai ini. Tetapi bagaimana Daya Penggerak ini iaitu manusia boleh dijadikan satu penggerak utama kepada pencarian ilmu atau lebih spesifik lagi mewujudkan Gelombang Membaca yang lebih besar?

Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dikupas, dan penulis percaya ia tidak akan terhasil dalam masa yang singkat. Amalan perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum sesebuah budaya terhasil. Dan Daya Penggeraklah yang memastikan Gelombang Membaca ini terhasil dan tsunami akan terwujud.

Wednesday, May 7, 2008

Monday, May 5, 2008

Buah tangan dari Kongres Permuafakatan Melayu

Dua buah buku diperolehi dari Kongres Permuafakatan Melayu yang telah selesai berlangsung di Johor Bahru hujung minggu lalu.

1. Kemerdekaan dan Perhambaan, terbitan GAPENA, yang diselenggara oleh Prof. Dr. Zainal Kling, sempena kongres ini.
2. Mengangkasa Revolusi Melayu dan Orde Dunia Baru, tulisan Indrawan Muhammad Yatim

Friday, May 2, 2008

Ke Johor Bahru

Usai majlis di DBP, saya terus ke Johor Bahru. Menghadiri Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru. Komuniti bukuonline telah disenaraikan sebagai salah-satu daripada 195 badan-badan bukan kerajaan yang disenaraikan sebagai badan-badan kerabat kongres. Kami akan berusaha memartabatkan ilmu pengetahuan di dalam bangsa Melayu. Bangsa Melayu perlu lebih bersemangat mencari ilmu dan membaca adalah salah-satu usaha yang terakhir.

Buku terbaru Kassim Ahmad

Walaupun sudah hampir 2 bulan 'Mencari Jalan Pulang' sudah berada di pasaran, namun hari ini saja berkesempatan mendapatkannya. Malah, ia amat bererti bagi saya kerana mendapat tandatangan dari pengarangnya sendiri, Dr. Kassim Ahmad. Saya memenuhi jemputan penerbitnya, ZI Publication yang menjemput menghadiri pelancaran buku ini oleh Yang Berbahagia Prof Diraja Ungku Aziz di DBP pagi tadi.

Menurut Dr. Kassim Ahmad, inilah julung-julung kalinya untuk sekian lamanya, buku tulisan beliau dilancarkan secara profesional dan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pelbagai pihak yang berkaitan. Kalau dulu, buku pertama beliau Hadis-satu penilaian semula, diharamkan. Begitu juga buku ketiga beliau turut diharamkan, harapan beliau supaya buku keempat berbentuk memoir ini dapat diterima oleh semua pihak sebagai satu bentuk keinsafan dari beliau.

Saya secara berterus-terang tidak pernah membaca buku-buku tulisan beliau, tetapi tertarik untuk membaca memoirnya ini terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran sebenarnya. Saya memetik semula kata-kata Tun Dr. Mahathir yang menulis kata penghantar kepada buku ini: ...namun demikian kita harus ingat bahawa seseorang insan akan melalui tiga fasa hidup dalam pegangan politik mereka. Semasa muda mereka agak radikal dan mirip kepada pemikiran dan ideologi kiri. Apabila menempuh umur pertengahan, pandangan dan pegangan mereka lebih mencerminkan 'centralist' dan kecuali. Apabila sudah berumur mereka lebih suka mendokong sikap dan pandangan puak kanan atau konservatif. Saudara Kassim sudah melalui ketiga-tiga fasa ini.....

Thursday, May 1, 2008

SEPA View terbaru

Saya memang gemar mengumpul majalah-majalah elektronik yang begitu mudah dimuatturun terus dari internet ke komputer riba saya. Pada waktu-waktu lapang, tentunya ia menjadi rutin kepada saya menatapnya menerusi monitor PC saya.

Ini majalah SEPA View terbaru. Boleh baca lanjut ulasan saya di blog Catatan Kembara Jalanan.

Apabila Tun Dr. M ber'blog'

Akhirnya, setelah beberapa ahli politik memulakan blog mereka, Tun Dr. Mahathir turut bersama-sama yang lain menulis di alam siber ini. Tarikh 1 Mei 2008 telah dipilih, dan hari ini saja (ketika blog ini ditulis), sudah ada 126 komen!!

Sila layari: http://www.chedet.com/