Wednesday, April 30, 2008

Rak baru


Hadiah dari kawan, sebuah rak baru untuk mengatasi masalah kesesakan buku di bilik pejabat. Terima kasih, Khul.

Wednesday, April 23, 2008

Hari Buku Sedunia 2008

Hari ini Hari Buku Sedunia 2008, yang juga merupakan harijadi ayahanda saya, Nazel Hashim Mohamad. Tarikh 23 April memang 'tarikh keramat' bagi saya, kepada ayah yang saya sayangi juga kepada buku, sahabat yang begitu intim dengan saya.

Juga tarikh ini, temubual pertama saya dengan stesyen TV (Astro Awani) telah dipancarkan di kaca TV sempena Hari Buku Sedunia 2008. Berikut adalah sedutan-sedutan dari Astro Awani yang disiarkan pada waktu-waktu berita hari ini:







Alhamdullihhah.

Tuesday, April 22, 2008

Gelombang Membaca (siri 1)

Setiap sesuatu yang tercipta di dunia ini mengeluarkan gelombang, percaya atau tidak, walaupun seketul batu yang kecil.

Seperti mana-mana bentuk gelombang sekalipun, ia pasti membawa maklumat bersamanya. Sebagai manusia, kita memang dikelilingi oleh gelombang-gelombang. Seperti gelombang otak, gelombang radioaktif dari bahan-bahan sekeliling, gelombang ciptasemula manusia seperti radio, televisyen, telefon bimbit dan sebagainya.

Setiap gelombang mempunyai sifat dan daya kekuatannya yang tersendiri. Seperti gelombang Alpha yang didapati adalah antara bentuk gelombang yang paling ‘tenang’. Gelombang tsunami yang melanda Acheh pada Disember 2004 pula adalah gelombang “pemusnah” yang terkenal dengan kekuatan hentaman yang belum pernah terjadi sebelum ini. Itu antara secubit contoh gelombang daripada himpunan gugusan gelombang-gelombang ciptaan Allah, Tuhan sekelian alam.

Manakala, gelombang buatan manusia seperti Mexican Wave di stadium ketika perlawanan bola sepak diadakan, juga mempunyai daya kekuatan dan sifatnya. Mengikut kajian, Mexican Wave memerlukan minimum 7 orang untuk mencetuskan satu gelombang besar di dalam sesebuah stadium. Semakin ramai bilangan individu yang melakukan cetusan Mexican Wave, semakin besar jugalah kebarangkalian gelombang yang terhasil itu lebih kuat dan bertenaga, hingga boleh menyebabkan 100% penonton di stadium melakukan gerakan gelombang tersebut!

Begitu juga dengan usaha untuk mewujudkan Gelombang Membaca, terutamanya di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga perlu mempunyai sifat dan daya kekuatannya tersendiri. Mungkin telah banyak bahan rujukan yang ditulis secara tidak langsung mengenai usaha mewujudkan gelombang ini. Namun begitu, satu usaha yang lebih proaktif dan bersepadu perlu diwujudkan.

Persoalannya, bagaimana?

Untuk mewujudkan sesuatu gelombang, kita memerlukan daya-daya yang mampu menggerakkan atom-atom sesuatu objek tersebut. Daya-daya itu perlulah mempunyai kekuatan pada tahap tertentu. Tsunami tidak akan terjadi sekiranya tidak ada daya yang menggerakkan atom-atom hidrogen dan oksigen (H2O). Radio tidak akan berfungsi sekiranya suara penyampai radio itu tidak ditukarkan ke bentuk gelombang, yang kemudiannya perlu diarahkan ke penerima gelombang tersebut. Mexican Wave tidak akan berlaku sekiranya tidak ada daya manusia yang menggerakkannya.

Begitu juga untuk mewujudkan Gelombang Membaca. Ia tidak akan wujud dan berjaya sekiranya tidak ada seseorang atau sesebuah kumpulan masyarakat yang menjadi daya-daya penggeraknya.

Untuk mewujudkan daya-daya penggerak Gelombang Membaca, beberapa ciri-ciri daya-daya itu perlu diperjelas dan dibincangkan. Seperti mana para saintis mengkaji, menulis dan menerima komen membina untuk melengkapkan kajian mereka, begitu juga yang harus berlaku kepada perbincangan isu-isu yang melibatkan pengwujudan budaya ‘baru’ di dalam masyarakat kita, seperti budaya membaca.

Antara daya-daya yang perlu diwujudkan ialah:

  1. Daya penggerak

Daya penggerak ialah manusia itu sendiri. Mereka yang ‘terpilih’ perlulah mempunyai ilmu yang cukup untuk memperkatakan tentang budaya membaca, perihal dunia buku, epistomologi, biblioholism dan sebagainya yang amat berkaitan dengan masyarakat, membaca dan budaya.

Ciri-ciri lain yang perlu ada, jika dapat dirujuk pada The Tipping Point, tulisan Malcom Gladwell ialah seseorang Penggerak itu perlulah dikategorikan di dalam The Law of the Few. Gladwell telah membicarakan tentang teorinya ini dengan mencadangkan bahawa walaupun hanya menggunakan sejumlah kumpulan manusia yang sedikit, perubahan besar akan berlaku. Namun begitu, sejumlah kumpulan manusia yang sedikit itu perlulah pula mempunyai ciri-ciri yang memungkinkan mereka dikenali sebagai Penggerak. Tiga ciri-ciri tersebut ialah penghubung (connector), pakar (maven) dan jurujual (salesman).

Penghubung (connector) ialah mereka yang mempunyai ‘kuasa semulajadi’ yang dapat menghubungkan masyarakat dengan seseorang individu. Beliau perlulah berkuasa (dalam erti kata masyarakat mendengar dan menerima nasihatnya) dan setiap individu di dalam masyarakat itu dihubungkan secara langsung atau tidak langsung kepada penghubung tersebut.

Manakala pakar (maven) ialah mereka yang mempunyai ilmu dan memahami selok-belok bidang tersebut.

Dan jurujual (salesman) ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri semulajadi yang dapat menarik perhatian masyarakat terhadap perkara atau objek yang menjadi barangan jualannya.

  1. Daya penarik

Buku dan industri buku itu sendiri adalah daya penariknya. Buku tidak boleh dianggap sebagai bebanan kepada seseorang atau sesuatu masyarakat. Buku perlu dilihat sebagai penyumbang kepada ekonomi dan perubahan sosio-budaya. Buku perlu di’ubahsuai’ bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Di dalam masyarakat maju seperti di negara-negara barat dan maju, buku tidak lagi dilihat sebagai sebuah hasil karya yang membosankan atau mempunyai reka kulit buku yang langsung tidak menarik. Perubahan perlu dilakukan dan sesebuah syarikat penerbitan perlu berani berinovasi. Inovasi pula perlulah diikuti dengan penyelidikan dan pembangunan. Maka untuk itu faktor kewangan perlu diambilkira. Penerbit perlu sanggup mengeluarkan sejumlah wang dari modalnya untuk memastikan buku-buku terbitannya kelak diterima oleh masyarakat, yang bukan sekadar melihat isinya, malah kulit dan kualiti penerbitannya itu.

Manakala industri buku, terutamanya kedai-kedai buku perlu berani tampil dengan perubahan. Rekaletak rak-rak buku, kaedah-kaedah pemasaran terkini dan alat-alat bantu pemasaran perlu diambilkira.

  1. Daya penolak

Masyarakat itu sendiri merupakan daya penolak. Sesuatu budaya adalah terhasil daripada amalan yang telah diamal dan diterima oleh sesuatu masyarakat. Ia tentunya mengambil tempoh masa tertentu untuk berevolusi. Bagaimana ia bermula, tentunya dari seseorang individu yang kemudiannya diterima pakai oleh keluarga tersebut, lantas diterima dan diamalkan oleh masyarakat setempat. Kita sebagai umat Melayu di Malaysia ini tentunya mempunyai 1001 amalan yang telah sebati dengan umat ini sendiri. Dan disebabkan itulah budaya terhasil dan menjadi darah daging pengamalnya.

Begitu juga dengan budaya membaca yang diperbincangkan di dalam tulisan ini. Ia perlu diamalkan terlebih dahulu oleh individu-individu yang telah dikenalpasti sebagai penggerak. Lantas, penggeraklah juga yang akan menolaknya ke hadapan supaya kemudiannya dapat dijadikan amalan masyarakat setempat.

Ia tentunya bukan satu perkara yang mudah. Daya-daya yang telah dibincangkan di atas perlulah mengalami proses evolusi yang akan mengambil masa. Sekiranya daya-daya tersebut dapat diwujudkan terlebih dahulu, tidak mustahil siri gelombang-gelombang akan wujud. Tidak besar, kecil pun memadailah sebagai permulaan. Gelombang-gelombang air di lautan, walaupun mungkin ada yang kecil, tetapi tidak mustahil berupaya mewujudkan siri gelombang air yang lebih besar, lantas dapat meranapkan pantai-pantai berbatu di pesisirnya. Itulah kekuatan sesebuah gelombang.

Monday, April 21, 2008

Artikel di Utusan Malaysia

Tanggal 23 April 2008 nanti, dunia akan menyambut Hari Buku Sedunia yang telah dianjurkan oleh UNESCO sejak 1995. Oleh kerana itu, saya telah menulis sebuah artikel yang bertajuk Buku Bentuk Minda Rakyat yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini.

Sunday, April 20, 2008

Hari Buku Sedunia di ASTRO AWANI

Saya baru saja selesai ditemuramah oleh wartawan Astro Awani untuk slot sambutan Hari Buku Sedunia yang akan disiarkan di Astro Awani pada 23 April nanti. Insya Allah, telah saya kongsikan apa pandangan dan pendapat saya terhadap budaya membaca dan kekangannya di Malaysia. Semoga usaha ini berbaloi.

Tuesday, April 15, 2008

Perlukan rak baru

Aduh! Pesta buku punya pasal, perlu tambah rak lagi untuk buku-buku ini.

Sunday, April 13, 2008

Hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008

Ahad, 13-04-08 hari ini merupakan hari terakhir 'syurga buku' kepada pencinta-pencintanya. Saya ke sana lagi, untuk membeli kali terakhir dan juga melaksanakan Forum Malaysia Membaca 2008. Alhamdulillah. Sila lihat foto-foto yang sempat dirakamkan di album foto saya. Cerita lanjut mengenai forum ini akan ditulis esok. Mata dan minda sudah begitu letih, menunggu masa untuk melelapkan mata seketika.

Buku-buku yang telah dibeli:
  1. Gilgamesh
  2. Foley, the spy who saved 10,000 jews
  3. China to Chinatown: Chinese Food in the West
  4. The China Dream
  5. Brand Warriors China: Creating Sustainable Brand Capital
  6. Power Failure: The Rise and Fall of Enron
  7. The Men Who Persevered
Usai forum, ramai-ramai ke kedai makan di belakang Hospital Pusrawi. Antara yang hadir: Dr. Abu Hassan Hasbullah, Ali Dina, Shamsuddin Abdul Kadir, Zamri Mohamad, Ainon Mohamad, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, sahabat Zamri (terlupa namanya), Zin Mahmud, Rahimi dan Sayed Munawar.

Hasil dari sembang-sembang di restoran ini, kami bersepakat untuk mewujudkan gelombang membaca yang lebih kuat dan berpengaruh. Insya Allah, perjuangan ini akan diteruskan tanpa ada titik noktahnya.

Saturday, April 12, 2008

Persiapan Forum Malaysia Membaca 2008

Hari ini seharian di PWTC. Ada tugas sebagai ahli NGO di Dewan Merdeka. Juga membuat persiapan terakhir untuk Forum Malaysia Membaca 2008 yang akan diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Malaysia 2008 esok (13 April 2008, jam 4-6 petang).

Menemui Pak Samad di gerai Wira Bukitnya. Temujanji dengan Dr. Abu Hassan Hasbullah, Ali Dina dan Puan Ainon di PTS, lantas ke gerai makan kerana manusia terlalu ramai hujung minggu ini. Kata Sayed Munawar 2 hari yang lepas, pengunjung sudah mencapai 1.2 juta orang, dan mereka menganggarkan sejumlah 1.5 juta orang keseluruhan akan mengunjungi pesta ini sehingga esok. Ini satu petanda positif.

Cuma, apabila berdampingan dengan Dr. Abu Hassan Hasbullah, merenung situasi 'ajaib' ini, walaupun peratusan pengunjung ke Pesta buku ini semakin meningkat, namun adakah 'trend' ini berkadar langsung dengan budaya membaca? Adakah sudah berlaku kesan positif hasil daripada gelombang membaca nasional yang telah digerakkan oleh ramai pihak?

Tentunya pemerhatian ini perlu dikupas secara ilmiah. Kalau ia positif, ia adalah satu petanda yang amat baik, dan proses dokumentasi gelombang membaca ini perlu segera dilaksanakan. Supaya generasi akan datang dapat mempelajarinya. Sekiranya pemerhatian ini sekadar satu hasil sementara, maka seharusnya setiap pihak yang bertanggungjawab perlu melakukan usaha yang lebih untuk mewujudkan gelombang tsunami yang lebih besar dan memberi impak yang lebih berkesan.

Saya juga terpegun dengan pengunjung yang tidak putus-putus mendapatkan tandatangan Pak Samad di gerai Wira Bukitnya. Rata-ratanya adalah generasi pelajar-pelajar sekolah. Ia merupakan satu petunjuk yang begitu nyata dan jelas, bahawa dunia buku memerlukan seorang ikon (yang bukan seharusnya dari artis yang hanya dimomokkan dengan sebuah buku, untuk menarik generasi muda membaca). Ikon itu seharusnya datang dari dunia buku itu sendiri. Ketika Dr. Abu menghubungi menerusi telefon si Faizal Tehrani, beliau juga 'sesak' dengan peminat-peminatnya yang langsung tidak memberikan peluang kami bertemu.

Langsai bertemu sahabat-sahabat buku, berbicara dengan puan Ainon yang membelanja kami bertiga minum petang. Satu diskusi ilmiah antara Dr. Abu dan Puan Ainon menarik untuk dicatatkan. Cuma, biarlah ia datang sendiri dari blog Puan Ainon.

Friday, April 11, 2008

Buku lagi....Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008

Semalam, berkesempatan sekejap di hujung hari ke Pesta Buku Antarabangsa. Walaupun agak singkat, tetapi sempat menyambar 11 buah buku:
  1. Ketokohan Al-Ghazali dalam Bidang Logik
  2. Prosiding Ibn Khaldun: Pemikiran Ibn Khaldun dan Relevansinya dalam Tamadun Kontemporari
  3. Environmental Wisdom for Planet Earth: The Islamic Heritage
  4. Pemikiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
  5. Memahami Penerbitan Buku
  6. Double-Shift Schooling: Design and Operation for Cost-Effectiveness
  7. Involving People Evolving Behaviour
  8. The Glass Bottom Boat
  9. The Basic Essentials of Cooking in the Outdoors
  10. Global Ecology: Towards a Science of the Biosphere
  11. The Software Factory: Managing Software Development and Maintenance

Thursday, April 10, 2008

Akhirnya.....

Alhamdullillah, setelah hampir seminggu berusaha, akhirnya sebuah buku yang telah saya usahakan (Gombak's Nature Secret) berjaya juga dihantar ke blurb.com (http://blurb.com). Hampir-hampir kecewa disebabkan ada masalah dengan connection dari talian kita di Malaysia dengan laman blurb di US. Hampir setiap hari pasti saya akan mengganggu pekerja-pekerja blurb menerusi email, mohon bantuan. Hari ini, berita gembira kerana saya boleh menghantar hasil karya saya ke sana menerusi YOU SEND IT. Ia pasti membuka semula hati dan fikiran saya untuk bersemangat semula menghasilkan buku-buku lain yang akan diterbitkan oleh blurb.com. Mudah-mudahan dipermudahkan.

Tuesday, April 8, 2008

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008

Hari ini berkesempatan akhirnya ke Pesta Buku di PWTC. Tetapi tak dapat berlama-lama di sana. Sekadar menjenguk dan membeli 6 judul, walaupun 'budget' masih lagi ada, tetapi disebabkan kesuntukan masa, hanya itu yang termampu dibeli:

  1. Tanaman Hiasan: Khasiat Makanan dan Ubatan, oleh Prof. Dr. Ong Hean Chooi, terbitan Utusan Publication. RM 48.00
  2. Teknologi Penyenggaraan Bangunan, oleh Prof. Abdul Hakim bin Mohammed dan Wan Min bin Wan Mat, terbitan DBP. RM 12.00
  3. Industri buku di Malaysia: Isu-isu dan Cabaran, oleh Hamedi Mohd. Adnan, terbitan Utusan Publication.
  4. Penggunaan Alat Keselamatan di Tapak Bina, oleh Nurul Azita Salleh dan Abdul Aziz Hussin, terbitan DBP. RM 20.00
  5. Masjid itu Hidupku. oleh Mohd. Gunawan Che Abd. Aziz, terbitan Telaga Biru. RM 19.90
  6. Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia. by Prof. Syed Hussein Alatas, edited by Riaz Hassan. Terbitan DBP. RM 25.00

Monday, April 7, 2008

Sunday, April 6, 2008

Dua dunia bertemu

Walaupun dunia seni ini luas maknanya, namun jarang-jarang sekali saya ketemui dua dunia seni: seni lukis dan seni sastera bertemu di galeri seni lukis. Mungkin kepada mereka yang lebih terdedah kepada kesenian, ia sememangnya berlaku. Namun, apabila saya menghadiri pameran Mea Culpa di RA Fine Arts semalam, saya menemui satu dunia yang begitu unik.

Dunia yang telah menemukan 13 pelukis dengan seorang penulis, Amirul Fakir. Setiap pelukis 'dipaksa' untuk membaca dan menelan setiap watak, idea, persekitaran dan apa sahaja yang terdapat di dalam setiap karya cerpen Amirul. Mereka telah diberi masa selama 4 bulan untuk menghasilkan karya-karya lukisan mereka yang juga sedang dipamerkan di RA Fine Arts.

Menarik sekali. Kerana saya dapat melihat dan merenung kupasan setiap cerpen dari antologi Mea Culpa itu dari pandangan mata seorang pelukis, yang juga merupakan pembaca seperti pembaca-pembaca yang lain.

Inilah keindahan membaca. Kerana apabila membaca, minda kita menerawang ke alam buku itu. Biarpun kadang-kala jelas ditulis, namun minda kita lebih bebas untuk memberi makna di dalam pengetahuan kita sendiri.

Inilah yang terhasil di pameran Mea Culpa itu. Tahniah kepada YM Raja Ahmad, pemilik RA Fine Arts.

Lagi foto di album foto saya.

Saturday, April 5, 2008

Aktiviti Perbukuan

Akhirnya, tiba lagi masa untuk mencium kembali bauan buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Tentunya, ia adalah 'syurga dunia buku' kepada sesiapa yang amat mencintainya. Saya dan keluarga belum lagi berkesempatan untuk ke sana semalam. Tetapi, sudah tentu sudah ada peruntukan kewangan yang telah diluluskan oleh 'menteri kewangan has-yun' untuk berbelanja di sana nanti.

Seminggu dua yang mendatang ini juga agak sibuk dengan aktiviti perbukuan. Hari ini, RA Fine Arts akan mengadakan pelancaran buku. Esok, pada jam 6 petang pula akan diadakan Kata Suara 4 di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bukuonline pula akan mengadakan Forum Malaysia Membaca 2008, juga sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 April 2008 di PWTC. Pada 23 April 2008 pula, bukuonline dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor akan mengadakan Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3.

Saya sendiri sedang sibuk menyiapkan sebuah buku yang bertajuk Gombak's Nature Secret, sebuah buku bergambar yang memaparkan keindahan sebenar sekitar Gombak. Juga beberapa projek penulisan buku yang seharusnya hampir siap.