Wednesday, March 12, 2008

Buku dan Politik

Rakyat Malaysia telah membuat keputusan mereka di dalam Pilihanraya ke-12, Sabtu yang lalu. Dan saya sebagai rakyat Malaysia juga turut melaksanakan tanggungjawab itu di kampung saya di Perlis.

Pilihanraya kali ini, seperti umum mengetahui memang menarik untuk dibicarakan. Sama ada di kedai-kedai kopi, mahupun di pejabat. Tentunya, rakyat semakin berani untuk memperkatakan sesuatu dari hati mereka, kerana keputusan yang telah dibuat menerusi pilihanraya itu sememangnya merupakan keputusan dari hati mereka sendiri.

Cuma, seharusnya perbincangan demi perbincangan itu perlulah diasaskan kepada ilmu dan ia boleh didapati daripada pembacaan. Sama ada tepat atau tidak, laporan-laporan daripada media massa utama seperti akhbar-akhbar bercetak mahupun dari media alternatif menerusi internet merupakan sumber yang paling popular masa kini. Misalnya, Malaysiakini sahaja telah diakses lebih daripada 500,000 kali, sehingga pada malam pengiraan undi 8hb mac yang lalu
tidak dapat diakses menerusi laluan biasa.

Begitu juga dengan laman-laman lain seperti harakahdaily, utusan malaysia dan berita harian, yang menjadikan internet sebagai laluan alternatif kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan berita terkini mengenai peratusan undi yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia pada paginya itu. Menonton TV sejak awal 7 malam sehingga 4 pagi, sememangnya meresahkan saya. Tidak sabar dengan penantian keputusan yang kadang-kala begitu lambat sekali untuk dimaklumkan. Sebaliknya, apabila melayari internet, keputusannya telah pun menjadi satu titik sejarah.

Pada ketika inilah, membaca perlu lebih kritikal. Adakalanya berita yang disajikan itu memihak kepada satu pihak sahaja, sehinggakan ia terlihat seolah-olah ia dirancang untuk tidak diperlihatkan kebenaran di sebaliknya.

Seharusnya, sejarah yang telah berlaku pada 8 mac ini perlu dibukukan secepat yang mungkin. Sama ada kepada BA atau BN, ia merupakan sejarah pada definisi masing-masing, dan pada bukulah ia perlu diletakkan.

Keputusan masyarakat Malaysia itu adalah muktamad. Dan ia adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia untuk dibaca kemudiannya oleh generasi akan datang.

No comments: