Sunday, March 30, 2008

Forum Malaysia Membaca 2008


























Hampir 2 tahun lalu, bukuonline telah menganjurkan Forum Malaysia Membaca (16 September 2006) sempena Pesta Buku dan Multimedia peringkat Negeri Sembilan. Ketika itu, temanya adalah 'Komuniti Buku Memperkasa Peradaban Ilmu'.

Kini, pada 13 April 2008, bukuonline sekali lagi akan menganjurkan Forum Malaysia Membaca. Kali ini ia akan diadakan di PWTC, sempena dengan Pesta Buku Antarabangsa KL 2008.

Tarikh: 13 April 2008 (Ahad)

Masa: 4 - 6 petang

Tempat: Pentas Prima - Dewan Tun Razak 2

Sila rujuk laman web rasmi PBAKL 2008

Semua dijemput hadir. Penyertaan adalah PERCUMA

Thursday, March 27, 2008

Kata Suara 3

Pada 15.03.08 yang lalu, saya memenuhi jemputan saudara Raja Ahmad ke galerinya (RA Fine Arts) di Jalan Aman, KL. Ini adalah kali ketiga saya berlegar-legar di dalam sebuah galeri seni lukisan. Kali pertama di Dundee, dan kedua di Glasgow. Tetapi RA Fine Arts begitu istimewa kerana ia adalah kali pertama saya memandang, menghayati lukisan-lukisan tempatan, dan juga bersama-sama beramah-mesra dengan para artis tempatan. Sesungguhnya saya ini 'buta seni'.

Lebih istimewa kerana bertemu dengan rakan-rakan blogger yang lain, antaranya jiwarasa, pak adib, ariff, dan beberapa nama lagi. Malah, pada kesempatan ini juga bertemu dengan Prof. Dr. Zakaria Ali, Prof. Siti Zainon, U-wei, dan ramai lagi selebriti seni.

Sempat juga membeli sebuah novel sulung karya Firdaus Ariff (Sayap Arinila), yang merupakan satu karya sains fiksyen. Semasa umur remaja zaman persekolahan dulu, karya sains fiksyen merupakan antara novel kegemaran saya. Penulis-penulis tempatan seperti Ahmad Patria Abdullah antara novelis pujaan saya. Cuba-cuba juga menulis novel sains fiksyen, tetapi rupa-rupanya bukannya mudah. Perlukan lebih banyak membaca dan berimiginasi. Tahniah Firdaus kerana berjaya memecah tembok kebuntuan itu!

Pak Adib merupakan antara blogger kegemaran saya. Kegilaan beliau terhadap membaca dan menulis sememangnya begitu menakjubkan. Pada usianya sebegitu, pengetahuan teknologi beliau amat mengagumkan.

Jiwarasa, yang pernah bertemu semasa zaman kanak-kanak dahulu, tidak asing bagi saya. Keakraban kami sudah seperti saudara. Cuma masa dan faktor geografi yang memisahkan jasad kami berdua.

Terima kasih sekali lagi kepada Raja Ahmad yang begitu komited menghantar pesanan demi pesanan untuk bersama-sama program Kata Suara 3 ini. Insya Allah, pada kesempatan yang lain, tentunya saya akan ke sana lagi untuk siri Kata Suara yang lain.

PS: jemput ke album foto saya

Monday, March 24, 2008

Artikel di Utusan Malaysia

Lama benar rasanya tidak menulis artikel untuk Utusan Malaysia. Alhamdulillah, hari ini terbit sebuah artikel saya bertajuk Menguruskan Alam Sekitar Menerusi Pembacaan di Utusan Malaysia.

Sunday, March 23, 2008

Rezeki buku

Jumaat lepas saya melawat-lawat sekitar 'pesta buku' kecil-kecilan yang berlangsung di fakulti saya sempena KAED's OPEN DAYS. Terpegang sebuah buku bertajuk Autonomous Maintenance in Seven Steps. Apabila membaca tajuk buku ini, terlintas di hati....wah! tajuknya begitu mengiurkan minda saya..apatah lagi apabila membaca perkataan 'maintenance' itu. Lantas ditanya, berapa harganya? Si penjual mengira-ngira seketika, "US50.00", katanya.

"Kalau ditukar ke RM?" soal saya pula.

"Kira-kira RM150.00".

Terkedu seketika, almaklumlah di hujung bulan. Terus diletakkan semula di raknya. Apabila melihat terkeduan saya itu, lantas si penjual berkata, "Minat buku tu?". Saya mengangguk. Lantas, diambilnya buku itu dan memberikannya percuma kepada saya. Syukur, inilah dikatakan rezeki. Semoga rezeki bertambah kepada penjualnya. Amin.

Wednesday, March 12, 2008

Buku dan Politik

Rakyat Malaysia telah membuat keputusan mereka di dalam Pilihanraya ke-12, Sabtu yang lalu. Dan saya sebagai rakyat Malaysia juga turut melaksanakan tanggungjawab itu di kampung saya di Perlis.

Pilihanraya kali ini, seperti umum mengetahui memang menarik untuk dibicarakan. Sama ada di kedai-kedai kopi, mahupun di pejabat. Tentunya, rakyat semakin berani untuk memperkatakan sesuatu dari hati mereka, kerana keputusan yang telah dibuat menerusi pilihanraya itu sememangnya merupakan keputusan dari hati mereka sendiri.

Cuma, seharusnya perbincangan demi perbincangan itu perlulah diasaskan kepada ilmu dan ia boleh didapati daripada pembacaan. Sama ada tepat atau tidak, laporan-laporan daripada media massa utama seperti akhbar-akhbar bercetak mahupun dari media alternatif menerusi internet merupakan sumber yang paling popular masa kini. Misalnya, Malaysiakini sahaja telah diakses lebih daripada 500,000 kali, sehingga pada malam pengiraan undi 8hb mac yang lalu
tidak dapat diakses menerusi laluan biasa.

Begitu juga dengan laman-laman lain seperti harakahdaily, utusan malaysia dan berita harian, yang menjadikan internet sebagai laluan alternatif kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan berita terkini mengenai peratusan undi yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia pada paginya itu. Menonton TV sejak awal 7 malam sehingga 4 pagi, sememangnya meresahkan saya. Tidak sabar dengan penantian keputusan yang kadang-kala begitu lambat sekali untuk dimaklumkan. Sebaliknya, apabila melayari internet, keputusannya telah pun menjadi satu titik sejarah.

Pada ketika inilah, membaca perlu lebih kritikal. Adakalanya berita yang disajikan itu memihak kepada satu pihak sahaja, sehinggakan ia terlihat seolah-olah ia dirancang untuk tidak diperlihatkan kebenaran di sebaliknya.

Seharusnya, sejarah yang telah berlaku pada 8 mac ini perlu dibukukan secepat yang mungkin. Sama ada kepada BA atau BN, ia merupakan sejarah pada definisi masing-masing, dan pada bukulah ia perlu diletakkan.

Keputusan masyarakat Malaysia itu adalah muktamad. Dan ia adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia untuk dibaca kemudiannya oleh generasi akan datang.