Saturday, March 27, 2010

Hasil tangkapan dari PBAKL


Saya hanya berkesempatan ke PBAKL sekali sahaja tahun ini. Mungkin faktor belanjawan menjadi penghalang utama untuk ke sana pada awal minggu ia dibuka. Dan faktor kesesakan pada hari-hari terakhir ia berlangsung. Apatah lagi dengan kesesakan yang dijangka berlaku pada hari ini, bersempena dengan mesyuarat agung pertama PERKASA yang berlangsung pagi tadi.

Namun begitu, lawatan ke PBAKL semalam tidak menghampakan. Saya hanya membeli dua buah buku baru dari gerai PENGUIN. Tetapi bukan buku-buku itu yang istimewa.

Sebaliknya pembelian dari gerai Arkib Negara amat bermakna. Dengan RM50, saya berjaya membawa pulang 10 buah buku ucapan Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir. Yang mungkin tidak akan dapat dijumpa atau dibeli dari kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Malah, dengan potongan 70% untuk setiap buku yang berkulit keras dan 'tidak berwajah' itu memang berbaloi untuk nilai wang saya.

Sekiranya buku-buku ini dibeli dari Arkib Negara selain dari promosi sempena PBAKL, kata penjualnya, harga asal setiap satunya lebih daripada RM20. Sebaliknya dengan potongan 70% itu, hanya RM3.00 lebih saya sudah mampu tersenyum puas!!

Tentu banyak yang boleh dipelajari daripada setiap ucapan bekas-bekas perdana menteri kita ini. Ucapan-ucapan yang disimpan rapi di Arkib Negara ini tentunya dapat saya gunakan semula untuk menguatkan hujah-hujah penulisan saya nanti.

Bukankah tema PBAKL 2010 ini bertemakan Buku: Lakaran Masa Hadapan?!

Saturday, March 20, 2010

Impian di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 sudah bermula. Namun belum berkesempatan untuk ke sana. Ongkosnya pun perlu dicari terlebih dahulu sebelum dapat memijak masuk PWTC, kalau tidak mungkin sia-sia ke sana untuk hanya menjamu mata!

Itu selingan, sehingga pesta buku itu diselongkar masuk dan dikhatam buku-bukunya. Saya tidak bercadang mahu bernostalgia tentang pesta buku ini yang sudah hampir 10 tahun tidak pernah saya melepas ruang waktu untuk memasukinya kecuali pada tahun-tahun saya tidak di Malaysia untuk tujuan pengajian dahulu.

Impian saya tahun ini adalah untuk mendapatkan buku-buku yang lebih berkualiti, tidak semestinya baru diterbitkan tetapi membantu untuk saya memasuki dunia ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam.

Saya inginkan buku-buku yang jujur. Ditulis dengan berkesan, tidak semestinya cantik pada kulit (walaupun saya akui kadang-kala saya tertarik pada kulitnya sebelum saya cuba menyentuh isinya!) tetapi isinya dikupas dengan baik seperti siri tulisan atau buku Malcolm Gladwell di mana buku-bukunya diterbit ringkas dengan kulit buku berwarna putih yang menjadi trademark penerbitannya.

Saya juga inginkan pesta buku kali ini benar-benar berfungsi sebagai pesta buku, dan bukannya pesta untuk menjual barangan lain seperti pengajian bahasa atau tempat ulat berkumpul untuk memaksa pengunjung termakan buah epal yang cuba dijual mereka.

Saya inginkan jumlah pembelian buku oleh pengunjung bertambah dari pesta ini. Tetapi pastinya bukan dengan nilai ringgit yang dibelanjakan kepada buku atau bahan bacaan yang tidak berkualiti. Mungkin ada yang tidak bersetuju bahawa bahan bacaan perlu disaring kerana mungkin percaya rakyat Malaysia perlu membaca apa sahaja terlebih dahulu untuk menjadikan amalan membaca itu sebagai satu budaya. Memang benar, tetapi hanya benar pada peringkat permulaan pembudayaan membaca. Kita seharusnya sudah berada di peringkat ketiga, iaitu peringkat pemerkasaan pembudayaan membaca. Rakyat Malaysia sudah perlu dididik untuk memilih judul dan jenis bahan bacaan (dalam konteks ini - buku) yang berkualiti, lantas dididik pula untuk membaca secara kritis. Kerana dalam dunia akhir zaman ini, fitnah adalah virus yang menyebabkan manusia itu bernanah menahan sakit.

Mungkin terlalu banyak impian saya sebagai seorang insan yang kerdil untuk mengharapkan sesuatu yang besar berlaku di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat Islam. Tetapi impian-impian saya ini dari pesta buku yang sedang berlangsung ini bukanlah hanya satu impian sebagai seorang biblioholist atau mangsa kapatalisme, sebaliknya amat risau dengan apa yang sedang melanda negara kita dari segi keruntuhan akhlak generasi terkini, dan mungkin jika tidak dibendung - keruntuhan institusi kekeluargaan! Dan jika tahap itu melanda Malaysia, kita mungkin sudah terlambat sepertimana apa yang telah berlaku di US dan UK!

Buku mungkin bukan jawapan yang mutlak kepada penyelesaian epedemik sosial di negara kita, namun ia juga tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa mengambilkira pentingnya buku yang berkualiti dan berilmu dalam usaha penyekatan elemen negatif itu. Ia tetap membantu, malah sepertimana yang sering didengar (dan mungkin tanpa difahami secara mendalam), Iqra' - merupakan usaha pertama untuk menghapuskan elemen jahiliah dalam tamadun manusia!

Pesta buku ini adalah penentunya (dan pasti sekali lagi, ia bukanlah penentu yang mutlak!), namun saya yakin ia adalah penentu yang pasti untuk menjadi benteng pertahanan kepada manusia daripada sesat ke jalan kesesatan dan menjadi pembimbing kepada keimanan. Dengan syarat buku itu berkualiti dan berilmu! Pesta ini perlu juga berkualiti dan berilmu!!

Saturday, March 6, 2010

Kumpulan Membaca di Universiti


Tanggal 5hb Mac yang lepas merupakan satu lagi detik sejarah yang berlangsung di dalam gerakan membaca di Malaysia. Sebuah kumpulan membaca (reading group) telah berjaya dibentuk. Walaupun baru berjumlah 10 orang, namun ia satu petanda yang baik. Konsep reading group ini pernah saya kupas di dalam majalah milenia muslim dua tahun yang lalu. Ia merupakan satu gerakan membaca yang telah mendominasi budaya membaca di UK dan US. Kumpulan membaca yang ditubuhkan di universiti tempat saya mengajar ini pula telah disesuaikan dengan budaya dan iklim Malaysia. Penubuhannya ini akan kemudiannya diharap dapat menjadi pencetus kepada penubuhan kumpulan membaca di merata tempat di Malaysia.