Saturday, October 31, 2009

Sahabat yang sentiasa di hati


Tentunya ramai sudah sedar dan mengetahui bahawa dunia kini sudah diambang maut. Segala apa yang berlaku saban hari, sama ada di berita nasional mahupun di peringkat antarabangsa, kita merupakan antara umat terakhir menduduki bumi ini.

Telah begitu banyak bukti yang menunjukkan bahawa, pada setiap detik, jam, hari dan bulan. Kita sebenarnya menghampiri ruang kubur dan dunia baru.

Peperangan yang telah menjadi satu titik sejarah hitam zaman kuno masih lagi relevan sehingga sekarang, malah mungkin sehingga hari kiamat. Manusia dibunuh saban hari. Sama ada secara kekerasan melalui peperangan, mahupun secara lembut menerusi segala jenis ism buatan manusia.

Manusia semakin hilang akal dan budi. Meratapi berita-berita sedih yang berlaku di hampir serata dunia, dan yang terkini di Palestin memang mencengkam jiwa dan akal budi normal manusia. Namun apa yang boleh kita lakukan di dalam kekalutan dengan ketidakupayaan sendiri?

Mengulit buku terjemahan terbaru Nazel Hashim Mohamad terhadap buku tulisan Dr. Daisaku Ikeda, iaitu Penyair Diraja dan penerima Anugerah Keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang bertajuk Sahabat yang Sentiasa di Hati (yang diterbitkan oleh GAPENA), membawa pembaca ke dunia penuh dialog antara Dr. Ikeda dengan 30 orang rakan dialognya.

Hampir separuh daripada rakan-rakan dialognya ini pernah menjadi mangsa peperangan, dan tak kurang juga menjadi reformis keamanan yang cuba menolak perang dari diari kehidupan manusia.

Dr. Ikeda cuba merungkai sejarah dan rahsia persengketaan dan peperangan. Kesengsaraan yang beliau cuba rasai hasil daripada penceritaan semula rakan-rakan dialognya, yang terdiri daripada para pemimpin dunia dan cendekiawan, yang cuba memperlihatkan betapa sengsaranya manusia yang terhimpit di dalam persengketaan buatan manusia.

Peperangan bukan sahaja memusnahkan harta-benda awam, malah ada juga diantaranya memusnahkan ketamadunan manusia itu sendiri. Universiti-universiti tidak terlepas daripada diranapkan oleh peperangan. Bukannya secara fizikal semata-mata, malah yang lebih tragisnya kepada mental para pendidik dan mahasiswa-mahasiswinya.

Ada di antara rakan dialog Dr. Ikeda, yang pernah menjadi ikon dunia seperti Rosa Parks (pejuang hak awam di Amerika Syarikat), Fidel V. Ramos (mantan Presiden Republik Filipina), Rajiv Gandhi (mantan Perdana Menteri India yang mati dibunuh), dan Nelson Mandela, berkongsi cerita dan wawasan dengan Dr. Ikeda mengenai pentingnya kemakmuran tanpa peperangan dan persengketaan.

Dr. Ikeda amat beruntung kerana dapat menemui pemimpin-pemimpin ini untuk menjadi rakan dialognya, dan menuliskannya kembali di dalam bentuk catatan untuk generasi akan datang membacanya, seterusnya menilai semula tentang perlunya usaha untuk mendamaikan setiap persengketaan antara manusia.

Tentunya ia bukan satu perkara yang mudah. Pada setiap tamadun, tentu ada persengketaan yang membawa kepada peperangan, tetapi pada setiap tamadun jugalah tentu ada manusia yang mendambakan diri mereka untuk mencari penyelesaian dan kedamaian.

Seperti yang ditulis khas oleh Dr. Ikeda di dalam prakatanya untuk buku terjemahan Bahasa Melayu ini:

Kalaulah kata sengsara itu dapat dihapuskan dari dunia ini! Inilah impian guru tercinta saya Encik Josei Toda...itu jugalah impian sana. Tetapi bagaimana dapat kita merealisasikannya? Saya percaya, cara paling meyakinkannya ialah menerusi dialog.

No comments: