Tuesday, February 12, 2008

Kenang-kenangan Abdullah Munsyi

Buku 'Kenang-kenangan Abdullah Munsyi' telah selesai saya baca. Antara buku yang paling cepat saya selesaikan, cuma mengambil masa 4 jam sahaja. Kerana ia begitu menarik, kata orang 'sehingga menjilat jari' dibuatnya.

Tulisan Datuk Zahari ini memang tepat pada masanya. Ia baru sahaja berada di pasaran. Walaupun ia merupakan sebuah buku 'sejarah', yang mengupas tentang Hikayat Abdullah Munsyi, tetapi tulisannya begitu unik. Ia cuba memaparkan kembali hikayat itu tetapi daripada perspektif seorang sejarawan yang mengaitkan peristiwa hikayat itu dengan sejarah yang dikutip daripada sumber-sumber lain.

Datuk Zahari juga menyelidik cara hidup rakyat Melaka pada zaman Abdullah Munsyi. Misalnya, bagaimana impak kedatangan Belanda dan Inggeris kepada masyarakat pada masa tersebut. Yang menariknya juga, Datuk Zahari merungkai beberapa ketidaktepatan tarikh yang ditulis Abdullah Munsyi di dalam hikayatnya itu. Datuk Zahari merujuk kepada beberapa sumber yang lain yang lebih dominan sifatnya di dalam menentukan ketepatan sesuatu tarikh tersebut.

Biarpun begitu, tentunya sebagai seorang ilmuwan pada zaman tersebut, Abdullah Munsyi seharusnya dijadikan rujukan penting di dalam peradaban bangsa. Beliau adalah seorang pemikir yang melangkau abadnya. Misalnya, beliau dengan begitu lantang mengkritik masyarakat zamannya (terutamanya bangsa Melayu) yang begitu kolot fikirannya. Beliau menjadikan Islam sebagai pegangannya sehingga beliau menghembus nafasnya terakhir di Mekah.

Bertitik-tolak dari buku inilah, saya ingin mendapatkan karangan-karangan Abdullah Munsyi seperti Hikayat Abdullah Munsyi, Kisah Pelayaran Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah. Mungkin kita dapat sesuatu yang berharga daripada sejarah silam.

1 comment:

Anonymous said...

Hikayat Munsyi Abdullah ada diterbitkan oleh PTS Publication dan ada naskhah yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan. Buku terbitan PTS telah disunting dan disesuaikan dengan bahasa melayu moden oleh Hamzah Hamdani.