Telah lama tak menonton TV1. Banyak juga maklumat yang disiarkan. Cuma, jika terpasang siaran-siaran lain di ASTRO, memang agak sukar untuk mengubah siaran.
Cuma tadi, terdengar siaran lagu membaca..tak terlihat pula tajuknya, dan siapa penciptanya. Dato' Wah Idris (ketika satu pertemuan dengan beliau tahun lepas) ada menyatakan bahawa sebuah lagu telah tercipta mengenai membaca. Mungkin juga itu lagu ciptaannya.
Peranan media amat penting di dalam proses pendidikan. Malangnya, umum mengetahui peranan media di Malaysia sebaliknya kurang ke arah itu. Tetapi bukan semuanya salah. Saya tidak pernah meragui peranan media di Malaysia di dalam membantu proses pendidikan di Malaysia berkembang. Masih ingat pada awal 80 an dulu, ketika TV masih ada 2 siaran, TVlah juga yang mewarnai proses pendidikan saya. Melalui program TV Pendidikan, banyak yang dipelajari. Tapi itu dulu, ketika ruang udara kita masih kurang di'cemari' proses globalisasi yang melampau.
Kini cabaran terlalu banyak. Sebagai seorang ayah, saya juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran ini untuk memastikan anak-anak saya tidak 'tercemar' dengan 'gelombang-gelombang terpesong' yang disiarkan 24 jam di TV. Tetapi, ada juga siaran yang begitu banyak manfaatnya kepada proses pendidikan anak-anak saya.
Seperti mana yang pernah diungkapkan oleh mantan PM, bahawa teknologi umpama sebuah pisau. Tajam. Dan ada banyak kegunaannya. Salah guna, negatif impaknya, betul gunanya, banyak pula kelebihannya.
Inilah cabaran ibu-bapa di alaf baru ini. Globalisasi ada baiknya, ada juga buruknya....
Jadi, apa hubungannya media dan buku? Seharusnya media dan buku tidak boleh diasingkan. Seharusnya media dipergunakan sepenuhnya (kerana kekuatan yang ia ada), untuk memastikan budaya membaca dapat diterapkan di dalam segenap masyarakat. Pasti ia bukannya satu perkara yang mudah.
Pengalaman ketika berada di luar negara beberapa tahun yang lalu, telah membuka minda saya. Misalnya, menerusi BBC1 (seperti RTM1 kita), tentunya begitu berinformasi. Yang menariknya, rancangan-rancangan TV yang popular itu telah dibukukan. Fungsinya telah dipelbagaikan. Malah program Big Read pada tahun 2003 yang lepas juga merupakan siri TV yang berjaya, yang telah memperlihatkan bahawa media boleh digunakan dengan jayanya untuk memastikan budaya membaca di dalam sesebuah masyarakat dapat digerakkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment