Monday, January 25, 2010

Perginya seorang wirawan negara


Al-Fatihah atas pemergian Tun Ghazali Shafie. Mengikut Utusan Online hari ini, PM mencadangkan supaya seorang penulis dilantik untuk menulis memoir Allahyarham. Menanti ketibaan buku ini di pasaran.

PETALING JAYA 25 Jan. - Kerajaan bercadang melantik seorang penulis bagi menulis memoir bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie kerana beliau terlibat dalam banyak proses pembentukan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peranan allahyarham sangat penting terutama ketika negara menghadapi detik cemas seperti konfrontasi, pemberontakan komunis dan peristiwa hitam 13 Mei 1969. - Utusan

Wednesday, January 13, 2010

Azam 2010 (versi terlewat)


Rupa-rupanya sudah 13 hari tahun 2010 menjenguk masuk. Tidak sempat untuk saya catat peristiwa penting itu. Walaupun internet di hujung jari, namun kesibukan diri dengan perkara-perkara lain tidak memungkinkan saya untuk mencatatkan sesuatu sebagai lambang bermulanya tahun baharu di blog ini. Terasa segalanya berlalu begitu pantas.

Azam tahun ini, pastinya ingin membaca lebih banyak. Azam untuk membaca 100 buah buku di dalam tahun 2010. Dan pastinya buku-buku yang berkualiti dan berilmu. Azam juga untuk melihat amalan membaca akan menjadi satu budaya di kalangan masyarakat Malaysia. Tentunya artikel-artikel saya sudah tidak diperlukan untuk mengupas amalan-budaya membaca ini. Sebaliknya saya akan melakukannya dengan lebih sistematik mengikut adab ilmu yang akan disusuli dengan gerak kerja dan teori yang lebih bersifat akademik.

Juga di tahun ini, ingin saya memiliki sebuah rak buku yang benar-benar menggambarkan tradisi ilmu yang tinggi. Sebuah rak (sebenarnya lebih dari satu rak diperlukan) yang menempatkan buku-buku yang dimiliki, bukannya di sebuah bilik yang digelar perpustakaan, sebaliknya lebih dirakyatkan, untuk diletakkan di kawasan umum di rumah saya.

Saya perlu lebih pantas membaca. Lebih perlu tersusun minda untuk menterjemahkan semua pembacaan itu ke dalam bentuk tulisan - mungkin dalam bentuk sebuah buku. Saya perlu lebih memilih untuk membeli bahan bacaan. Perlu lebih berani untuk menerokai ruang ilmu yang lebih berat.

Umur 35 tahun yang baru beberapa hari diraikan perlu saya raikannya dengan kematangan berfikir. Kematangan bertindak. Dan terpenting, berazam ingin melihat semua lapisan masyarakat di Malaysia dididik dengan ilmu yang lebih tinggi sifatnya.

Moga Allah memberi kekuatan untuk saya merealisasikannya dalam tahun 2010 ini.....