Saturday, December 12, 2009

What the dog saw....buku keempat Gladwell


Ini merupakan buku tulisan Gladwell yang keempat. Saya sudah memiliki keempat-empatnya. Cuma buku yang keempat ini agak berbeza kulitnya daripada yang ketiga-tiga buku Gladwell sebelum ini. Rupa-rupanya ada edisi yang sama dengan buku-buku lain Gladwell, iaitu yang berkulit putih. Saya perlu mendapatkan edisi itu untuk melengkapkan koleksi Gladwell.

Buku keempat ini yang bertajuk What the dog saw (terbit Oktober 2009), merupakan himpunan tulisan beliau di dalam akhbar. Gladwell, yang terkenal dengan ketiga-tiga buah buku yang ditulis bersahaja namun padat dengan ilmu - The Tipping Point, Blink dan Outliers, terus menulis dengan ala bersahajanya. Namun, apa yang isitimewanya dengan tulisan beliau ialah cara beliau melihat sesuatu itu daripada pandangan seorang yang memiliki 'mata mikroskop' dan berjaya menterjemahkan semula pandangannya itu ke dalam bentuk kata-kata yang mudah difahami dan padat dengan ilmu! Kerana itulah saya sentiasa mengikuti perkembangan tulisan beliau.

Friday, December 4, 2009

PEMIKIR Oktober Disember 2009


PEMIKIR Oktober-Disember 2009 sudah habis dibaca. Seperti biasa, jurnal yang diterbitkan Utusan Karya 4 kali setahun yang dilanggan ayah, menjadi bacaan wajib saya dan diletakkan cantik menghiasi rak buku putih.

Yang menarik tentang edisi terkini ini ialah berkisar tentang peranan teknologi maklumat di dalam mewarnai senario politik negara. Walaupun sudah acapkali didengar peranan blog di dalam meruntuhkan tembok pemerintahan negara ke tangan pembangkang, terutamanya kepada 4+1 negeri, PEMIKIR kali ini telah mengupas isu-isu berkaitan dengan pasca pilihanraya 2008 dengan lebih terperinci dan telus. Masing-masing pengkaji yang menulis di PEMIKIR edisi ini bersetuju bahawa media arus perdana harus menilai semula ketelusan berita yang dikupas mereka. Berbanding dengan media alternatif di internet, walaupun banyak juga yang berunsurkan fitnah, tidak kurang pula yang berjaya mengorek 'dosa-dosa' kerajaan. Dan telah menjadi lumrah manusia untuk tertarik kepada sensasi!