Wednesday, August 26, 2009

Menangis membaca

Saya menangis membaca buku ini. Ingin saya mempunyai seorang ketua seperti Prof. Kamil di universiti tempat saya mengajar. Ingin saya didakwah dari hati yang murni dan jujur seperti Prof Kamil yang memimpin anak bangsa di UiTM Kampus Johor. Ingin saya dekati beliau dan bersama beliau untuk didakwah dan mendakwah, supaya ingatan kepada Allah dan RasulNya tidak pudar. Ingin saya kekalkan momentum itu seperti momentum Prof. Kamil usai haji beliau. Dan tidak keterlaluan untuk saya katakan buku ini adalah lembaran baru dalam persuratan Melayu, sama tarafnya dengan tulisan-tulisan Hamka dan para ulama terdahulu. Ingin saya war-warkan kepada semua sahabat, untuk memiliki buku ini dan mengkhatamnya..dan paling penting; seperti saranan Prof. Kamil: membaca Al-Quran dengan terjemahannya sekali, solat lima waktu berjemaah dan paling penting beristiqamah; kerana inilah dakwah yang terpenting: dakwah kepada diri sendiri! Terima kasih Prof kerana mengguris hati dan perasaan saya!

Buku terbaru ayah





Tahun ini, dua buku tulisan ayah diulang-cetak oleh DBP:
1. Murni: Cetakan ketujuh
2. Mizan: Cetakan kedua

Manakala tulisan terbaru ayah diantologikan bersama menerusi dua buah buku yang diterbitkan oleh UPENA:
1. Harga Sebuah Amanah: menerusi cerpen bertajuk Lelaki Tua di Dataran Marmar Masjidil Haram
2. Belum Terlewat: menerusi cerpen bertajuk Gerha Nihilis

Tuesday, August 25, 2009

Pak Nahmar Jamil


Kepulangan saya ke kampung perlu disertai dengan beg kamera. Perlu pulang dengan kamera, gesa ayah. Sebab utamanya, Pak Nahmar Jamil akan bertandang ke rumah, untuk bergambar dengan ayah.

Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok


Ketika bersarapan pagi (tentunya sebelum puasa dulu), seorang sahabat menceritakan bagaimana Prof Kamil yang gemar bermain golf, terpaksa berhadapan dengan budaya 'berjudi' di padang golf, menarik perhatian saya. Kebetulan pula, ada seorang lagi sahabat yang baru pulang dari Mekah, menceritakan dengan bangganya bagaimana beliau mengalahkan kawan-kawan golfnya, dan memaksa kawan-kawannya itu pula membayar sejumlah wang sebagai habuan. Katanya itu niat sedekah. Sama seperti yang Prof. Kamil tulis dalam Travelog Dakwah, sebuah buku yang dikira sebagai post-Haji, keseinambungan kehidupan beliau selepas bergelar Haji, yang ditulis beliau menerusi Travelog Haji.

Travelog Dakwah (TD) dibeli semalam. Di sebuah kedai buku yang comel di Kangar. Terus dipegang dan dibaca. Saya mencuba kaedah lain apabila membaca TD ini. Baca macam tikus. Korek sana dan korek sini. Disebabkan ada antara bab-babnya itu tidak berkaitan, menjadikan bacaan tikus ini menyeronokkan. Namun, ada juga masanya saya terpaksa menyelak kembali bab yang terkemudian kerana rupa-rupanya ada cerita yang menjadi sebab mengapa bab seterusnya ditulis.

TD ini memang 'wajib baca' pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Menjadikan seseorang itu lebih bersemangat untuk beribadah dan mengekalkan momentum. Seperti yang Prof. Kamil nyatakan, beliau seperti manusia biasa lain tidak terlepas daripada sifat malas. TD ini ditulis bersahaja, dan bukannya untuk mengajar tetapi lebih kepada mendidik.

JOM BACA!

Thursday, August 13, 2009

Mengenang Rendra-Suarasuara Generasi Baru @ RA Fine Arts

Jemputan dari RA Fine Art Gallery; Sabtu 15-08-09 3-5 petang. Antara yang akan membuat persembahan: a l meor, azwan, khairusy syakirin, mali, fyn jamal, abdullah jones, rozan rahimidin, taj, binjidan, pyanhabib, raja ahmad dan yusni.

Semua dijemput hadir.
No. 6, Jalan Aman Off Jalan Tun Razak,
Kuala Lumpur

Al-Fatihah

Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali.....

Al-Fatihah kepada 2 negarawan kita yang telah dipanggil kembali; Allahyarham Dharmala NS dan Ustaz Asri (Rabbani)....

Thursday, August 6, 2009

Universiti yang membaca

Sejak kembali ke universiti lama saya, sudah banyak benda yang berubah. Tentunya ke arah kebaikan. Lebih-lebih lagi di dalam pembudayaan ilmu yang nampaknya lebih meriah. Apatah lagi dengan minat mendalam Naib Canselornya - Prof. Zaini Ujang. Kalau dilihat dari perspektif budaya membaca, Prof Zaini yang juga pernah terkenal dengan kolumnya di akhbar satu masa dahulu, UTM mula ke hadapan, walaupun mungkin tidak diiktiraf di luar pagar kampusnya, namun perubahan kepada budaya membaca nampaknya diambil serius oleh pentadbiran. Ini antara contoh kepada usaha-usaha itu:

Tuesday, August 4, 2009

Sampah


Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya kurang membaca buku, sebaliknya membaca berpuluh-puluh kertas seminar, kertas putih (white paper) dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan bidang kajian saya - mengenai sampah. Memang terasa rindu untuk membaca buku-buku bukan akademik, atau lebih tepat lagi buku biografi. 4 buah buku yang masih dibaca dan terhenti seketika di rak. Tidak mampu untuk mengulitinya. Sabarlah wahai sahabat-sahabatku...ada masa dan ruang pasti akan habis kukerjakan.....hahaa