Segalanya begitu pantas berlaku. Bangun pagi tadi, semuanya sudah selesai semalam. Apa yang tinggal hanyalah satu kenangan. Mungkin siang dan malam masih lagi sama, yang berbeza hanyalah detik-detik yang telah dilalui.
Mak Long yang saya sayangi (yang menjaga saya semasa kecil) sudah tiada. Pada malam Sabtu yang lepas, ulser di perutnya pecah. Lantas keluarga membawa ke hospital, dan jam 12 tengah malam - 4 pagi dilakukan pembedahan. Saya diberitahu kakak, lantas jam 5:30 pagi terus bertolak ke Kangar dari Kuala Lumpur.
Setibanya di hospital Kangar, saya lihat Mak (panggilan saya kepada arwah) sudah koma. Hanya dibantu oleh mesin bantu pernafasan. Saya dan keluarga bergilir-gilir menjaga Mak yang terlantar di ICU. Oleh kerana usianya sudah 78 tahun, walaupun pembedahan berjaya, namun kata doktor, faktor jantung dan tekanan darahnya menyebabkannya lemah.
Saya hanya mampu melihat pada skrin gelombang-gelombang - jantung, nadi, tekanan darah. Setelah tiga hari Kangar panas dan kering, akhirnya semalam, di waktu pagi ketika semua manusia sibuk ke lokasi masing-masing, saya lihat nadi dan jantung Mak semakin lemah. Kami sekeluarga membaca Yassin, supaya dipermudahkan perjalanan keluarnya. Alhamdulillah, saya melihat dengan tenang pada skrin semua gelombang tadi menjadi satu garisan lurus. Mak sudah tiada.
Kini semuanya hanyalah kenangan....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam,
Takziah dari Aliff buat tuan sekeluarga.
Kehidupan ini satu pusingan yang sudah ditentukan.
Post a Comment