
Steve Irwin, pengacara Crocodile Hunter yang terkenal, meninggal bukan kerana buayanya, sebaliknya ditikam ikan pari.
Apabila bertemu dengan buku, Steve and Me, tulisan isterinya, Terri Irwin, saya terus terfikir: begitu kuat semangat isterinya ini untuk mengimbau kembali kenangan bersama Steve lantas menulis sebuah buku setebal 263, sarat dengan kenangan manis.
Pada Oktober 1991, Terri, gadis dari Oregon, USA bertemu dengan Steve di zoo milik keluarga Steve di Australia. Pertemuan pertama ini telah membawa mereka berdua ke alam perkahwinan setelah 10 bulan berkenalan.
Terri mengisahkan tentang kehebatan Steve, sebagai seorang heronya dan juga hero kepada alam haiwan, terutamanya binatang kesayangan Steve - buaya. Terri menggambarkan Steve sebagai seorang insan yang begitu istimewa, bukan sahaja sebagai seorang suami, tetapi sebagai seorang insan yang mempunyai visi.
Steve sentiasa berada di Terri untuk memastikan Terri sentiasa merasai dijagai. Apabila mereka dikurniakan anak, Bindi dan kemudiannya Robert, segala kenangan Steve bersama anak-anaknya ini sentiasa dikenang Terri sebagai saat-saat termanis antara ayah dan anak. Walaupun Steve hebat di dunia liar haiwannya, tetapi kasih-sayangnya terhadap isteri dan anak begitu lembut. Sekiranya sebelum ini Terri sentiasa mengharapkan kekuatan Steve untuk menjaga keselamatannya, sebaliknya apabila Terri mendapat berita tentang kematian suaminya itu jauh dari pandangan, kekuatan diri diperlukan.
Saya begitu terkesan apabila membaca buku ini. Sukar untuk diceritakan semula, kerana ia mengusik perasaan. Apa yang boleh disimpulkan, kematian tetap akan muncul kepada setiap anak Adam, maka setiap saat kehidupan ini perlulah dihargai. Kasih-sayang perlu sentiasa wujud di dalam sesebuah keluarga. Dan apabila sudah tiada, tentunya kenangan itu yang sentiasa mekar sehingga akhir hayat.
Sepertimana kata-kata terakhir Terri di dalam bukunya ini: God bless you, Stevo. I love you mate.