Wednesday, July 16, 2008

Mari belajar sejarah (yang tepat)

Semalam, debat, adalah kelas sejarah. Sejarah begitu penting di dalam peradaban manusia. Kerana itulah akhbar penting di dalam sesebuah masyarakat. Sama ada sejarah itu betul atau tidak, ia perlu dilihat dari perspektif masing-masing. Sekiranya ia menguntungkan, maka sejarah itu akan sentiasa di bibir, sebaliknya jika ia merugikan pastinya akan terus dilupakan. Sepertimana Jepun mengharamkan sejarah perang dunia kedua langsung tidak diajar di sekolah-sekolah mereka, kerana kekejaman Jepun terhadap jiran-jiran Asianya.

Saya terbaca satu kisah dialog antara Wang Gungwu, seorang sejarawan tersohor antarabangsa, menerusi buku Pertemuan Yang Indah (tulisan Daisaku Ikeda) dengan Daisaku Ikeda, menurutnya:

Mengingatkan semula sejarah ini (peperangan antara Jepun dan China), ramai yang menderita di tangan askar Jepun sewaktu pendudukan mendapati sukar untuk dimaafkan, sungguhpun sudah setengah abad peristiwa itu berlaku. Pun, pihak berkuasa Jepun tidak bersedia untuk menghulurkan permintaan maaf yang ikhlas, atau untuk membaiki kesalahan-kesalahan masa lalu itu. Mereka juga mempunyai tanggapan yang kuat yang Jepun tidak mengajarkan sejarah yang sebenar mengenai zaman itu kepada generasi mudanya, sebaliknya memilih untuk menyembunyikan peristiwa-peristiwa masa lampau yang tidak menyenangkan itu.

Dengan peristiwa-peristiwa ini dalam fikiran, saya mengemukakan kepada Dr. Wang, "Mungkin bahayanya terlalu banyak untuk kita meletakkan masa hadapan dunia ini di tangan ahli politik. Manusia harus mendidik diri mereka sendiri dan mengambil kuasa di tangan mereka sendiri. Apabila penduduk sesebuah negara berkomunikasi dengan negara-negara lain, apabila mereka berpegang tangan untuk bekerja sama, mereka mewujudkan suatu dorongan yang kuat ke arah keamanan. Manusia boleh mengarahkan sejarah, supaya sekumpulan kecil pemimpin yang rasuah tidak dapat mengenepikan dorongan itu".

Beliau (Dr. Wang) memerhatikan bahawa pemimpin sebenar menawarkan visi kepada rakyat, dan ini hanya boleh dilakukan jika mereka menumpukan pandangan mereka kepada sejarah. Itulah sebabnya yang sebenar para sejarawan agung bersusah payah untuk menuliskan sejarah yang tepat supaya sejarah itu dapat digunakan untuk memberi inspirasi kepada para pemimpin besar.

Namun, apabila ditonton debat malam tadi, sejauh manakah sejarah yang cuba diutarakan oleh pak menteri itu tepat. Dan sekiranya sejarah menjadi sandaran, adakah bijak untuk menjawab segala perdebatan yang berdasar fakta ekonomi (pada masa sekarang) dengan sejarah seseorang individu? Inilah yang dikatakan oleh Dr. Wang sejarah yang tepat. Ketepatan itu perlulah berdasarkan kepada fakta dan bukannya emosi.

Ya, memang benar sejarah penting. Ya, memang benar manusia perlu kehadapan dengan menoleh sejenak ke belakang untuk menikmati sejarah. Tetapi alangkah malangnya sekira sejarah yang cuba disandarkan dijadikan isu politik (kotor), yang padahal sejarah individu seseorang itu tidak dilihat pada ketepatan faktanya.

Ya, memang manusia sentiasa berubah. Seseorang akan sentiasa berubah, sama ada sifat atau fikirannya. Namun, perubahan itu ada sebabnya. Maka, untuk mengkaji sesebuah sejarah yang tepat, perubahan juga perlu diambilkira. Sekiranya seseorang membuat keputusan 20 tahun yang lalu, tidak semestinya beliau mampu mempertahankan tindakannya setelah 20 tahun berlalu. Mungkin kerana perubahan yang telah berlaku. Setiap sesuatu yang dijadikan Allah ada sebab dan musababnya.

Sekiranya mahu juga didebatkan tentang sejarah (seseorang) itu, maka debat malam tadi bukanlah landasan yang betul, kerana jelas ia akan memperlihatkan seseorang yang menjadikan sejarah individu itu sebagai fakta debatnya, maka 'bodoh'lah perkataan yang paling tepat diberikan.

5 comments:

fusarium solani said...

Menteri itu hanya berjaya merendahkan maruah kerajaan barisan nasional sendiri...

m.q said...

sedih yg kesal melihat pak menteri..

Khairusy Syakirin Has-Yun said...

fusarium: itu yang genting.

masni: sedih melihat senario masyarakat malaysia juga.

Anonymous said...

Seingat saya sepertiga daripada AL-Quran ialah berunsurkan cerita-cerita sejarah. Jadi maknanya apabila kita membenci sejarah kita seolah-olah meminggirkan AL-Quran dalam hidup. jadi hayati dan pelajari sejarah dengan sepenuh jiwa :)

Khairusy Syakirin Has-Yun said...

memang benar. Sejarah memang penting. Penting juga untuk mempelajari sejarah yang benar.