Thursday, March 27, 2008

Kata Suara 3

Pada 15.03.08 yang lalu, saya memenuhi jemputan saudara Raja Ahmad ke galerinya (RA Fine Arts) di Jalan Aman, KL. Ini adalah kali ketiga saya berlegar-legar di dalam sebuah galeri seni lukisan. Kali pertama di Dundee, dan kedua di Glasgow. Tetapi RA Fine Arts begitu istimewa kerana ia adalah kali pertama saya memandang, menghayati lukisan-lukisan tempatan, dan juga bersama-sama beramah-mesra dengan para artis tempatan. Sesungguhnya saya ini 'buta seni'.

Lebih istimewa kerana bertemu dengan rakan-rakan blogger yang lain, antaranya jiwarasa, pak adib, ariff, dan beberapa nama lagi. Malah, pada kesempatan ini juga bertemu dengan Prof. Dr. Zakaria Ali, Prof. Siti Zainon, U-wei, dan ramai lagi selebriti seni.

Sempat juga membeli sebuah novel sulung karya Firdaus Ariff (Sayap Arinila), yang merupakan satu karya sains fiksyen. Semasa umur remaja zaman persekolahan dulu, karya sains fiksyen merupakan antara novel kegemaran saya. Penulis-penulis tempatan seperti Ahmad Patria Abdullah antara novelis pujaan saya. Cuba-cuba juga menulis novel sains fiksyen, tetapi rupa-rupanya bukannya mudah. Perlukan lebih banyak membaca dan berimiginasi. Tahniah Firdaus kerana berjaya memecah tembok kebuntuan itu!

Pak Adib merupakan antara blogger kegemaran saya. Kegilaan beliau terhadap membaca dan menulis sememangnya begitu menakjubkan. Pada usianya sebegitu, pengetahuan teknologi beliau amat mengagumkan.

Jiwarasa, yang pernah bertemu semasa zaman kanak-kanak dahulu, tidak asing bagi saya. Keakraban kami sudah seperti saudara. Cuma masa dan faktor geografi yang memisahkan jasad kami berdua.

Terima kasih sekali lagi kepada Raja Ahmad yang begitu komited menghantar pesanan demi pesanan untuk bersama-sama program Kata Suara 3 ini. Insya Allah, pada kesempatan yang lain, tentunya saya akan ke sana lagi untuk siri Kata Suara yang lain.

PS: jemput ke album foto saya

Monday, March 24, 2008

Artikel di Utusan Malaysia

Lama benar rasanya tidak menulis artikel untuk Utusan Malaysia. Alhamdulillah, hari ini terbit sebuah artikel saya bertajuk Menguruskan Alam Sekitar Menerusi Pembacaan di Utusan Malaysia.

Sunday, March 23, 2008

Rezeki buku

Jumaat lepas saya melawat-lawat sekitar 'pesta buku' kecil-kecilan yang berlangsung di fakulti saya sempena KAED's OPEN DAYS. Terpegang sebuah buku bertajuk Autonomous Maintenance in Seven Steps. Apabila membaca tajuk buku ini, terlintas di hati....wah! tajuknya begitu mengiurkan minda saya..apatah lagi apabila membaca perkataan 'maintenance' itu. Lantas ditanya, berapa harganya? Si penjual mengira-ngira seketika, "US50.00", katanya.

"Kalau ditukar ke RM?" soal saya pula.

"Kira-kira RM150.00".

Terkedu seketika, almaklumlah di hujung bulan. Terus diletakkan semula di raknya. Apabila melihat terkeduan saya itu, lantas si penjual berkata, "Minat buku tu?". Saya mengangguk. Lantas, diambilnya buku itu dan memberikannya percuma kepada saya. Syukur, inilah dikatakan rezeki. Semoga rezeki bertambah kepada penjualnya. Amin.

Wednesday, March 12, 2008

Buku dan Politik

Rakyat Malaysia telah membuat keputusan mereka di dalam Pilihanraya ke-12, Sabtu yang lalu. Dan saya sebagai rakyat Malaysia juga turut melaksanakan tanggungjawab itu di kampung saya di Perlis.

Pilihanraya kali ini, seperti umum mengetahui memang menarik untuk dibicarakan. Sama ada di kedai-kedai kopi, mahupun di pejabat. Tentunya, rakyat semakin berani untuk memperkatakan sesuatu dari hati mereka, kerana keputusan yang telah dibuat menerusi pilihanraya itu sememangnya merupakan keputusan dari hati mereka sendiri.

Cuma, seharusnya perbincangan demi perbincangan itu perlulah diasaskan kepada ilmu dan ia boleh didapati daripada pembacaan. Sama ada tepat atau tidak, laporan-laporan daripada media massa utama seperti akhbar-akhbar bercetak mahupun dari media alternatif menerusi internet merupakan sumber yang paling popular masa kini. Misalnya, Malaysiakini sahaja telah diakses lebih daripada 500,000 kali, sehingga pada malam pengiraan undi 8hb mac yang lalu
tidak dapat diakses menerusi laluan biasa.

Begitu juga dengan laman-laman lain seperti harakahdaily, utusan malaysia dan berita harian, yang menjadikan internet sebagai laluan alternatif kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan berita terkini mengenai peratusan undi yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia pada paginya itu. Menonton TV sejak awal 7 malam sehingga 4 pagi, sememangnya meresahkan saya. Tidak sabar dengan penantian keputusan yang kadang-kala begitu lambat sekali untuk dimaklumkan. Sebaliknya, apabila melayari internet, keputusannya telah pun menjadi satu titik sejarah.

Pada ketika inilah, membaca perlu lebih kritikal. Adakalanya berita yang disajikan itu memihak kepada satu pihak sahaja, sehinggakan ia terlihat seolah-olah ia dirancang untuk tidak diperlihatkan kebenaran di sebaliknya.

Seharusnya, sejarah yang telah berlaku pada 8 mac ini perlu dibukukan secepat yang mungkin. Sama ada kepada BA atau BN, ia merupakan sejarah pada definisi masing-masing, dan pada bukulah ia perlu diletakkan.

Keputusan masyarakat Malaysia itu adalah muktamad. Dan ia adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia untuk dibaca kemudiannya oleh generasi akan datang.

Tuesday, February 26, 2008

2008: Jadikan tahun ini tahun gaul buku

Di portal terbaru bukuonline (http://www.bukuonline.uni.cc), kami ingin menjadikan tahun 2008 sebagai tahun gaul buku.

Ada beberapa kaedah, sama ada secara paksaan atau secara sukarela. Namun bagi kami di bukuonline percaya kedua-dua kaedah perlu digunakan untuk memastikan masyarakat membaca. Secara paksaan bermakna ia perlu dijadikan sebagai polisi hidup. Polisi yang dibentuk itu perlulah mampu mendasari beberapa dasar utama kerajaan di dalam memastikan ekonomi negara tetap kukuh. Manakala kaedah secara sukarela ialah kaedah yang lahir dari hati. Jujur membaca kerana suruhan agama untuk mencari ilmu kerana Allah.

2008 tahun gaul buku bukanlah sekadar satu retorik. Biarpun ia adalah satu kata-kata berbentuk retorik, tetapi ia akan mampu menjadi satu pemacu utama kepada perubahan sekiranya ia mempunyai jisim yang cukup mantap untuk kemudiannya direalisasikan.

Semestinya satu perancangan lebih terperinci perlu dihasilkan. Insya Allah untuk itu, bukuonline akan menganjurkan Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3 pada 23 April 2008 (Rabu) yang akan datang. Nantikan kemunculannya.

Saturday, February 16, 2008

Pertemuan bukuonline

Telah lama tak bertemu dengan sahabat-sahabat di Bukuonline. Oh ya, alamat bukuonline telah bertukar ke http://bukuonline.uni.cc/

Kali ini, pertemuan diadakan di Starbuck Tun Hussien Onn. Dihadiri oleh Shaharom TM Sulaiman, Dr. Abu Hassan Hasbullah, Ali Dina dan saya. Membincangkan 2 aktiviti utama yang akan dilaksanakan pada April 2008 ini.

1. Forum Malaysia Membaca, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia adalah sebagai menyahut jemputan Jawatankuasa Pesta Buku Antarabangsa, untuk bukuonline mengisi ruang aktiviti sempena pesta buku.

2. Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3, sempena hari buku sedunia. Ia adalah sebahagian daripada siri seminar pencinta buku yang telah menjadi aktiviti tahunan bukuonline. Cuma kali ini fokus bicaranya akan lebih tertumpu kepada pembuat dasar dan polisi, namun begitu ia masih terbuka kepada semua yang berminat dan prihatin kepada permasalahan umat yang masih sedikit membaca.

Insya Allah, segala maklumat terkini akan dimaklumkan menerusi blog ini juga di laman utama bukuonline.

Tuesday, February 12, 2008

Kenang-kenangan Abdullah Munsyi

Buku 'Kenang-kenangan Abdullah Munsyi' telah selesai saya baca. Antara buku yang paling cepat saya selesaikan, cuma mengambil masa 4 jam sahaja. Kerana ia begitu menarik, kata orang 'sehingga menjilat jari' dibuatnya.

Tulisan Datuk Zahari ini memang tepat pada masanya. Ia baru sahaja berada di pasaran. Walaupun ia merupakan sebuah buku 'sejarah', yang mengupas tentang Hikayat Abdullah Munsyi, tetapi tulisannya begitu unik. Ia cuba memaparkan kembali hikayat itu tetapi daripada perspektif seorang sejarawan yang mengaitkan peristiwa hikayat itu dengan sejarah yang dikutip daripada sumber-sumber lain.

Datuk Zahari juga menyelidik cara hidup rakyat Melaka pada zaman Abdullah Munsyi. Misalnya, bagaimana impak kedatangan Belanda dan Inggeris kepada masyarakat pada masa tersebut. Yang menariknya juga, Datuk Zahari merungkai beberapa ketidaktepatan tarikh yang ditulis Abdullah Munsyi di dalam hikayatnya itu. Datuk Zahari merujuk kepada beberapa sumber yang lain yang lebih dominan sifatnya di dalam menentukan ketepatan sesuatu tarikh tersebut.

Biarpun begitu, tentunya sebagai seorang ilmuwan pada zaman tersebut, Abdullah Munsyi seharusnya dijadikan rujukan penting di dalam peradaban bangsa. Beliau adalah seorang pemikir yang melangkau abadnya. Misalnya, beliau dengan begitu lantang mengkritik masyarakat zamannya (terutamanya bangsa Melayu) yang begitu kolot fikirannya. Beliau menjadikan Islam sebagai pegangannya sehingga beliau menghembus nafasnya terakhir di Mekah.

Bertitik-tolak dari buku inilah, saya ingin mendapatkan karangan-karangan Abdullah Munsyi seperti Hikayat Abdullah Munsyi, Kisah Pelayaran Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah. Mungkin kita dapat sesuatu yang berharga daripada sejarah silam.

Tuesday, January 29, 2008

One Red Paperclip

Sistem barter adalah antara sistem perniagaan yang paling lama wujud di muka bumi ini. Sepertimana yang pernah dipelajari dulu-dulu pada zaman sekolah menengah rendah, barter adalah sistem pertukaran barang. Ia kemudiannya diganti dengan penggunaan wang. Itu yang saya pelajari dahulu.

Tetapi, apabila membaca buku yang bertajuk One Red Paperclip, sistem barter diperkenalkan menerusi jalan cerita yang menarik sekali. Ia adalah sebuah buku berbentuk biografi. Ditulis oleh Kyle MacDonald, yang menginginkan sebuah rumah. Tetapi beliau ingin mendapatkannya dengan membuat pertukaran klip kertas berwarna merah miliknya dengan barangan lain milik sesiapa yang berminat.

Pertukaran pertama beliau adalah melibatkan klip kertas berwarna merah milik beliau dengan sebatang pen berbentuk ikan milik individu lain yang ditemuinya menerusi internet. Seterusnya, beliau membuat pertukaran kedua, pen yang baru dimilikinya itu dengan tombol pintu berbentuk orang senyum, dan seterusnya...

Syaratnya, barangan tersebut mestilah lebih besar dan besar. Sehinggalah beliau mendapatkan apa yang diidamkannya.

Oleh kerana buku ini saya kongsi baca dengan isteri saya, maka berebut-rebut kami dibuatnya. Cuma beliau kehadapan daripada saya yang masih merangkak-rangkak pada bab-bab awal. Kadang-kala beliau ingin menceritakan semula apa yang dibacanya, tetapi terus saya cantas....nanti hilang mood membaca!

Friday, January 25, 2008

Majalah oh majalah siri ke-2

Entah mengapa sejak beberapa minggu ini saya begitu sensitif dengan majalah. Saya sering ke kedai-kedai majalah di sekitar tempat tinggal saya, kalau dulunya ada sebuah kedai majalah di sebuah restoran melayu banyak menjual majalah pelbagai tajuk, kini hanya tinggal beberapa majalah yang kelihatan berhabuk. Apabila ke Kuala Lumpur baru-baru ini pula menaiki LRT untuk 3 hari berturut-turut, sempat juga meninjau kedai-kedai majalah di terminal-terminal LRT, lagilah mendukacitakan saya. Kerana kebanyakan majalah yang dijual adalah berunsurkan hiburan dan fesyen. Agaknya inilah yang dikehendaki oleh masyarakat, lantas itulah yang dijual. Semakin kurang nampaknya majalah yang berunsurkan ilmu. Kalau adapun, bukannya di tempat-tempat yang bertamadun. Untuk itu, saya ada menghantar 2 artikel berturut-turut ke Utusan Malaysia untuk menyatakan sesuatu dari hati saya mengenai majalah dan kepentingannya di dalam masyarakat yang membaca.

Tuesday, January 22, 2008

Ketinggalan

Tak tahu pun pada 11 Januari yang lepas (kebetulan pada hari jadi saya), sebuah artikel saya yang bertajuk Berbangga dengan Jati Diri Sendiri terbit di Utusan Malaysia. Terjumpa di laman web http://warkah.net/content/view/29/1/. Sesiapa yang ada menyimpan akhbar bertarikh 11 Januari 2008, saya mohon untuk mendapatkan satu salinan. Kalau mahu jual pun saya sanggup beli, untuk simpanan saya.

Friday, January 11, 2008

Buku baru tiba, majalah pun baru tiba


Setelah hampa seminggu dua ini dengan ketiadaan majalah kegemaran di pasaran (Digital Camera Magazine yang baru tiba di kedai pada 10-01 yang lepas, juga Dewan Kosmik yang baru muncul dari timbunan majalah), terasa terubat sikit hati ini. Digital Camera Magazine bukan sahaja dicari saya di Kuala Lumpur, malah sampai Langkawi dan Pulau Pinang. Rupa-rupanya majalah ini memang ada masalah setiap bulan untuk tiba di kedai tepat pada masanya.

Juga menerima sebuah buku yang telah dipesan dari Amazon: Environmental Management at Airports. Buku ini penting kerana saya dilantik sebagai salah-seorang daripada jururunding kepada Malaysia Airport Berhad. Juga sebagai persediaan kepada PhD saya yang juga berkaitan dengan lapangan terbang.

Buku ini sebenarnya merupakan koleksi tulisan beberapa orang yang mengkaji mengenai aspek-aspek alam sekitar di lapangan terbang. Salah-satunya mengenai pengurusan sampah, yang merupakan bidang utama saya sekarang ini. Ia mungkin agak teknikal tetapi kepada sesiapa yang berminat dengan pengajian alam sekitar terutamanya di lapangan terbang, buku ini adalah antara yang paling sesuai.

Sunday, January 6, 2008

Hampa lagi

Pulang dari kedai majalah pagi tadi dengan hampa. Setiap hari ke kedai-kedai jual majalah di sekitar kawasan perumahan. Sama ada majalahnya yang dicari tidak ada, mahupun hampa melihat kuantiti majalahnya semakin berkurangan. Yang kelihatan kebanyakkannya majalah berunsur hiburan dan komik.

Majalah bagi saya adalah permulaan kepada budaya membaca. Kerana itulah ia amat penting di dalam sesebuah masyarakat. Ia ditulis padat kerana ruangannya yang terhad, tetapi bagi sesebuah majalah yang hebat, penulisan padat itu seharusnya mampu mengghairahkan pembacanya untuk mencari buku-buku asal yang lebih berat.

Sayangnya masyarakat kita diracuni dengan hiburan dan cerita-cerita sensasi yang ingin dicari dan dibaca. Malangnya pula majalah-majalah sebeginilah yang cepat pula berada di rak-rak kedai. Melihat pula trend majalah-majalah bukan berbahasa Melayu juga cepat berada di pasaran.

Mungkin salah-satu caranya ialah saya perlu terus melanggan daripada penerbit. Namun saya juga ada alasan tersendiri untuk tidak melanggan - mungkin tidak untuk masa ini.

Esok perlu lagi mencari......

Thursday, January 3, 2008

Majalah oh majalah

Sejak beberapa hari ini, saya berulang-alik ke beberapa buah kedai yang menjual majalah. Mencari-cari majalah-majalah kegemaran keluaran Januari 2008. Dan setiap kali pulang, hampa. Kata si penjual, disebabkan cuti yang panjang...cuti raya, krismas, tahun baru...kebanyakkan majalah belum sampai ke kedai. Saya masih ternanti majalah Dewan Kosmik (untuk membaca tulisan saudara Faizal) dan Digital Camera Magazine (sebagai sumber makanan kepada hobi terbaru saya).

Tuesday, January 1, 2008

Salam 2008, Selamat Tinggal 2007

2007 telah pun dilalui. Memang terlalu banyak kenangan, pengalaman dan segala-galanya di tahun 2007 yang lalu.

2007 juga adalah tahun produktif saya menghasilkan artikel, terutamanya di Utusan Malaysia. Banyak kenangan pahit dan manis.

2007 juga adalah tahun produktif saya menumpukan perhatian kepada kerjaya saya sebagai seorang pensyarah, perunding dan penyelidik. Terdapat 2 projek besar yang sedang saya usahakan (Malaysia Airport Master Plan for 50 years, Waste Management for Hospital Shah Alam).

2007 juga adalah tahun untuk saya menambahkan satu lagi hobi: fotografi. Telah saya beli sebuah kamera Digital SLR - Canon 350D dengan wang daripada projek perundingan saya yang selesai awal tahun 2007 yang lalu.

Buku - semestinya semakin bertambah 2007 ini. Koleksi-koleksi itu telah saya pindahkan daripada rumah sewa saya di Gombak ke bilik saya di universiti. Semoga kekal di sana.

2008: tentunya perlu banyak lagi yang perlu saya usahakan. Antaranya untuk sambung pengajian saya ke peringkat PhD. Lebih banyak artikel perlu saya tulis, dan lebih kepelbagaiannya. Buku juga perlu ditulis. Juga perlu lebih banyak membaca.

Inilah sebahagian daripada impian saya untuk tahun 2008. Insya Allah