Showing posts with label Gelombang Membaca. Show all posts
Showing posts with label Gelombang Membaca. Show all posts

Thursday, April 15, 2010

Bahang 23hb

23hb adalah sambutan Hari Buku Sedunia dan Hakcipta. Setakat ini, apa yang saya dimaklumkan sudah terdapat 2 program yang akan diadakan pada hari tersebut di dua buah institusi: Perpustakaan Kuala Lumpur dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pujian kepada kedua-dua institusi ini kerana berusaha dalam menggerakkan gerakan membaca dengan lebih proaktif. Kedua-dua program ini akan membicarakan perihal buku dan gerakan membaca.

Tetapi malangnya, apabila saya cuba 'google' perkataan Hari Buku Sedunia 2010, tidak banyak maklumat mengenainya di Malaysia. Berbeza dengan Indonesia. Buku dan gerakan membaca sudah menjadi bualan ramai, terutamanya bloggers. Gerakan mereka lebih merakyat dan juga telah diinstitusikan.

Mungkin perlu lebih usaha untuk memartabatkan budaya membaca di Malaysia!

Saturday, March 6, 2010

Kumpulan Membaca di Universiti


Tanggal 5hb Mac yang lepas merupakan satu lagi detik sejarah yang berlangsung di dalam gerakan membaca di Malaysia. Sebuah kumpulan membaca (reading group) telah berjaya dibentuk. Walaupun baru berjumlah 10 orang, namun ia satu petanda yang baik. Konsep reading group ini pernah saya kupas di dalam majalah milenia muslim dua tahun yang lalu. Ia merupakan satu gerakan membaca yang telah mendominasi budaya membaca di UK dan US. Kumpulan membaca yang ditubuhkan di universiti tempat saya mengajar ini pula telah disesuaikan dengan budaya dan iklim Malaysia. Penubuhannya ini akan kemudiannya diharap dapat menjadi pencetus kepada penubuhan kumpulan membaca di merata tempat di Malaysia.

Friday, June 27, 2008

Belanja RM50.00

Mengikut laporan dari akhbar-akhbar semalam, Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Dato' Shafie Apdal menyatakan rakyat Malaysia membelanjakan wang dalam purata satu bilion ringgit untuk membeli buku dan purata sebuah keluarga berbelanja adalah sebanyak RM50 setahun untuk tujuan tersebut. (Harakahdaily.net).

Sekiranya RM50 setahun dibelanja setahun, kira-kiranya RM4.17 sahaja dibelanjakan sebulan. Pada kiraan saya, tidak ada buku yang berharga RM4.17 yang boleh dibeli setiap bulan. Maka, RM50 itu mungkin dibelanja untuk majalah, atau hanya sebuah atau dua buah buku sahaja yang dibeli untuk setahun. Ini hanyalah pengiraan purata sahaja. Namun begitu, ia memperlihatkan trend pembacaan masyarakat Malaysia yang masih rendah, yang lebih mementingkan barangan lain. Cuma, saya ingin melihat (atau membuat kajian) perbandingan antara perbelanjaan isi rumah (terutamanya barangan keperluan), barangan kehendak dan juga perbelanjaan untuk buku atau bahan bacaan lain.

Mungkin dari kajian ini nanti, kita akan dapat lihat secara lebih terperinci tentang trend perbelanjaan masyarakat Malaysia, sekaligus mencadangkan langkah-langkah untuk pemantapan budaya membaca.

Friday, May 9, 2008

Gelombang Membaca (Siri 2)

Artikel ini terbit di Milenia Muslim (Disember 2007)

Salah-satu daya yang diperlukan di dalam mewujudkan gelombang membaca ialah Daya Penggerak. Penulis memikirkan bahawa manusialah Daya Penggerak itu.

Sekiranya dapat dirujuk kepada hukum fizik, apabila sesebuah objek itu bergerak, ia tentunya mempunyai Momentum, yang dirujuk sebagai Jisim x Halaju. Namun begitu, untuk tujuan artikel ini, daya-daya yang akan dibincangkan hanyalah satu analogi.

Manusia, makhluk ciptaan Allah, merupakan ciptaan-Nya yang terhebat. Seperti yang disebut oleh Dr. Haron Din, di dalam bukunya Manusia dan Islam:

Diberikan kepadanya sifat-sifat khusus untuk membolehkannya menanggung amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain....

Ini adalah disebabkan faktor biologi manusia itu sendiri, yang mempunyai cukup sifat-sifat jasadiah dan rohaniah yang memungkinkan mereka menanggung amanah-amanah yang Allah berikan. Sifat-sifat khusus seperti akal, hati dan nafsu merupakan tiga sifat serentak yang hanya ada pada manusia, tetapi tidak ada pada mana-mana makhluk lain.

Amanah yang Allah berikan kepada manusia bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Amanah yang tidak termampu ditanggung oleh makhluk-makhluk lain, yang saiznya lebih besar dari manusia itu. Amanah untuk ‘menjaga’ dunia ini, amanah untuk memakmurkan alam ciptaan Allah, iaitu ‘kewajipan menegakkan agama Allah, Islam, atau kewajipan melaksanakan tugas terhadap agama Allah (Islam) yang diberikan kepada manusia. (Dr. Haron Din).

Untuk memastikan manusia berjaya menyempurnakan amanah ini, manusia perlu mempunyai ilmu. Ilmu adalah makanan jiwa, makanan akal dan benteng kepada keterlanjuran nafsu. Ilmu amat diperlukan untuk melengkapkan sifat-sifat Khalifah yang diberikan Allah kepada manusia. Tanpa ilmu, manusia hanya dipandu nafsu dan menuju kehancuran seperti mana yang telah berlaku kepada banyak kelompok peradaban manusia.

Memetik tulisan Prof. Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharudin di dalam bab pengenalan kepada buku Pendidikan Asas Kemajuan Minda dan Material di Johor, yang ditulis oleh Rahimah Abdul Aziz dan Rahmat Saripan, terbitan Yayasan Warisan Johor:

Ilmu pengetahuan yang kita kenal kini terbina melalui kegiatan manusia yang tidak henti berwacana. Mengiringi kegiatan berwacana tersebut adalah pelbagai usaha merakamnya, sama ada dalam bentuk tulisan dan dalam bentuk selainnya. Melalui proses inilah ilmu pengetahuan manusia itu bertimbun-tambah. Keseluruhan proses ini pula diwarnakan oleh pelbagai bentuk kontradiksi, bangkang-membangkang, persetujuan dan bersetuju-tak-bersetuju. Keadaan dan konteks semasa juga amat mempengaruhi keseluruhan proses ini. Dalam perkataan lain, ilmu serta tafsiran mengenai sesuatu himpunan ilmu itu lahir atau dilakukan dalam keadaan yang tidak bebas daripada pelbagai pengaruh. Dengan itu, ilmu itu adalah sesuatu yang hidup dan senantiasa dibincang, disanggah dan ditambah.

Perbincangan ilmu tidak pernah terhenti sejak manusia tiba di muka bumi ini. Malah, memetik tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah untuk Kaum Muslimin:

Plato pernah menarik perhatian dengan menyatakan bahawa untuk seseorang menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan maka perlulah dia mempunyai ilmu yang lengkap pula mengenai bidang itu....

Tentuya ilmu tidak boleh dipisahkan daripada aktiviti membaca, mempraktik dan menulis. Ini adalah tiga unsur utama kepada pendidikan. Mustahil bagi seseorang manusia biasa memperolehi ilmu tanpa melalui tiga unsur ini. Membaca bagi penulis bukan pula sekadar membaca buku atau tulisan, malah apabila dilihat dari konteks yang lebih luas, membaca daripada pandangan mata yang terus dihantar informasi itu ke akal dan dihakimi hati juga adalah proses yang penting. Namun tidak semua manusia punyai kebolehan ini. Lantas menjadikan proses membaca tulisan (sama ada dari buku, majalah, akhbar dan sebagainya) sebagai satu proses umum yang boleh dilakukan oleh segenap lapisan manusia. Kerana itulah Al-Quran diturunkan dengan Iqra’ sebagai ayat pertama. Bacalah.

Sebagai satu daya penggerak kepada gelombang membaca, manusia seharusnya mempunyai kualiti ilmuwan. Namun hukum alam (apabila dilihat secara lebih realitis) akan memperlihatkan bukan semua manusia mempunyai kualiti itu. Biarpun benar manusia adalah Khalifah yang dilantik Allah di muka bumi ini, namun hanya kelompok-kelompok tertentu sahaja yang layak.

Mereka adalah yang beriman kepada Allah. Yang tentunya apabila dikaitkan semula dengan ilmu, hanya mereka yang berilmu sahaja yang layak memimpin ummat manusia.

Terlalu banyak contoh di dalam peradaban manusia yang memperlihatkan kepentingan ilmu di dalam memandu kesejahteraan hidup manusia. Malah di dalam peradaban moden yang berteknologi ini pun masih dapat kita saksikan bagaimana masyarakat yang tidak berilmu (tidak membaca) hidup dalam keadaan yang penuh kedaifan dan menuju kehancuran.

Peperangan, perselisihan, kebuluran, kehancuran nilai-nilai sosial dan sebagainya yang negatif adalah hasil daripada tidak menjadikan ilmu sebagai objektif utama kehidupan mereka. Ilmu adalah berkadar terus dengan iman. Keimanan seseorang perlu disusuli dengan ilmu. Dan ilmu juga berkadar terus dengan membaca. Tanpa membaca, ilmu tidak akan terhasil. Dan hanya bacaan terpilih sahajalah yang layak dikutip dan dibaca. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. ‘...membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu’.

Telah diterangkan di atas, kepentingan ilmu, dan kesan membaca terhadap perkembangan ilmu. Manusia sebagai Khalifah amat memerlukan sifat dan nilai ini. Tetapi bagaimana Daya Penggerak ini iaitu manusia boleh dijadikan satu penggerak utama kepada pencarian ilmu atau lebih spesifik lagi mewujudkan Gelombang Membaca yang lebih besar?

Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dikupas, dan penulis percaya ia tidak akan terhasil dalam masa yang singkat. Amalan perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum sesebuah budaya terhasil. Dan Daya Penggeraklah yang memastikan Gelombang Membaca ini terhasil dan tsunami akan terwujud.

Tuesday, April 22, 2008

Gelombang Membaca (siri 1)

Setiap sesuatu yang tercipta di dunia ini mengeluarkan gelombang, percaya atau tidak, walaupun seketul batu yang kecil.

Seperti mana-mana bentuk gelombang sekalipun, ia pasti membawa maklumat bersamanya. Sebagai manusia, kita memang dikelilingi oleh gelombang-gelombang. Seperti gelombang otak, gelombang radioaktif dari bahan-bahan sekeliling, gelombang ciptasemula manusia seperti radio, televisyen, telefon bimbit dan sebagainya.

Setiap gelombang mempunyai sifat dan daya kekuatannya yang tersendiri. Seperti gelombang Alpha yang didapati adalah antara bentuk gelombang yang paling ‘tenang’. Gelombang tsunami yang melanda Acheh pada Disember 2004 pula adalah gelombang “pemusnah” yang terkenal dengan kekuatan hentaman yang belum pernah terjadi sebelum ini. Itu antara secubit contoh gelombang daripada himpunan gugusan gelombang-gelombang ciptaan Allah, Tuhan sekelian alam.

Manakala, gelombang buatan manusia seperti Mexican Wave di stadium ketika perlawanan bola sepak diadakan, juga mempunyai daya kekuatan dan sifatnya. Mengikut kajian, Mexican Wave memerlukan minimum 7 orang untuk mencetuskan satu gelombang besar di dalam sesebuah stadium. Semakin ramai bilangan individu yang melakukan cetusan Mexican Wave, semakin besar jugalah kebarangkalian gelombang yang terhasil itu lebih kuat dan bertenaga, hingga boleh menyebabkan 100% penonton di stadium melakukan gerakan gelombang tersebut!

Begitu juga dengan usaha untuk mewujudkan Gelombang Membaca, terutamanya di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga perlu mempunyai sifat dan daya kekuatannya tersendiri. Mungkin telah banyak bahan rujukan yang ditulis secara tidak langsung mengenai usaha mewujudkan gelombang ini. Namun begitu, satu usaha yang lebih proaktif dan bersepadu perlu diwujudkan.

Persoalannya, bagaimana?

Untuk mewujudkan sesuatu gelombang, kita memerlukan daya-daya yang mampu menggerakkan atom-atom sesuatu objek tersebut. Daya-daya itu perlulah mempunyai kekuatan pada tahap tertentu. Tsunami tidak akan terjadi sekiranya tidak ada daya yang menggerakkan atom-atom hidrogen dan oksigen (H2O). Radio tidak akan berfungsi sekiranya suara penyampai radio itu tidak ditukarkan ke bentuk gelombang, yang kemudiannya perlu diarahkan ke penerima gelombang tersebut. Mexican Wave tidak akan berlaku sekiranya tidak ada daya manusia yang menggerakkannya.

Begitu juga untuk mewujudkan Gelombang Membaca. Ia tidak akan wujud dan berjaya sekiranya tidak ada seseorang atau sesebuah kumpulan masyarakat yang menjadi daya-daya penggeraknya.

Untuk mewujudkan daya-daya penggerak Gelombang Membaca, beberapa ciri-ciri daya-daya itu perlu diperjelas dan dibincangkan. Seperti mana para saintis mengkaji, menulis dan menerima komen membina untuk melengkapkan kajian mereka, begitu juga yang harus berlaku kepada perbincangan isu-isu yang melibatkan pengwujudan budaya ‘baru’ di dalam masyarakat kita, seperti budaya membaca.

Antara daya-daya yang perlu diwujudkan ialah:

  1. Daya penggerak

Daya penggerak ialah manusia itu sendiri. Mereka yang ‘terpilih’ perlulah mempunyai ilmu yang cukup untuk memperkatakan tentang budaya membaca, perihal dunia buku, epistomologi, biblioholism dan sebagainya yang amat berkaitan dengan masyarakat, membaca dan budaya.

Ciri-ciri lain yang perlu ada, jika dapat dirujuk pada The Tipping Point, tulisan Malcom Gladwell ialah seseorang Penggerak itu perlulah dikategorikan di dalam The Law of the Few. Gladwell telah membicarakan tentang teorinya ini dengan mencadangkan bahawa walaupun hanya menggunakan sejumlah kumpulan manusia yang sedikit, perubahan besar akan berlaku. Namun begitu, sejumlah kumpulan manusia yang sedikit itu perlulah pula mempunyai ciri-ciri yang memungkinkan mereka dikenali sebagai Penggerak. Tiga ciri-ciri tersebut ialah penghubung (connector), pakar (maven) dan jurujual (salesman).

Penghubung (connector) ialah mereka yang mempunyai ‘kuasa semulajadi’ yang dapat menghubungkan masyarakat dengan seseorang individu. Beliau perlulah berkuasa (dalam erti kata masyarakat mendengar dan menerima nasihatnya) dan setiap individu di dalam masyarakat itu dihubungkan secara langsung atau tidak langsung kepada penghubung tersebut.

Manakala pakar (maven) ialah mereka yang mempunyai ilmu dan memahami selok-belok bidang tersebut.

Dan jurujual (salesman) ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri semulajadi yang dapat menarik perhatian masyarakat terhadap perkara atau objek yang menjadi barangan jualannya.

  1. Daya penarik

Buku dan industri buku itu sendiri adalah daya penariknya. Buku tidak boleh dianggap sebagai bebanan kepada seseorang atau sesuatu masyarakat. Buku perlu dilihat sebagai penyumbang kepada ekonomi dan perubahan sosio-budaya. Buku perlu di’ubahsuai’ bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Di dalam masyarakat maju seperti di negara-negara barat dan maju, buku tidak lagi dilihat sebagai sebuah hasil karya yang membosankan atau mempunyai reka kulit buku yang langsung tidak menarik. Perubahan perlu dilakukan dan sesebuah syarikat penerbitan perlu berani berinovasi. Inovasi pula perlulah diikuti dengan penyelidikan dan pembangunan. Maka untuk itu faktor kewangan perlu diambilkira. Penerbit perlu sanggup mengeluarkan sejumlah wang dari modalnya untuk memastikan buku-buku terbitannya kelak diterima oleh masyarakat, yang bukan sekadar melihat isinya, malah kulit dan kualiti penerbitannya itu.

Manakala industri buku, terutamanya kedai-kedai buku perlu berani tampil dengan perubahan. Rekaletak rak-rak buku, kaedah-kaedah pemasaran terkini dan alat-alat bantu pemasaran perlu diambilkira.

  1. Daya penolak

Masyarakat itu sendiri merupakan daya penolak. Sesuatu budaya adalah terhasil daripada amalan yang telah diamal dan diterima oleh sesuatu masyarakat. Ia tentunya mengambil tempoh masa tertentu untuk berevolusi. Bagaimana ia bermula, tentunya dari seseorang individu yang kemudiannya diterima pakai oleh keluarga tersebut, lantas diterima dan diamalkan oleh masyarakat setempat. Kita sebagai umat Melayu di Malaysia ini tentunya mempunyai 1001 amalan yang telah sebati dengan umat ini sendiri. Dan disebabkan itulah budaya terhasil dan menjadi darah daging pengamalnya.

Begitu juga dengan budaya membaca yang diperbincangkan di dalam tulisan ini. Ia perlu diamalkan terlebih dahulu oleh individu-individu yang telah dikenalpasti sebagai penggerak. Lantas, penggeraklah juga yang akan menolaknya ke hadapan supaya kemudiannya dapat dijadikan amalan masyarakat setempat.

Ia tentunya bukan satu perkara yang mudah. Daya-daya yang telah dibincangkan di atas perlulah mengalami proses evolusi yang akan mengambil masa. Sekiranya daya-daya tersebut dapat diwujudkan terlebih dahulu, tidak mustahil siri gelombang-gelombang akan wujud. Tidak besar, kecil pun memadailah sebagai permulaan. Gelombang-gelombang air di lautan, walaupun mungkin ada yang kecil, tetapi tidak mustahil berupaya mewujudkan siri gelombang air yang lebih besar, lantas dapat meranapkan pantai-pantai berbatu di pesisirnya. Itulah kekuatan sesebuah gelombang.