Sunday, August 29, 2010

Buku-buku di hujung bulan



Seperti biasa, pada setiap hujung bulan, aktiviti berpeleseran di kedai buku bersama keluarga. Membeli buku pilihan masing-masing.

Tiga buah buku yang saya beli untuk diri sendiri:
  1. Budaya Inovasi: Prasyarat Model Baru Ekonomi (Zaini Ujang)
  2. Mein Kampf (Hitler)
  3. India: A histroy (John Keay)

Saturday, August 28, 2010

Illuminations


Sedang baca Illuminations oleh Walter Benjamin. Sebuah buku lama, diterjemahkan dari bahasa German ke English.

Ia adalah sebuah buku koleksi tulisan Benjamin, yang banyak menulis mengenai hal-hal perbukuan, perpustakaan, falsafah dan kritikan.

Monday, August 23, 2010

Kembara Dr. Farish

Selesai membaca tulisan Dr. Farish - Qur'an and Cricket. Saya secara sedar dan jujur, tidak begitu mengenali Farish, walaupun banyak tulisan beliau di akhbar dan majalah. Saya juga sering dimomokkan dengan persepsi yang negatif terhadap beliau. Malah, secara peribadi, saya tidak mengenali beliau.

Namun, apabila selesai membaca bukunya ini, saya mulai berminat untuk mengikuti pemikiran beliau dengan lebih mendalam. Saya tahu, ada beberapa buah buku beliau yang ada di pasaran pernah melekat di tangan saya, tetapi tidak terniat untuk membelinya.

Tetapi, apabila membaca Qur'an dan Cricket, saya mendapat satu pandangan yang agak berlainan tentang Farish. Walaupun secara jujurnya, saya tidak begitu setuju dengan tajuk buku itu, tetapi pengembaraan akademik dan jasad Farish ke serata dunia Islam, terutamanya ke madarasah-madrasah begitu mengujakan saya.

Mungkin kerana salah-satu faktornya sebelum membaca buku ini, saya telah membaca Three Cups of Tea di mana Mortenson telah mendakwa bahawa kewujudan madrasah yang tiba-tiba banyak dibangunkan di Pakistan-Afghanistan itu sebagai satu melapetaka kepada tamadun manusia kerana didakwa ia adalah sarang terorisme.

Nah! Apabila membaca tulisan Farish dalam kembaranya ke madrasah di Pakistan-Afghanistan-Indonesia-Thailand, saya dapat melihat dari kaca mata seorang Muslim (ya, yang berpendidikan barat - sekular seperti mana yang diakui oleh Farish sendiri) mengenai peranan madrasah yang sebenarnya.

Secara jujurnya, langsai membaca buku ini mengujakan saya untuk turut memulakan pengembaraan akademik ke dunia yang selama ini dimomokkan oleh Barat sebagai merbahaya dan jauh dari pembangunan.

Saya ingin mengembara!!

Wednesday, August 18, 2010

Sedang baca Farish A Noor


Selesai buku Three Cups of Tea, yang telah membawa saya mengembara ke Pakistan, kini sedang membaca himpunan tulisan Farish A Noor dalam bukunya Qur'an and Cricket yang juga sedang membawa saya kembali ke Pakistan...tetapi dari kaca mata yang lain pula!

Wednesday, August 11, 2010

Baca Three Cups of Tea

Tanggapan saya salah terhadap buku ini. Walaupun masih membacanya, tetapi pembacaan buku ini amat lancar dan laju. Semalaman saya tidak mahu tidur, kerana mahu terus membacanya. Seharian semalam di atas kapal terbang, saya tidak dapat lekang dari membaca buku ini.

Mortenson, si pembina sekolah di hujung kampung terpencil sempadan Pakistan-China - lokasi terakhir sebelum seseorang dapat mendaki K2 - merupakan seorang rakyat Amerika yang amat terasa kepentingan pendidikan dalam sesebuah masyarakat.

Beliau, dengan sifat yang amat berlainan daripada kebanyakkan rakyat Amerika, walaupun hidupnya sendiri tidak dapat ditanggung, namun mendambakan diri untuk membina sebuah sekolah di sebuah kampung yang telah menyelamatkan beliau daripada kematian dan kesesatan ketika mendaki K2. Beliau telah berjanji dengan ketua kampung, Haji Ali, untuk kembali dari Amerika untuk membina sekolah di situ. Dan janjinya dikotakan. Malah sehingga kini Mortenson telah berjaya membina 55 buah sekolah di Pakistan dan Afghanistan!

Namun apa yang lebih menyentuh hati saya ialah bagaimana sifat orang-orang Islam di pendalaman itu telah menyentuh hati dan perasaan Mortenson. Beliau kagum dengan kejujuran, kesederhanaan namun bersemangat untuk meneruskan kehidupan di kawasan yang amat sukar untuk hidup. Malah, beliau amat mengkagumi solat. Sifat peniaga yang sanggup meninggalkan perniagaannya sebentar untuk menunaikan solat tepat pada waktunya amat memberikan kesan kepada Mortenson.

Mortenson mempelajari solat. Cara-cara berwuduk dan menunaikan solat. Walaupun sehingga kini, hasil daripada carian saya di internet, masih belum menemui fakta sama ada Mortenson telah memeluk Islam atau tidak, namun saya amat mengharapkan semoga Allah memberikan hidayah kepadanya untuk memeluk Islam. Kebaikan yang telah beliau curahkan kepada saudara seagama kita di pendalaman Pakistan sememangnya amat berharga.

Monday, August 9, 2010

Mula membaca Three Cups of Tea

Selesai akhirnya membaca Hitler's Private Library. Sekarang memulakan bacaan Three Cups of Tea (oleh Greg Mortenson dan David Oliver Relin).

Buku yang menceritakan pengalaman Mortenson, seorang pendaki gunung K2 yang mendambakan dirinya untuk membina 55 buah sekolah di kawasan terpencil sempadan Pakistan dan Afghanistan.

Ingin mengetahui pengalaman dan kesungguhannya. Kata orang, mat saleh buat kerja bersungguh-sungguh. Dan kata orang juga, misi keagamaan mereka amat kuat.

Buku ini mungkin dapat menyingkap kesungguhan itu. Walaupun mungkin ketika membacanya (masih merangkak-rangkak menyingkap helaian buku ini) masih ada sedikit persepsi negatif terhadap usaha Mortenson yang mungkin boleh dianggap sebagai 'ala-ala mubaligh', tetapi apa yang ingin sangat saya dalami ialah berkenaan dengan kaedah beliau menubuh dan membina sekolah-sekolah yang bertujuan memberikan pendidikan 'yang sempurna' kepada masyarakat terpencil di situ.

Saya masih yakin bahawa para pendakwah kita juga tidak kurang hebatnya...cuma belum lagi saya ketemui buku-buku yang dapat menggambarkan kesungguhan mereka!

Friday, August 6, 2010

Menunggu Illuminations tiba di pangkuan

Antara rujukan yang selalu dirujuk oleh pengarang Hitler's Private Library ialah tulisan Walter Benjamin menerusi buku beliau Illuminations: Essays and Reflections.

Siapa Walter Benjamin? Ini maklumat yang saya dapat dari wikipedia:


Walter Bendix Schönflies Benjamin
(15 July 1892 – 27 September 1940) was a German intellectual (philosopher, sociologist, literary critic, translator, essayist) occasionally associated with the Frankfurt School of critical theory. His sociologic and cultural critical thought, combining historical materialism, German idealism, and Jewish mysticism, proved a novel contribution to aesthetic theory and to Western Marxism. As a literary critic, his most famous essays are about Charles Baudelaire (1821–67), coiner of the term Modernism; as a translator he produced the Tableaux Parisiens edition of Les Fleurs du mal (1857), by Baudelaire, and À la recherche du temps perdu (1913–27), by Marcel Proust (1871–1922).

His turning to Marxism in the 1930s, resulted from the influence of playwright friend Bertolt Brecht, whose critical aesthetics developed the Verfremdungseffekt (emotional distancing of the spectator). An earlier influence was friend Gershom Scholem, founder of the academic study of the Kabbalah and of Jewish mysticism. Intellectually influenced by the Swiss anthropologist Johann Jakob Bachofen (1815–87), Walter Benjamin coined the term “auratic perception”, denoting the æsthetic faculty via which civilization would recover appreciation of myth.[1] Contemporarily, Benjamin's work is oft-cited in academic and literary studies, especially the essays The Task of the Translator (1923) and The Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction (1936).

Yang menarik perhatian saya tentang Walter Benjamin (dan ingin mengenali tulisan-tulisan beliau) ialah kata-kata beliau mengenai buku, pembaca dan pemiliknya. Kerana itulah, saya sedang menunggu buku antologi artikel beliau untuk tiba di pangkuan - mungkin 2-3 minggu lagi....

Thursday, August 5, 2010

Denai Buku

Agaknya Denai Buku boleh diterjemahkan dari Book Trail...satu idea yang saya dapat dari Diskusi Kota Buku semalam yang berlangsung di DBP. Pengalaman berharga pegawai-pegawai dari Yayasan Kampung Buku Malaysia yang mempunyai banyak jaringan dengan kampung-kota buku seluruh dunia.

Book Trail merupakan antara aktiviti 'biasa' biblioholist dari seluruh dunia. Katanya hampir 15 juta biblioholist bergerak dari satu kampung buku ke kampung buku lainnya. Terdapat hampir 33 buah kampung buku di seluruh dunia.

Saya cuma rasa terkilan apabila mengenangkan nasib Kampung Buku di Langkawi, juga yang dibangga-banggakan sekarang di Melaka. Konsep Kampung Buku di Langkawi amat saya kagumi, cuma sayangnya ia hancur dalam sekelip mata. Namun konsep kampung buku di Melaka amat tidak saya senangi!

Denai buku, sama ada kita punyai sebuah kampung atau kota buku, amat sesuai kita gerakkan sekarang. Tidak perlu untuk menunggu sebuah kampung/kota buku impian terbina di sini atau punyai wang sedikit untuk mengembara ke luar negara melawat kampung buku di sana.

Cukuplah dengan ada beberapa buah kedai buku di Malaysia. Komuniti bukuonline satu ketika dahulu pernah menganjurkan Kembara Kedai Buku. Ideanya mudah: kumpul beberapa ahli dan bergerak dari satu kedai buku ke kedai buku lain.

Mungkin dengan idea yang lebih mantap, Denai Buku perlu lebih kreatif. Mungkin selain daripada melawat kedai-kedai buku yang tersedia ada, pengembara Denai Buku perlu mencari kedai-kedai buku yang lebih unik. Tentu terdapat di sebalik pekan-pekan kecil kita di Malaysia, kedai-kedai buku kecil tetapi unik. Unik daripada segi jenis buku yang dijual, cara jualannya, malah mungkin rekabentuk kedai itu sendiri.

Pengembara Denai Buku perlu melakar kembali perjalanan mereka. Dan meninggalkan jejak-jejak, sama konsepnya seperti denai di hutan. Pengembara terkemudian akan mengikuti dan mungkin menemui lokasi-lokasi yang lain pula.

Sekadar idea gila!

Tuesday, August 3, 2010

Apa yang Hitler baca?

Hitler, walaupun sifatnya banyak digambarkan oleh Barat sebagai 'pembunuh zalim' terutamanya kepada bangsa Yahudi, rupa-rupanya mempunyai sifat yang lebih lembut.

Beliau boleh melukis (sekiranya seni melukis itu boleh menunjukkan sifat peribadi seseorang itu lebih lembut). Beliau juga seorang biblioholist.

Walaupun pembacaan beliau banyak berkisar tentang Yahudi, beliau juga banyak membaca buku berkaitan dengan senibina, terutamanya yang ditulis oleh Osborn seperti buku Berlin yang banyak membantu beliau 'mengembara' ke Berlin.

Beliau juga didedahkan kepada teater, terutamanya yang diarahkan oleh mentor beliau - Eckart. Teater Peer Gynt banyak mempengaruhi sifat Hitler.

Hitler juga mempunyai koleksi lengkap tulisan Henry Ford - International Jew.

Memang benar apa yang ditulis oleh Walter Benjamin - we collect books in the belief that we are preserving them when in fact it is the books that preserve the collector

Tuesday, July 27, 2010

Nota Kaki


Sekarang sedang baca NOTA KAKI oleh Johan Jaafar. Himpunan 206 buah artikel beliau yang pernah terbit di Utusan Malaysia sekitar tahun sebelum 1998.

Ketika itu, saya masih di universiti. Tulisan Johan Jaafar ini selalunya saya dan seorang rakan lain akan gunting dan tampal sebelum disimpan rapi dalam fail. Entah ke mana hilangnya fail itu sekarang...

Syukur, tulisan Johan Jaafar ini dibukukan. Baru tahun ini terbit. Apabila membacanya, terasa muda semula. Seolah-olah kembali ke alam silam.

Penulisan rencana apabila dibukukan boleh diumpamakan sebagai sebuah time machine. Kita akan membaca dari kacamata seseorang penulis yang menulis pada zamannya, dan apabila kita membaca tulisan itu pada zaman sekarang, ia akan cuba membuka satu lembaran silam pada zaman kini.

Pada masa inilah kita akan dapat melihat sama ada berlaku sebarang perubahan pada keadaan atau tidak. Kita juga boleh berpendapat sama ada penulis itu seorang yang bervisi dan 'dapat melihat masa hadapan' atau tidak.

Cuma sayangnya, Nota Kaki ini mungkin diterbitkan dalam keadaan kelam-kabut, sehingga terlalu banyak kesalahan ejaan! Yang paling melucukan ialah pada mukasurat 345!

Thursday, July 22, 2010

Hitler seorang biblioholist?


Kembara ke MPH malam tadi menemukan saya dengan dua buah buku: NOTA KAKI (JOHAN JAAFAR) dan Hitler's Private Library: The books that shaped his life.

Kebetulan pula saya menerima e-mail berkaitan dengan hubungan Hitler dengan Islam, buku ini akan cuba membuka akal saya untuk mengkaji kehidupan Hitler yang lebih dikenali sebagai pembakar buku daripada dikenali sebagai seorang pembaca. Namun, rupa-rupanya Hitler memang seorang Biblioholist!

Berkaitan dengan hubungan Hitler dengan Islam, beliau dilaporkan amat meminati Islam, lebih-lebih lagi apabila membaca tentang sejarah Yahudi dan hubungan mereka dengan Islam.

Namun, saya masih berfikir mungkin propaganda Yahudi juga untuk mengaitkan Hitler dengan Islam, kerana semua sedia maklum tentang perbuatan anti-Yahudi Hitler yang membunuh jutaan umat Yahudi. Mungkin apabila dapat mengaitkan Hitler dengan Islam, maka definisi keganasan pada masa kini dapat dibuktikan secara lebih jelas untuk mengatakan Islam adalah ganas!


Mungkin ada benarnya Hitler mengagumi Islam. Dan kita juga tidak dapat menolak, mungkin ini juga antara perancangan Yahudi yang kita sedia tahu mereka amat licik dalam perancangan. Tapi kita lebih yakin bahawa Allah lebih bijak melakukan sebarang perancangan!!

Monday, July 19, 2010

Artikel di Utusan Malaysia

Artikel saya bertajuk Pengaruh TV terhadap budaya membaca terbit di Utusan Malaysia hari ini.

Monday, June 21, 2010

Jerusalem dalam 5 Cities that Ruled the World

Selesai membaca Alexander adalah Zulqarnain. Kini sedang membaca 5 Cities that Ruled the World karya Douglas Wilson. Buku ini menceritakan bagaimana pentingnya Jerusalem, Athens, Rome, London dan New York dalam mewarnai peradaban manusia, sama ada pada zaman dahulu mahupun sehingga kini.

Semalam baru habis membaca bab Jerusalem. Penulis, ya seorang 'mat saleh', sudah pasti agak 'negatif' apabila memperkatakan tentang Islam. Jerusalem, yang sehingga kini menjadi 'medan pertempuran' dalam 'keharmonian 3 agama - Yahudi, Kristian dan Islam' menjadi rebutan sepanjang zaman. Walaupun penulis buku ini agak skeptikal tentang Islam, namun ia memberi gambaran yang agak neutral terhadap Jerusalem yang kini secara zalimnya dirampas oleh Yahudi ataupun lebih tepat lagi Zionis.

Memang kita akui, Yahudi adalah satu bangsa yang diceritakan Allah dalam Al-Quran banyak menghabiskan masanya di Jerusalem, tetapi sejarah juga telah membuktikan Yahudi 'tidak layak' untuk hidup di Jerusalem. Memang juga kita akui berapa ramai Rasul dan Nabi diturunkan di kalangan orang Yahudi, tetapi bangsa ini jugalah yang membunuh Rasul dan Nabi mereka.

Menurut buku ini, apabila Jerusalem dirampas oleh British, bangsa Yahudi menginginkan Jerusalem dan Palestin diserahkan 'semula' kepada mereka. Namun British kononnya 'sebagai mediator' antara bangsa Arab dan Palestin, ingin menyerahkan Uganda sebagai negeri untuk bangsa Yahudi. Namun seperti yang ditulis oleh Wilson dalam bukunya ini 'Zionism meant a homeland in Palestine, not just a homeland somewhere'.

Menurutnya lagi "Tension in the Middle East today, centered in Jerusalem, is the result of two major developments. The first was the gradual eclipse of Islamic power, becoming undeniable and irreversible by the nineteenth century. The second was the rise of Zionism or Jewish nationalism.

Kejadian buruk yang sedang berlaku di Palestin kini, menurut Wilson "When we are faced with a problem as difficult as this one, we look to continued support for Israel from the United States, aid to the Palestinians from Europe, or another stern resolution from the United Nations. But why do we look to these entities to solve the problem when they were the ones who created it in the first place?

Yang pasti, ketidaklayakan Yahudi untuk menduduki tanah Palestin dan Jerusalem adalah kerana mereka sendiri - kerana mengingkari perintah Allah dan akibat daripada 'breach of contract' ini, mereka akan hancur di tanah yang diinginkan mereka sepanjang zaman itu sendiri!

Sunday, June 13, 2010

Socrates adalah Lukman al-Hakim


Masih membaca Alexander adalah Zulqarnain. Lebih tebal daripada buku pertama penulis yang sama (Yakjuj Makjuj).

Ada dua perkara yang penting dan menarik dari buku Alexander adalah Zulqarnain ini:

  1. Pendedahan siapa Socrates
  2. Pendedahan Alexander The Great adalah Zulqarnain
Siapa Socrates? Beliau adalah guru kepada Plato. Dan Plato adalah guru kepada Aristotles. Alexander adalah anak murid kepada Aristotles. Mungkin semua tahu nama-nama ini. Tetapi, buku ini telah mendedahkan 'teori' keimanan Socrates, Plato, Aristotles dan Alexander. Malah, mengikut sejarah Socrates dihukum bunuh dengan cara meminum racun (pada zaman tersebut, meminum racun secara sukarela adalah satu cara hukuman bunuh yang dikenakan oleh mahkamah). Socrates dihukum bunuh kerana kepercayaannya terhadap monotisme (iaitu menyembah Tuhan yang Esa). Pada zaman Yunani, paganisme iaitu dengan penyembahan kepada multi Tuhan (berhala) merupakan anutan mereka. Kepercayaan Socrates yang menongkah arus itu menyebabkan pemerintah Yunani ketika itu merasakan ajaran Socrates membahayakan minda generasi muda mereka.

Malah yang lebih memeranjatkan, pendedahan buku ini juga mengaitkan Socrates dengan Lukman al-Hakim (nama yang disebut-sebut dalam Al-Quran, namun sehingga kini tidak pernah dapat dikaitkan dengan sesiapa dalam lipatan sejarah).

Lantas saya membeli sebuah buku lagi yang bertajuk Conversations of Socrates yang ditulis oleh Xenophon (seorang Yunani yang hidup dalam lingkungan masa Socrates-Aristotles). Secara jelas, ia menceritakan tentang kepercayaan dan keimanan Socrates di dalam memperjuangkan kepercayaan monotismenya.

Ya, selama ini kita telah banyak dimomokkan oleh tulisan barat-yahudi yang memesongkan fakta sejarah mengenai tokoh-tokoh zaman dahulu, dengan tidak menceritakan fakta sebenarnya. Maha Besar Allah kerana telah menurunkan Al-Quran untuk membetulkan fakta-fakta salah yang dipesongkan oleh sarjana-sarjana yahudi mahupun yunani itu sendiri.