Thursday, May 28, 2009

Terminator Salvation

Ke JB. Bertemu supervisor. Lantas terus ke panggung wayang di JB. Menonton Terminator 4 (Salvation). Hari ini adalah tayangan pertamanya di Malaysia.

Perlu jujur saya katakan, jantung saya berdegup kencang. Menggigil rasanya apabila melihat masa hadapan (2018), apabila John Connor menjadi 'pemimpin manusia' berperang dengan mesin dan robot.

Sequelnya, bagi saya, berjaya. Berjaya kerana watak-wataknya yang telah digarap sempurna sejak Terminator 1 - 3, berjaya dihidupkan dalam Terminator 4. Rasanya tidak salah untuk saya sampaikan di sini, bahawa selain watak Connor dan isterinya (seperti semua sedia maklum dalam Terminator 3), juga termuat satu lagi watak yang telah dihidupkan sempurna sejak siri 1 nya lagi.

Kalau diizinkan, saya berani berikan 6 bintang daripada 5 bintang! Superb! Menakjubkan!

Bukan kerana takjub dengan teknik CGInya semata-mata, malah camera shootnya seperti filem Saving Private Ryan. Kamera pada sisi mata si wataknya. Dan yang lebih menakutkan, seolah-olah penonton dibawa bersama di dalam peperangan itu!

Apabila dilihat dengan lebih kritis dan tajam, saya berteori bahawa siri Terminator adalah kisah mengenai Yahudi. Mengenai peperangan antara Yahudi dan bukan Yahudi. Perkara ini secara terang-terangan ditunjukkan dalam satu babak dalam Terminator 4. Tonton dan berteorilah sendiri.

Kalau ingin melihat secara lebih makro, bacalah Gerakan Freemasonry tulisan Hj. Nik Azran dan Hj. Mohd. Mahadi. Dan tontonlah apa-apa filem pun, ia akan terarah ke matlamat asal penubuhan Hollywood.

Saya bukannya mahu berteori konspirasi, atau tidak menggalakkan masyarakat umum menonton filem, sebaliknya kita perlu kritis dalam menilai sesuatu. Seperti juga membaca, pemikiran kritis perlu sentiasa di hadapan. Dan dengan itu, kita dapat menilai yang mana yang baik dan yang mana yang buruk.

Sunday, May 24, 2009

Masih membaca


Walaupun bulan Mei sudah di penghujungnya, saya belum habis lagi membaca Dewan Kosmik keluaran bulan ini.

Juga sedang bertungkus-lumus menghabiskan PEMIKIR April-Jun 2009.


Tentunya banyak masa lapang perlu dihabiskan untuk proses membaca!

Tuesday, May 19, 2009

Majlis bersama TPM

Semalam, memenuhi jemputan ITNM (tentunya kredit diberi kepada Tuan Anuar) ke Majlis Pertemuan Timbalan Perdana Menteri dengan Sasterawan Negara & Pelancaran Koleksi Buku terjemahan Siri Sastera Malaysia, di Putrajaya.

Tahniah kepada ITNM kerana menganjurkan majlis yang bersejarah ini, dan tahniah juga kerana telah berjaya menterjemah 28 buah buku tulisan para sasterawan kita ke bahasa lain. Ia merupakan satu langkah pertama untuk menggapai Hadiah Nobel.

Pada majlis semalam juga telah menyaksikan komitmen kerajaan untuk menubuhkan Kota Buku (tempatnya tidak pula dinyatakan, tetapi pastinya di Kuala Lumpur). Sejumlah RM20 juta akan dibelanjakan untuk itu.

Majlis diakhiri dengan majlis jamuan teh bersama-sama TPM.


Monday, May 18, 2009

Sibuk + Penat = Puas

Lama benar tak menulis di sini. Agak sibuk dengan belajar, aktiviti luaran (masuk-keluar hutan) dan aktiviti sosial (yang sihat) lain. Tetapi, sempat juga menghabiskan empat buah buku dalam masa berhibernasi ini.



Pada setiap ahad, saya akan cuba meluangkan masa ke hutan yang berdekatan untuk mengambil foto spesis-spesis serangga. Ini untuk buku foto yang saya rancang untuk diterbitkan.

Ahad lepas, meluangkan masa dengan ahli-ahli Green Team membersihkan Sungai Pisang (di kawasan Gombak). Memang terlalu banyak sampah (kerana itulah bidang kajian saya sekarang ini berkisar tentang pengurusan sampah).

Juga tidak ketinggalan, sedang berkemas-kemas untuk berpindah ke rumah baru dalam masa yang terdekat ini.

Kesibukan yang penat tetapi memuaskan!

Monday, April 27, 2009

Sambutan Hari Buku Sedunia di perhimpunan sekolah



Saya dijemput oleh Sekolah Menengah Sungai Pusu (kredit diberikan kepada isteri...hehe), untuk bercakap 10 minit pada perhimpunan sekolah pagi tadi berkaitan dengan Pesona Buku. Telah saya ambil kesempatan yang singkat ini untuk memperkenalkan sebahagian buku-buku yang ada di perpustakaan peribadi saya. Memang tidak cukup masa 10 minit itu, tetapi saya amat berharap supaya ruang masa yang diberi ini dapat mengubah pemikiran anak-anak bangsa saya ini. Saya doakan.

Sunday, April 26, 2009

Perayaan Hari Bumi


Kesempatan yang ada pada hujung minggu ini, saya habiskan bersama rakan-rakan (Khul dan Long) untuk berjalan-jalan di dalam hutan sambil mengambil gambar-gambar serangga di Taman Rimba Komuniti Kota Damansara.

Tidak menyangka pula rupa-rupanya hari ini adalah perayaan Hari Bumi peringkat Kota Damansara, di mana telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor.

Beberapa foto yang telah saya abadikan:



Saturday, April 25, 2009

FORUM MALAYSIA MEMBACA KE-3 (2009)




Alhamdulillah, Komuniti Bukuonline dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara, Akademi Buku Malaysia dan Kumpulan PTS telah berjaya menganjurkan Forum Malaysia Membaca ke-3 (2009) semalam, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ramai yang hadir, disebabkan lokasi pentasnya dan yang paling penting kerana telah dijayakan oleh barisan panelis yang tidak perlu diperkenalkan biodata masing-masing: Dato' SN A. Samad Said, dan bakal sasterawan Faizal Tehrani, dan wakil industri perbukuan Tuan Haji Hassan Hamzah. Forum ini telah dipengerusikan oleh Sayed Munawar yang berpengalaman mengendalikan forum-forum secara langsung di TV, terutamanya terbitan beliau sendiri Di Luar Lingkungan di TV1 pada setiap Isnin malam.

Forum ini telah berjaya mencuri perhatian pengunjung pesta buku kerana tema forum ini berkisar tentang pesona buku Melayu dan tentunya Sayed telah membawa perbincangan sensitif berkaitan PPSMI dengan penglibatan Sasterawan Negara secara langsung terhadap gerakan anti-PPSMI dan pemantapan Bahasa Melayu di dalam masyarakat Malaysia.

Faizal Tehrani juga berjaya mencuri perhatian pengunjung dengan komen-komen bernas beliau yang turut bersama dengan gerakan murni ini. Manakala Tuan Haji Hassan yang mewakili industri perbukuan memberi komitmen seriusnya terhadap pemantapan buku-buku berbahasa Melayu.

Alhamdulillah...dan Insya Allah, komuniti bukuonline akan meneruskan perjuangan kami untuk memperjuangkan Bahasa Melayu dan buku-buku yang ditulis di dalam bahasa ini.

Dari bilik berita Astro Awani

Sunday, April 19, 2009

Hari kedua berPesta Buku

Berehat sambil membaca

Si kakak bersama bukunya

Si abang kepenatan mencari buku yang belum ketemu

Semalam, giliran anak-anak dan isteri pula mengikuti saya membeli-belah di 'pasar ilmu' - untuk mencari makanan minda - ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Sengaja saya membawa mereka menaiki STAR LRT untuk memberikan pengalaman berbeza terutamanya kepada anak-anak.

Tidak banyak buku yang saya beli untuk diri sendiri kerana semalam sudah menjadi satu titik sejarah. Sebaliknya kali ini giliran anak-anak dan isteri pula untuk memilih dan membeli buku-buku pilihan sendiri.

Barisan buku tulisan ayah di gerai DBP


Salah sebuah buku yang dibeli kakak

Anak-anak bergambar dengan penulis Balqis MZ

Friday, April 17, 2009

Hari pertama berPesta Buku


Seawal 10 pagi, sebaik-baik sahaja dibuka pintu PWTC, saya dan seorang sahabat terus memasuki ruang ilmu - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pun bermula!!!

Untuk itu, secara rasminya juga ingin saya maklumkan di sini bahawa sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, komuniti bukuonline.net akan menganjurkan FORUM MALAYSIA MEMBACA:

Tarikh: 25 April 2009 (Sabtu)
Masa: 12 - 1 tengah hari
Tempat: Pentas Utama PBAKL
Panelis: Datuk A. Samad Said dan Faizal Tehrani
Moderator: Sayed Munawar
Tajuk: PESONA BUKU MELAYU


Juga secara rasminya juga telah saya beli beberapa buah buku di hari pertama pesta:


  1. Telaga Budi (Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)
  2. Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat (Abdul Shukur Haron & Annual Bakri Haron)
  3. Buit Duit dengan Cacing Tanah (Mohamad Saat Sukami)
  4. Sejarah Tamadun Islam Jilid 1-14 (Abu Al-Fida Al Hafiz Ismail ibn Kathir)

Monday, April 13, 2009

Mesyuarat Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3

Baru pulang dari menghadiri mesyuarat Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3. Hasil daripada perbincangan tadi, jawatankuasa dimaklumkan bahawa tarikh asal 14 Mei 2009 itu perlu ditangguhkan kepada tarikh 21 Mei 2009 di atas sebab-sebab tertentu. Namun begitu, senarai pembentang telah dikenalpasti. Seminar tahun ini bertemakan PESONA PERPUSTAKAAN. Jemputan secara rasmi akan diletakkan di web rasmi bukuonline.net nanti.

World Book Day @ Popular Bookstore

Dapat email yang telah dipanjangkan (apa perkataan Melayu untuk forward?) oleh khul mengenai aktiviti dan promosi di kedai buku Popular sempena sambutan Hari Buku Sedunia (dari 17 - 30 April 2009). Mahu tahu apa yang ditawarkan, ayuh ke Popular Bookstore.

Mengenai Hari Buku Sedunia, saya pernah menulisnya di Utusan Malaysia tahun lepas, baca sini.

Boleh muat turun poster rasmi Worldbook and Copyright Day 2009 di sini.

Saturday, April 11, 2009

Si kecil yang membaca


Membawa anak-anak ke Karnival Buku di Sekolah Teknik Gombak. Bukanlah satu pesta, namun keghairahan pelajar-pelajar sekolah teknik membelek dan memilih buku amat mengujakan.

Anak-anak memilih buku masing-masing. Walaupun si kecil masih belum mengenali huruf-huruf, apatah lagi membaca, namun kerana melihatkan abang dan kakaknya telah membeli buku masing-masing, si kecil juga terus memilih bukunya sendiri.

Galeri Seni


Seni mungkin belum lagi dimasyarakatkan sepenuhnya di Malaysia. Namun usaha ke arah itu, terutamanya di bandar-bandar besar telah lama dimulakan. Kewujudan Galeri Petronas, Balai Seni Lukis Negara antara usaha bersepadu kerajaan. Malah kemunculan beberapa galeri seni peribadi juga tumbuh bagai cendawan di Kuala Lumpur. Ini adalah petanda positif bahawa seni mula mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

Seni penting untuk mengimbangi kekerasan politik dan ekonomi. Seni juga antara bidang ilmu yang Allah wujudkan untuk manusia pelajari dan perhalusi. Kerana seni berupaya mendidik hati dan minda manusia untuk lebih sensitif dengan alam dan hati manusia lain.

Sekiranya ekonomi mampu mengubah taraf hidup manusia, namun sekiranya ia bergerak sendiri tanpa dibantu dengan elemen seni, manusia itu akan lebih bersifat rakus dan tamak.

Sekiranya politik mampu mempengaruhi manusia untuk maju kehadapan dengan dipimpin saf kepimpinan yang dipilih, namun sekiranya ia juga tidak dibantu elemen seni, manusia itu akan lebih bersifat zalim.

Seni adalah antara elemen terpenting. Namun, seni juga perlu dibantu dengan elemen lain yang lebih kuat dan kukuh, iaitu elemen keimanan kepada Maha Pencipta kita. Dan Insya Allah, sekiranya kesemua elemen ini bergabung dan diimbangi dengan kebijaksanaan, kita mampu menjadi satu bangsa yang berjaya.

Pulang dari Johor Bahru semalam, saya dan rakan-rakan (jasasikin dan amir) terus bergegas menghadiri perasmian pameran Matahati ke Matadunia di Galeri Chandan. Sekumpulan 5 orang pelukis yang telah lama bergabung sebagai sebuah kumpulan (di mana Bayu Utomo - yang amat dikenali menerusi cover jacket kaset Search satu ketika dahulu, juga antara pelukis-pelukis itu) telah berjaya menempatkan karya-karya mereka di persada seni tanahair dan tidak lama lagi di Amerika Syarikat.

Bersama Labu dan Labi


Sekelumit ruang seni di kanvas Bayu Utomo


Seni sebesar dinding