Thursday, July 22, 2010

Hitler seorang biblioholist?


Kembara ke MPH malam tadi menemukan saya dengan dua buah buku: NOTA KAKI (JOHAN JAAFAR) dan Hitler's Private Library: The books that shaped his life.

Kebetulan pula saya menerima e-mail berkaitan dengan hubungan Hitler dengan Islam, buku ini akan cuba membuka akal saya untuk mengkaji kehidupan Hitler yang lebih dikenali sebagai pembakar buku daripada dikenali sebagai seorang pembaca. Namun, rupa-rupanya Hitler memang seorang Biblioholist!

Berkaitan dengan hubungan Hitler dengan Islam, beliau dilaporkan amat meminati Islam, lebih-lebih lagi apabila membaca tentang sejarah Yahudi dan hubungan mereka dengan Islam.

Namun, saya masih berfikir mungkin propaganda Yahudi juga untuk mengaitkan Hitler dengan Islam, kerana semua sedia maklum tentang perbuatan anti-Yahudi Hitler yang membunuh jutaan umat Yahudi. Mungkin apabila dapat mengaitkan Hitler dengan Islam, maka definisi keganasan pada masa kini dapat dibuktikan secara lebih jelas untuk mengatakan Islam adalah ganas!


Mungkin ada benarnya Hitler mengagumi Islam. Dan kita juga tidak dapat menolak, mungkin ini juga antara perancangan Yahudi yang kita sedia tahu mereka amat licik dalam perancangan. Tapi kita lebih yakin bahawa Allah lebih bijak melakukan sebarang perancangan!!

Monday, July 19, 2010

Artikel di Utusan Malaysia

Artikel saya bertajuk Pengaruh TV terhadap budaya membaca terbit di Utusan Malaysia hari ini.

Monday, June 21, 2010

Jerusalem dalam 5 Cities that Ruled the World

Selesai membaca Alexander adalah Zulqarnain. Kini sedang membaca 5 Cities that Ruled the World karya Douglas Wilson. Buku ini menceritakan bagaimana pentingnya Jerusalem, Athens, Rome, London dan New York dalam mewarnai peradaban manusia, sama ada pada zaman dahulu mahupun sehingga kini.

Semalam baru habis membaca bab Jerusalem. Penulis, ya seorang 'mat saleh', sudah pasti agak 'negatif' apabila memperkatakan tentang Islam. Jerusalem, yang sehingga kini menjadi 'medan pertempuran' dalam 'keharmonian 3 agama - Yahudi, Kristian dan Islam' menjadi rebutan sepanjang zaman. Walaupun penulis buku ini agak skeptikal tentang Islam, namun ia memberi gambaran yang agak neutral terhadap Jerusalem yang kini secara zalimnya dirampas oleh Yahudi ataupun lebih tepat lagi Zionis.

Memang kita akui, Yahudi adalah satu bangsa yang diceritakan Allah dalam Al-Quran banyak menghabiskan masanya di Jerusalem, tetapi sejarah juga telah membuktikan Yahudi 'tidak layak' untuk hidup di Jerusalem. Memang juga kita akui berapa ramai Rasul dan Nabi diturunkan di kalangan orang Yahudi, tetapi bangsa ini jugalah yang membunuh Rasul dan Nabi mereka.

Menurut buku ini, apabila Jerusalem dirampas oleh British, bangsa Yahudi menginginkan Jerusalem dan Palestin diserahkan 'semula' kepada mereka. Namun British kononnya 'sebagai mediator' antara bangsa Arab dan Palestin, ingin menyerahkan Uganda sebagai negeri untuk bangsa Yahudi. Namun seperti yang ditulis oleh Wilson dalam bukunya ini 'Zionism meant a homeland in Palestine, not just a homeland somewhere'.

Menurutnya lagi "Tension in the Middle East today, centered in Jerusalem, is the result of two major developments. The first was the gradual eclipse of Islamic power, becoming undeniable and irreversible by the nineteenth century. The second was the rise of Zionism or Jewish nationalism.

Kejadian buruk yang sedang berlaku di Palestin kini, menurut Wilson "When we are faced with a problem as difficult as this one, we look to continued support for Israel from the United States, aid to the Palestinians from Europe, or another stern resolution from the United Nations. But why do we look to these entities to solve the problem when they were the ones who created it in the first place?

Yang pasti, ketidaklayakan Yahudi untuk menduduki tanah Palestin dan Jerusalem adalah kerana mereka sendiri - kerana mengingkari perintah Allah dan akibat daripada 'breach of contract' ini, mereka akan hancur di tanah yang diinginkan mereka sepanjang zaman itu sendiri!

Sunday, June 13, 2010

Socrates adalah Lukman al-Hakim


Masih membaca Alexander adalah Zulqarnain. Lebih tebal daripada buku pertama penulis yang sama (Yakjuj Makjuj).

Ada dua perkara yang penting dan menarik dari buku Alexander adalah Zulqarnain ini:

  1. Pendedahan siapa Socrates
  2. Pendedahan Alexander The Great adalah Zulqarnain
Siapa Socrates? Beliau adalah guru kepada Plato. Dan Plato adalah guru kepada Aristotles. Alexander adalah anak murid kepada Aristotles. Mungkin semua tahu nama-nama ini. Tetapi, buku ini telah mendedahkan 'teori' keimanan Socrates, Plato, Aristotles dan Alexander. Malah, mengikut sejarah Socrates dihukum bunuh dengan cara meminum racun (pada zaman tersebut, meminum racun secara sukarela adalah satu cara hukuman bunuh yang dikenakan oleh mahkamah). Socrates dihukum bunuh kerana kepercayaannya terhadap monotisme (iaitu menyembah Tuhan yang Esa). Pada zaman Yunani, paganisme iaitu dengan penyembahan kepada multi Tuhan (berhala) merupakan anutan mereka. Kepercayaan Socrates yang menongkah arus itu menyebabkan pemerintah Yunani ketika itu merasakan ajaran Socrates membahayakan minda generasi muda mereka.

Malah yang lebih memeranjatkan, pendedahan buku ini juga mengaitkan Socrates dengan Lukman al-Hakim (nama yang disebut-sebut dalam Al-Quran, namun sehingga kini tidak pernah dapat dikaitkan dengan sesiapa dalam lipatan sejarah).

Lantas saya membeli sebuah buku lagi yang bertajuk Conversations of Socrates yang ditulis oleh Xenophon (seorang Yunani yang hidup dalam lingkungan masa Socrates-Aristotles). Secara jelas, ia menceritakan tentang kepercayaan dan keimanan Socrates di dalam memperjuangkan kepercayaan monotismenya.

Ya, selama ini kita telah banyak dimomokkan oleh tulisan barat-yahudi yang memesongkan fakta sejarah mengenai tokoh-tokoh zaman dahulu, dengan tidak menceritakan fakta sebenarnya. Maha Besar Allah kerana telah menurunkan Al-Quran untuk membetulkan fakta-fakta salah yang dipesongkan oleh sarjana-sarjana yahudi mahupun yunani itu sendiri.

Wednesday, June 2, 2010

Buku terbaru Alexander adalah Zulqarnian


Baru membeli buku kedua tulisan Muhammad Alexander (penulis bestseller Yakjuj Makjuj). Lebih tebal dan tentunya dapat merungkai 1001 misteri kewujudan nama Iskandar Zulkarnain dalam Al-Quran. Juga nama Alexander The Great yang selama ini dikatakan tidak dikaitkan langsung dengan Iskandar Zulkarnain. Baru merangkak-rangkak membaca buku kedua ini. Maka, terpaksalah menepi beberapa buah buku yang sedang dibaca serentak! nanti ulas lagi...

Sunday, May 2, 2010

Buku-buku yang perlu dibaca


Agak banyak buku yang perlu dibaca dan dihabiskan. Mulanya tidak sebanyak sebegini. Tetapi akibat kerakusan 'nafsu' untuk mendapatkan juga buku-buku ini di pasaran, akhirnya timbunan buku-buku menutup facade meja belajar saya.

Terasa mahu meluangkan masa 24 jam setiap hari untuk menekuni buku-buku ini. Tapi apakan daya, banyak lagi kerja kehidupan yang perlu dilangsaikan!!

Thursday, April 15, 2010

Bahang 23hb

23hb adalah sambutan Hari Buku Sedunia dan Hakcipta. Setakat ini, apa yang saya dimaklumkan sudah terdapat 2 program yang akan diadakan pada hari tersebut di dua buah institusi: Perpustakaan Kuala Lumpur dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pujian kepada kedua-dua institusi ini kerana berusaha dalam menggerakkan gerakan membaca dengan lebih proaktif. Kedua-dua program ini akan membicarakan perihal buku dan gerakan membaca.

Tetapi malangnya, apabila saya cuba 'google' perkataan Hari Buku Sedunia 2010, tidak banyak maklumat mengenainya di Malaysia. Berbeza dengan Indonesia. Buku dan gerakan membaca sudah menjadi bualan ramai, terutamanya bloggers. Gerakan mereka lebih merakyat dan juga telah diinstitusikan.

Mungkin perlu lebih usaha untuk memartabatkan budaya membaca di Malaysia!

Tuesday, April 13, 2010

Majalah dalam Buku

Apa yang akan ada lakukan apabila kapal terbang yang ditunggu-tunggu tak muncul-muncul? Ada yang akan makan apa sahaja yang ada di lapangan terbang, minum-minum, berinternet, dan membaca! Tentunya dalam suasana yang agak stress ini, majalah mungkin sebagai bahan bacaan ringan yang patut dibeli dan dibelek.

Sempat saya membeli sebuah buku bertajuk Up for Renewal di Johor Baharu pagi tadi. Buku yang ada kaitannya dengan majalah. Bezanya, penulis itu (Cathy Alter) tidak mengaitkan majalah dengan menunggu kapal terbang yang tidak muncul-muncul. Sebaliknya menjadikan majalah sebagai 'penghibur' dirinya yang telah bercerai, banyak hutang dan belum berjumpa lelaki idamannya sebagai pengganti suaminya itu.

Sebuah buku yang agak 'kasar' penulisannya. Apatah lagi ditulis oleh seorang wanita. Namun, dalam masa luang yang amat banyak di lapangan terbang, terpaksa juga saya telaahnya. Ada sesuatu yang menarik tentang buku ini disebalik perkataan yang digunakan oleh penulis.

Beliau mengupas setiap satu majalah yang dilangganinya sebagai usaha melepaskan dirinya daripada belenggu masalah kehidupannya. Namun begitu, saya tidak syorkan kepada masyarakat Malaysia untuk membacanya, terutamanya bagi mereka yang di bawah umur! hahaha

Friday, April 2, 2010

Nombor Sempurna

Salah-satu fakta matematik yang menarik dari buku TMWLON ini ialah 'sejarah nombor-nombor' seperti nombor sempurna (perfect number), nombor tunggal dan sebagainya.

Nombor 6 adalah nombor sempurna yang pertama. Syaratnya, ia boleh dibahagikan sempurna dengan nombor-nombor 1, 2 dan 3 (6 bahagi 1= 6, 6 bahagi 2 = 3 dan 6 bahagi 3 = 2) tanpa berbaki, dan nombor 6 juga adalah hasil tambah bagi nombor-nombor 1, 2 dan 3! (1+2+3=6).

Manakala nombor 28 adalah nombor sempurna yang kedua. Ia boleh dibahagikan sempurna dengan nombor-nombor 1, 2, 4, 7 dan 14; dan apabila ditambahkan semua nombor tersebut (1+2+4+7+14=28) hasilnya kembali kepada nombor 28.

Menurut buku ini, orang Kristian juga percaya bahawa dunia ini dibina oleh Tuhan dalam masa 6 hari, dan bulan mengelilingi bumi dalam masa 28 hari.

Menurut St. Augustine: Six is a number perfect in itself, and not because God created all things in six days; rather that the inverse is true; God created all things in six days because this number is perfect. And it would remain perfect even if the work of the six days did not exist!

Yang pasti; dalam Al-Quran (Surah Hud; ayat 7):

"Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam (6) masa, sedang Arash-Nya berada di atas air...."

Surah al-Hadid; ayat 4:

"Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam (6) masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arash; Dia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan".

Masya Allah!

Thursday, April 1, 2010

Membaca Matematik

Dalam kepeningan memilih buku yang mana satu perlu dibaca dahulu, akhirnya saya memilih sebuah buku yang telah agak lama dibeli (di Borders) yang bertajuk The Man Who Loved Only Numbers: The Story of Paul Erdos and The Search for Mathematical Truth (TMWLON)

Sebuah buku biografi. Tentunya genre yang amat saya minati. Buku ini dibeli di Borders, ditemui di bahagian sains. Saya mungkin tidak lagi mampu untuk 'membaca' buku matematik. Matematik (tulen) telah lama saya tinggalkan, setelah SPM langsai!

Namun begitu, saya berminat untuk kembali membaca buku yang cuba merungkai matematik dari sudut yang berbeza.

TMWLON cuba merungkai sejarah hidup Erdos, seorang genius matematik. Yang sepanjang hidupnya (telah meninggal dunia) mendambakan dirinya hanya untuk merungkai seberapa banyak masalah matematik. Sama ada yang berprofil tinggi mahupun masalah matematik peringkat kanak-kanak.

Sifatnya juga telah dipengaruhi oleh subjek matematik. Beliau tidak berumah. Tidak berkeluarga. Tidak berpekerjaan tetap. Tetapi pendambaan kepada matematik itu telah menjadikan beliau seorang yang terkemuka.

Mungkin tidak adil untuk saya merungkaikan isi penting buku ini buat masa ini kerana pembacaan saya masih belum selesai...apatah lagi diganggu oleh buku-buku yang baru saya beli dari PBAKL tempoh hari!!!

Insya Allah, akan dirungkai lagi tentang buku ini di lain lembaran.....

Saturday, March 27, 2010

Hasil tangkapan dari PBAKL


Saya hanya berkesempatan ke PBAKL sekali sahaja tahun ini. Mungkin faktor belanjawan menjadi penghalang utama untuk ke sana pada awal minggu ia dibuka. Dan faktor kesesakan pada hari-hari terakhir ia berlangsung. Apatah lagi dengan kesesakan yang dijangka berlaku pada hari ini, bersempena dengan mesyuarat agung pertama PERKASA yang berlangsung pagi tadi.

Namun begitu, lawatan ke PBAKL semalam tidak menghampakan. Saya hanya membeli dua buah buku baru dari gerai PENGUIN. Tetapi bukan buku-buku itu yang istimewa.

Sebaliknya pembelian dari gerai Arkib Negara amat bermakna. Dengan RM50, saya berjaya membawa pulang 10 buah buku ucapan Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir. Yang mungkin tidak akan dapat dijumpa atau dibeli dari kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Malah, dengan potongan 70% untuk setiap buku yang berkulit keras dan 'tidak berwajah' itu memang berbaloi untuk nilai wang saya.

Sekiranya buku-buku ini dibeli dari Arkib Negara selain dari promosi sempena PBAKL, kata penjualnya, harga asal setiap satunya lebih daripada RM20. Sebaliknya dengan potongan 70% itu, hanya RM3.00 lebih saya sudah mampu tersenyum puas!!

Tentu banyak yang boleh dipelajari daripada setiap ucapan bekas-bekas perdana menteri kita ini. Ucapan-ucapan yang disimpan rapi di Arkib Negara ini tentunya dapat saya gunakan semula untuk menguatkan hujah-hujah penulisan saya nanti.

Bukankah tema PBAKL 2010 ini bertemakan Buku: Lakaran Masa Hadapan?!

Saturday, March 20, 2010

Impian di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 sudah bermula. Namun belum berkesempatan untuk ke sana. Ongkosnya pun perlu dicari terlebih dahulu sebelum dapat memijak masuk PWTC, kalau tidak mungkin sia-sia ke sana untuk hanya menjamu mata!

Itu selingan, sehingga pesta buku itu diselongkar masuk dan dikhatam buku-bukunya. Saya tidak bercadang mahu bernostalgia tentang pesta buku ini yang sudah hampir 10 tahun tidak pernah saya melepas ruang waktu untuk memasukinya kecuali pada tahun-tahun saya tidak di Malaysia untuk tujuan pengajian dahulu.

Impian saya tahun ini adalah untuk mendapatkan buku-buku yang lebih berkualiti, tidak semestinya baru diterbitkan tetapi membantu untuk saya memasuki dunia ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam.

Saya inginkan buku-buku yang jujur. Ditulis dengan berkesan, tidak semestinya cantik pada kulit (walaupun saya akui kadang-kala saya tertarik pada kulitnya sebelum saya cuba menyentuh isinya!) tetapi isinya dikupas dengan baik seperti siri tulisan atau buku Malcolm Gladwell di mana buku-bukunya diterbit ringkas dengan kulit buku berwarna putih yang menjadi trademark penerbitannya.

Saya juga inginkan pesta buku kali ini benar-benar berfungsi sebagai pesta buku, dan bukannya pesta untuk menjual barangan lain seperti pengajian bahasa atau tempat ulat berkumpul untuk memaksa pengunjung termakan buah epal yang cuba dijual mereka.

Saya inginkan jumlah pembelian buku oleh pengunjung bertambah dari pesta ini. Tetapi pastinya bukan dengan nilai ringgit yang dibelanjakan kepada buku atau bahan bacaan yang tidak berkualiti. Mungkin ada yang tidak bersetuju bahawa bahan bacaan perlu disaring kerana mungkin percaya rakyat Malaysia perlu membaca apa sahaja terlebih dahulu untuk menjadikan amalan membaca itu sebagai satu budaya. Memang benar, tetapi hanya benar pada peringkat permulaan pembudayaan membaca. Kita seharusnya sudah berada di peringkat ketiga, iaitu peringkat pemerkasaan pembudayaan membaca. Rakyat Malaysia sudah perlu dididik untuk memilih judul dan jenis bahan bacaan (dalam konteks ini - buku) yang berkualiti, lantas dididik pula untuk membaca secara kritis. Kerana dalam dunia akhir zaman ini, fitnah adalah virus yang menyebabkan manusia itu bernanah menahan sakit.

Mungkin terlalu banyak impian saya sebagai seorang insan yang kerdil untuk mengharapkan sesuatu yang besar berlaku di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat Islam. Tetapi impian-impian saya ini dari pesta buku yang sedang berlangsung ini bukanlah hanya satu impian sebagai seorang biblioholist atau mangsa kapatalisme, sebaliknya amat risau dengan apa yang sedang melanda negara kita dari segi keruntuhan akhlak generasi terkini, dan mungkin jika tidak dibendung - keruntuhan institusi kekeluargaan! Dan jika tahap itu melanda Malaysia, kita mungkin sudah terlambat sepertimana apa yang telah berlaku di US dan UK!

Buku mungkin bukan jawapan yang mutlak kepada penyelesaian epedemik sosial di negara kita, namun ia juga tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa mengambilkira pentingnya buku yang berkualiti dan berilmu dalam usaha penyekatan elemen negatif itu. Ia tetap membantu, malah sepertimana yang sering didengar (dan mungkin tanpa difahami secara mendalam), Iqra' - merupakan usaha pertama untuk menghapuskan elemen jahiliah dalam tamadun manusia!

Pesta buku ini adalah penentunya (dan pasti sekali lagi, ia bukanlah penentu yang mutlak!), namun saya yakin ia adalah penentu yang pasti untuk menjadi benteng pertahanan kepada manusia daripada sesat ke jalan kesesatan dan menjadi pembimbing kepada keimanan. Dengan syarat buku itu berkualiti dan berilmu! Pesta ini perlu juga berkualiti dan berilmu!!

Saturday, March 6, 2010

Kumpulan Membaca di Universiti


Tanggal 5hb Mac yang lepas merupakan satu lagi detik sejarah yang berlangsung di dalam gerakan membaca di Malaysia. Sebuah kumpulan membaca (reading group) telah berjaya dibentuk. Walaupun baru berjumlah 10 orang, namun ia satu petanda yang baik. Konsep reading group ini pernah saya kupas di dalam majalah milenia muslim dua tahun yang lalu. Ia merupakan satu gerakan membaca yang telah mendominasi budaya membaca di UK dan US. Kumpulan membaca yang ditubuhkan di universiti tempat saya mengajar ini pula telah disesuaikan dengan budaya dan iklim Malaysia. Penubuhannya ini akan kemudiannya diharap dapat menjadi pencetus kepada penubuhan kumpulan membaca di merata tempat di Malaysia.