Monday, December 22, 2008

Mengembara ke JB

Hari Jumaat yang lepas, saya menemani sahabat, Khul bersama Jasa, mengembara (atau lebih sopan, kembali ke pangkuan UTM) ke JB dan menemui Prof. Dr. Mohd. Tajuddin, 'Guru Malaysian Architecture'. Sempat membeli beberapa buah buku terbitan UTM.

Thursday, December 18, 2008

Hadi dan Doraemon



Alhamdulillah, anak lelaki saya, yang sekarang berusia 5 tahun sudah habis membaca sebuah buku komik (Doraemon). Dan sekarang sedang membaca buku kedua, setelah saya belikan sirinya. Walaupun mungkin tidak faham sangat apa yang ditulis, tetapi semangat membacanya memang memuaskan hati saya. Dia nampak begitu bernafsu membaca, dan Insya Allah, akan saya beli lagi dan lagi..untuk terus dibacanya.

Tuesday, December 16, 2008

Masyarakat berinovasi

Satu ketika dahulu, semasa di tahun 2 pengajian saya di universiti, saya bersama 4 rakan yang lain menubuhkan PEMISIS, iaitu singkatan kepada Kumpulan Pemikir Siswa. Tujuan utama kami menubuhkannya adalah untuk mewujudkan satu gelombang positif di kalangan para siswa/siswi di universiti kami. Aktiviti mingguan yang dibuat adalah perhimpunan 2 jam setiap dua minggu. Kami bertemu di kelas kosong, dan berbincang mengenai pelbagai perkara. Hasilnya, ada di antara kami menjadi Presiden MPP, menerbitkan risalah mingguan, yang menjadi gelombang pertama diterbitkan di fakulti dan juga masjid. Alhamdulillah, semua usaha itu sudah menampakkan kejayaan.


Kini, sudah hampir 10 tahun lebih berlalu. PEMISIS sudah tiada. Mungkin kerana tiadanya keseinambungan di antara senior dan junior, walaupun pada ketika itu dua tiga batch junior turut sama dididik oleh PEMISIS. Namun, semangat untuk melihat rakyat Malaysia berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi terus membara.

Salah-satu berita gembira, ialah apabila Yayasan Inovasi Malaysia ditubuh dan diperbadankan. Yayasan Inovasi Malaysia yang diperbadankan pada 20 Oktober 2008, yang kemudiannya diluluskan Kabinet pada 7 November, dan seterusnya dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini merupakan inisiatif kerajaan terkini untuk berusaha mencapai taraf negara maju dalam acuannya sendiri, seperti yang telah termaktub di dalam Wawasan 2020.


Pentingnya budaya inovasi digerakkan di dalam sesebuah negara, bukan sahaja untuk merekacipta teknologi terkini, ataupun barangan yang dapat memenuhi kehendak manusia, malah budaya inovasi harus digunakan dalam konteks yang lebih luas.


Ada beberapa buah buku yang selalu saya rujuk ketika menyelesaikan disertasi master saya beberapa tahun yang lalu. Antaranya Lansley, P. (1996), Innovation: The role of research, education and practice, QA Research (1997), Innovation & Success: Who needs market research?, The Idea Book: Improvement Through TEI (Total Employee Involvement) edited by the Japan Human Relations Association.


Itu antaranya. Sekarang saya sedang menanti, dan melihat perkembangan tentang kewujudan yayasan ini. Semoga ia tidak menjadi satu lagi projek gajah putih!!


Saturday, December 13, 2008

Jualan Buku Akhir Tahun Gerak Budaya


Belum pernah dengar apa itu Gerak Budaya. Mungkin juga penerbit. Dapat jemputan melalui facebook mengenai Jualan Buku Akhir Tahun, yang akan berlangsung dari 26-30 Disember 2008. Diskaun hingga 90%! Bertempat di Gerakbudaya, 11, Lorong 11/4E, Petaling Jaya.

Buku terbaru Menteri-menteri Malaysia 1955-2008

Terbaca satu berita di Utusan Malaysia hari ini (dalam ruangan Utusan Kota - Berita Setempat), Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) akan menerbitkan sebuah buku berjudul Menteri-menteri Malaysia 1955-2008. Buku ini akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 27 Januari 2009 nanti.

Friday, December 12, 2008

Header baru

Terima kasih kepada Jasasikin The Che'ques kerana menghadiahkan saya dengan header baru kat atas....

Menulis di media massa

Beberapa waktu kebelakangan ini, saya banyak menghabiskan masa membaca akhbar (secara serius – dari muka depan ke muka belakang), terutamanya di ruangan rencana. Juga beberapa buah majalah, seperti Dewan Kosmik, Dewan Masyarakat, Millinea Muslim serta jurnal PEMIKIR.


Dari pemerhatian saya, dapat saya lihat satu perkembangan positif, di mana kebanyakkan rencana yang ditulis sama ada di akhbar mahupun majalah, ditulis oleh pensyarah-pensyarah dari pelbagai universiti. Ini memperlihatkan satu gelombang ilmu yang baik sekali.


Sebagai seorang pensyarah, tugas mereka terangkum di dalam 6 bahagian, ataupun lebih dikenali sebagai 6P. Iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Perundingan, Perkhidmatan kepada masyarakat, Pentadbiran dan Penulisan (Penerbitan). Walaupun masyarakat melihat kerjaya sebagai seorang pensyarah tampak begitu mudah, yang mungkin pada persepsi masyarakat, pensyarah hanyalah bertugas untuk mengajar. Namun, apabila dilihat kepada 6P itu, tentulah secara keseluruhannya ia nampak lebih berat dan mencabar.


Salah-satu tugas pensyarah adalah menulis. Penulisan bukanlah sekadar bererti menulis di jurnal-jurnal (yang selalunya dipinta oleh setiap universiti sebagai sasaran kerja), malah menulis di media massa juga perlu diteruskan supaya ilmu yang dipelajari dan diajari di universiti lebih bersifat terbuka dan dimasyarakatkan.


Sepertimana yang pernah saya tulis di dalam Dewan Sastera tempoh hari, menulis bukannya satu perkara yang mudah, walaupun kepada penulis mapan. Ia adalah perkara yang paling sukar untuk dilaksanakan. Seseorang penulis perlu berilmu. Ilmu yang didapatinya itu perlu pula pernah diamalkannya. Kerana itulah acapkali bijak-pandai kita mengatakan bahawa mata pena itu lebih tajam daripada sebilah pedang.


Menulis merupakan hierarki ilmu paling tinggi bagi saya. Bermula dengan membaca, beramal dan kemudiannya menulis. Sekiranya seseorang itu mampu menulis, tentunya beliau telah mencapai pusingan ilmu yang lengkap, sebelum ia bermula semula dengan membaca.


Saya sendiri akan terus menyokong penerbitan tempatan, sama ada akhbar mahupun majalah-majalah. Dan saya juga akan terus menulis, dan berharap rakan-rakan seperjuangan, sama ada pensyarah, guru mahupun rakan-rakan blog untuk terus menulis. Dan sekiranya mahu terus kehadapan, hantarlah ke media massa untuk diterbitkan supaya penulisan itu akan dapat dibaca oleh masyarakat, lantas menghidupkan lagi budaya ilmu di Malaysia.

Thursday, December 11, 2008

Kempen membaca

BERITA TERBARU HARI INI

Pintu ke pintu strategi baru untuk jayakan kempen membaca
11/12/2008 12:48pm (SUMBER UTUSAN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR 11 Dis. — Mulai tahun depan, petugas kakitangan perpustakaan akan mengunjungi rumah-rumah di kawasan luar bandar untuk menawarkan pinjaman buku kepada penduduk luar bandar.

Strategi “pintu ke pintu” itu akan dilaksanakan di kawasan perumahan luar bandar di sekitar perpustakaan desa bagi menyuburkan budaya membaca di kalangan rakyat terutama di kalangan masyarakat luar bandar, kata Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Teng Boon Soon.

“Kita mendapati bilangan pembaca yang menggunakan kemudahan perpustakaan desa memang jauh daripada memuaskan.

“Cara itu (pintu ke pintu) dilihat dapat mempertingkatkan pembudayaan membaca di kalangan masyarakat luar bandar,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk mengadakan kempen membaca secara agresif kepada masyarakat desa supaya tidak terus ketinggalan.

Teng berkata terdapat 1,089 buah perpustakaan desa di seluruh negara. - Bernama

Terus saya teringatkan sebuah buku yang bertajuk The Mobile Library: The Case of Missing Books, tulisan Ian Sansom. Sebuah novel satira yang mesti dibaca oleh setiap pustakawan.

Tuesday, December 9, 2008

Membaca jurnal PEMIKIR

Selesai membaca Jurnal PEMIKIR keluaran Oktober – Disember 2008. Terdapat 10 artikel. Berbekalkan dua buah artikel berkaitan dengan pengajaran bahasa inggeris di dalam subjek sains dan matematik, menjadikan ia isu utama yang dibincangkan di dalam PEMIKIR kali ini. Salah-sebuah artikelnya yang bertajuk Asas Pembangunan Bahasa Kedua, tulisan Harison Mohd. Sidek, membicarakan kepentingan membaca sebagai salah-satu jalan penyelesaian yang berkesan untuk membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris, iaitu bahasa kedua pentingnya di Malaysia. Menurut Harison, membaca boleh membantu para pelajar menguasai sesuatu bahasa dengan lebih berkesan, jika dibandingkan dengan hanya melalui perbualan atau pendengaran. Ini adalah kerana dengan membaca, para pembaca sesuatu teks didedahkan kepada tatabahasa dan perkataan-perkataan yang lebih tersusun, lantas memudahkan penguasaan bahasa itu.


Yang menariknya, Harison juga mempertikaikan kaedah penguasaan bahasa Inggeris melalui pengajaran sains dan matematik, yang menyoal sudahkah pelajar-pelajar yang terlibat di dalam implementasi bahasa kedua bagi sains dan matematik ini menguasai bahasa Inggeris secara umumnya melalui pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua?


Pada hemat saya, mengapa pula kita terlalu mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu sehingga menganaktirikan bahasa ibunda kita sendiri. Tidak salah menguasai 1001 bahasa sekalipun, jika ia dapat mengangkat martabat sesuatu bangsa yang boleh menguasai pelbagai bahasa lantas dapat menyerap sebanyak-banyak ilmu pengetahuan dari segala pelosok dunia. Memang benar bahasa Inggeris perlu dipelajari, namun bahasa-bahasa lain juga perlu turut dipelajari, sepertimana yang pernah ditulis oleh Za’ba, yang ingin melihat orang Melayu juga dapat menguasai bahasa Cina dan India. Betapa ruginya kita yang hidup dalam masyarakat majmuk, sekiranya bahasa jiran sebelah rumah pun kita tidak dapat menguasainya, apatah lagi bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Namun, bahasa Melayu sebagai tonggak keagungan bangsa Melayu perlu terus diperkasakan.


Penguasaan beberapa jenis bahasa ini, dapat pula sekiranya memperkasakan bahasa Melayu itu sendiri. Kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan...., memang ada benarnya.


Manakala dalam satu lagi artikel yang ditulis oleh Tan Yao Sua, bertajuk Generasi Pertama Hadapi UPSR, mengemukakan beberapa tulisan sarjana-sarjana yang mempertahankan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, misalnya Szepe (1984: Mother Tongue, Language Policy and Education) berkata bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda merupakan satu hak asasi manusia dan persoalan pokok tentang bahasa ibunda bukan berkait dengan sama ada bahasa ibunda perlu digunakan, tetapi bagaimana bahasa ibunda perlu digalakkan.


Malah Tan juga cuba mengaitkan perhubungan antara bahasa pertama dengan bahasa kedua, di mana beliau percaya kedua-dua bahasa ini saling bergantung antara satu sama lain.

Saturday, December 6, 2008

Mengemaskini bacaan


Sudah disember. Hampir mengakhiri 2008. Saya cuma mampu membaca sebuah buku sebulan. Walaupun masih terlalu banyak buku yang belum dibaca, masih tersimpan di rak dan di atas lantai di bilik pejabat saya.

Antara buku yang masih dibaca:
  1. The World is Flat
  2. Dilema Melayu
  3. Four Arguments for the Elimination of Television
  4. Teknologi Jepun
  5. A History of Reading
  6. Jurnal PEMIKIR Oktober - Disember 2008
Semuanya dibaca serentak!

Hari ini membaca majalah Dewan Kosmik Disember 2008. Antara tulisan (mesti dibaca) saudara Mohd. Faizal Azizi (sahabat maya yang boleh diakses melalui http://mundarmandi2.blogspot.com yang sekarang tinggal di Canada), menulis tentang Robot Serangga Terbang.


kulit buku dari blog saudara anuarmanshor

Jurnal PEMIKIR pula, yang mesti dibaca setiap 3 bulan sekali pula membicarakan mengenai isu penggunaan bahasa inggeris di dalam subjek matematik dan sains....oh ya, editornya, yang juga sahabat buku saya, saudara Zin Mahmud diberitakan hari ini dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Mingguan Malaysia, tahniah!! Tentunya apabila 'orang buku' menerajui sesebuah penerbitan akhbar, pastinya menghidupkan semula budaya ilmu.

Manakala seorang lagi sahabat saya di Utusan Malaysia, kak Noraini Razak, yang sebelum ini bertanggungjawab sebagai Penolong Pengarang Rencana turut dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Berita. Tahniah kak!

Friday, December 5, 2008

Buku baru yang terpakai

Tadi pagi ke Subang Jaya, seperti biasa pada setiap bulan mengunjungi Payless yang mengadakan jualan murahnya. Ini senarai buku yang telah dibeli tadi:
  1. China Men (Maxine Hong Kingston)
  2. Heritage of Western Civilization (John L. Beatty/Oliver A. Johnson)
  3. The Gangs of New York (Herbert Asbury)
  4. Things Fall Apart (Chinua Achebe)
  5. Robot Riots (Alison Bing and Erin Conley)
  6. How to Clean Practically Anything
  7. How to Make the World a Better Place (Jeffrey Hollender) --- tak ingat sama ada sudah dibeli sebelum ini atau tidak
  8. Spin Cycle: How the White House and the Media Manipulate the News (Howard Kurtz)
  9. Capitalism vs. Capitalism (Michel Albert)
  10. The Technological Society (Jacques Ellul)
  11. Africans and Their History (Joseph E. Harris)
  12. Art as Experience (John Dewey)
  13. The Story of A Shipwrecked Sailor (Gabriel Garcia Marquez)
  14. Netscape Time: The Making of the Billion-Dollar Start-Up That Took on Microsoft (Jim Clark)

Wednesday, December 3, 2008

Program kompos





Saya pernah menulis tentang mengkompos sampah makanan di Utusan Malaysia beberapa bulan yang lalu, yang bertajuk Memulakan Program Kompos di Rumah. Ia adalah hasil daripada pembacaan saya terhadap beberapa buah buku yang disebut di dalam artikel itu.

Saya turut memulakan sendiri program kompos ini, setelah program recycling di rumah telah berjaya. Hasil daripada program kompos ini yang telah dijalankan beberapa bulan yang lalu, telah menampakkan hasilnya. Dua kotak kompos pertama yang saya gunakan telah digunakan kembali setelah sampah makanan menjadi baja. Dan salah-satunya telah digunakan untuk ditanam pokok cili dan sayur-sayuran.

Kini, saya telah menambah satu lagi hobi iaitu berkebun. Dan dengan cara ini, dapat juga saya mengurangkan perbelanjaan dapur, di samping sebagai satu aktiviti yang sihat.