Wednesday, September 30, 2009

Majalah Sains dot Com

Belum berkesempatan untuk memperkenalkan majalahsains.com, kelolaan rakan saya yang sekarang berhijrah ke Kanada.

Menariknya kerana ia merupakan e-majalah, yang keduanya kerana ia berintikan sains dan teknologi. Yang ketiganya, semua dialu-alukan untuk menghantar karya-karya ke sana dengan mudahnya.

Terdapat 12 kategori: Alam Sekitar, Astronomi, Bicara Saintis, Biologi dan Kesihatan, Fizik, Kimia, Komputer, Matematik, Resensi Buku, Sejarah dan Falsafah, Teknologi dan Kejuruteraan, Tokoh.

Semoga usaha murni ini sentiasa mekar dan terus berkembang....

Thursday, September 17, 2009

Yakjuj Makjuj

Buku ini saya beli semalam di MPH Jayajusco Wangsa Maju. Sebenarnya rakan sebelah bilik saya yang mempromosikan buku yang sedang dibacanya itu. Memang menarik dan wajib dibaca oleh setiap umat Islam. Bukan kerana ia bersifat misteri (yang selalunya memang diminati oleh bangsa Melayu (satu persepsi)), sebaliknya ia adalah satu fakta yang perlu diketahui. Al-Quran dan Hadis menyebut tentang Yakjuj Makjuj dan Iskandar Zulkarnain. Maka kita wajib mengetahuinya.

Buku ini khabarnya telah diulangcetak 4 kali tahun ni, menjadikannya salah-satu bestseller (yang telah terjual 10,000 naskhah). Rakyat Malaysia telah membaca. Dan tahniah kepada PTS kerana terus mengungguli penerbitan buku-buku berbahasa Melayu. Sebagai pembaca, saya akan terus menyokong, dan terus mempromosi usaha yang baik ini.

Wednesday, September 16, 2009

Minat koleksi buku masakan

Saya memang meminati rancangan AFC (Asian Food Channel). Malah, sebelum ini semasa di Scotland, sepanjang hari saya akan hanya duduk menonton UKFood Channel. Apabila pulang ke Malaysia, yang pada ketika itu AFC belum disiarkan, saya tercari-cari akan alternatif. Akibatnya, saya memilih buku-buku masakan/resepi sebagai koleksi.

Antara koleksi buku masakan/resepi yang tersusun rapi di rak rumah saya termasuklah hasil tulisan Hugh Fearnley-Whittingstall yang pernah saya tulis mengenai beliau di dalam Utusan Malaysia satu masa dahulu.

Namun begitu, saya kini agak cerewet apabila membeli buku masakan/resepi. Walaupun Malaysia tidak kurang dengan buku-buku sebegitu, namun kebanyakkannya saya lihat agak hambar: pemilihan jenis kertas yang tidak sesuai, fotografi yang tidak menarik, selain daripada rekaletak dan rekasusun resepi dan gambar yang tidak sesuai. Begitu juga bukan semua buku masakan/resepi dari luar negara itu tergolong dalam buku yang menarik. Tidak semua dapat memancing minat saya.

Tetapi, apabila saya ke MPH hari ini, ke bahagian buku masakan, saya terpandang akan sebuah buku resepi tulisan Datin Seri Raihan Abdul Rahman, A Taste of Batu Gajah. Walaupun agak mahal (memang kebanyakkan buku masakan itu mahal), namun ciri-ciri buku masakan/resepi yang diinginkan itu ada padanya. Walaupun resepi yang dihidangkan itu adalah segala jenis masakan kampung yang kebiasaannya terhidang di atas meja rumah-rumah kita, namun persembahannya yang nampak 'mengiurkan' dan pemilihan warna kertas, warna foto dan jenis kertasnya memang memuaskan!

Saya kata kepada isteri saya semalam, akan kami hasilkan sebuah buku masakan/resepi yang diinspirasikan daripada dTaman69 sebagai pelengkap dokumentasi keluarga kami - dari utara dan selatan, sambil mengambil contoh daripada A Taste of Batu Gajah ini, pastinya.

Tuesday, September 15, 2009

Sunday, September 13, 2009

Laporan Berita Harian

Berita Harian telah menyiarkan laporan mereka mengenai Wacana Malaysia Membaca yang telah dianjurkan oleh UiTM tempoh hari. BACA.

Friday, September 11, 2009

Pengurusan Pembacaan - Bahagian 1

Semasa menjadi panelis Wacana Malaysia Membaca di UiTM tempoh hari, saya ada mencadangkan kepada fakulti untuk mencipta satu termenologi baru - Pengurusan Pembacaan. Saya percaya sekiranya kita masih memperkatakan tentang Kempen Membaca, kita tidak akan ke mana-mana di dalam usaha memartabatkan ilmu dan budaya membaca.

Kerana saya percaya, Kempen Membaca adalah langkah pertama di dalam pembinaan budaya membaca. Sudah sekian lama kita masih di tahap pertama ini. Padahal sudah berpuluh tahun kita masih berkempen. Sesuatu kempen bagi saya hanyalah bertujuan untuk mendedahkan maklumat sahaja. Memang benar, salah-satu objektif sesuatu kempen adalah untuk mengubah kelakuan dan persepsi. Memang benar, sesuatu pembinaan budaya perlu dimulai dengan kempen. Namun, sekiranya kempen tidak habis-habis digembar-gemburkan, yang padahal seharusnya langkah kedua dan seterusnya perlu dimulai untuk menjadikannya satu pembaharuan.

Kerana itulah, saya mencadangkan 2 termonologi baru: Gelombang Membaca dan Pengurusan Pembacaan. Gelombang Membaca adalah langkah kedua selepas kempen. Mengenai Gelombang Membaca ini pernah saya tulis untuk 2 keluaran majalah Milenia Muslim tahun lepas. Insya Allah, akan saya perincikan di Kembara Pencinta Buku ini nanti.

Sebaliknya Pengurusan Pembacaan adalah langkah jangkamasa panjang. Ia, seperti mana-mana bidang pengurusan lainnya, akan lebih bersifat saintifik. Lebih tersusun, dan perlu mempunyai elemen-elemen ilmu pengurusan. Juga akan saya perincikan di dalam bahagian lain kemudiannya.

dTaman69: kembar Kembara Pencinta Buku


Jemput lawat blog baru saya di alamat http://dtaman69.blogspot.com

Thursday, September 3, 2009

Hadiah teristimewa


Semalam saya memenuhi jemputan Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Puncak Perdana untuk menjadi panelist Wacana Malaysia Membaca, bersama-sama Dato' Jaafar Rahim. Tema wacana adalah berkaitan dengan Kegersangan Mahasiswa Membaca.

Terlalu istimewa bagi saya wacana ini kerana dapat bersama-sama Dato' Jaafar Rahim yang semasa remaja dulu seringkali saya mengikuti tulisan beliau di akhbar, terutamanya berkaitan dengan pemikiran kreatif. Keduanya kerana dapat memenuhi jemputan fakulti dan tentunya Shaharom TM Sulaiman. Ketiganya, kerana akhirnya dapat saya berhadapan dengan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus keperpustakaanan yang merupakan kelompok yang perlu menjuarai budaya membaca dan budaya berbuku (seperti kata-kata Dekan mereka ketika ucapan perasmian). Keempatnya kerana Pak Samad Said juga hadir untuk menceritakan pengalaman dan kehidupan sasterawannya dan turut berkongsi cerita mengenai buku-buku yang dibaca beliau, yang juga sedikit sebanyak mempengaruhi pemikirannya.

Dan tentunya istimewa bagi saya kerana dihadiahkan tiga buah buku. 2 buah buku hadiah dari fakulti, dan sebuah buku yang teristimewa dihadiahkan sendiri oleh Dato' Jaafar Rahim kepada saya.



Inilah hadiah-hadiah teristimewa bagi saya semalam.