Wednesday, December 26, 2007

Dragonflies of Peninsular Malaysia and Singapore


Entah macam mana berminat dengan pepatung (dragonflies) pula. Ia datang dengan kehadiran kamera Canon yang baru dibeli itu. Apabila pulang ke Perlis minggu lepas, antara subjek fotografi yang digemari adalah mengenai serangga ini.

Sewaktu menemani ayah ke Perpustakaan Negara isnin yang lalu, sempat singgah di Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Hajat di hati mencari buku-buku berkaitan dengan pepatung. Alhamdulillah, diketemukan dengan buku kecil ini (A Pocket Guide: Dragonflies of Peninsular Malaysia and Singapore, tulisan A.G. Orr). Ringkas sahaja bukunya. Tetapi informatif.

Menurut Dr. Orr, terdapat lebih 230 spesies pepatung di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Jumlah ini adalah 2 kali lebih banyak daripada jumlah spesies pepatung yang terdapat di Eropah. Dan buku kecil yang diterbitkan pada 2005 hanya merangkumi 98.7% sahaja daripada jumlah 230 spesies pepatung yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Yang menariknya tentang buku ini juga ialah lukisan-lukisan pepatung yang begitu cantik, yang dilukis sendiri oleh Dr. Orr. Di dalam penerangannya mengenai setiap pepatung yang dilukis itu, Dr. Orr juga cuba membantu pembaca/penyelidik untuk mengenali jenis pepatung, beserta jantinanya.

Tuesday, December 25, 2007

Ke Perpustakaan Negara

Semalam menemani ayah ke Perpustakaan Negara. Menandatangani perjanjian jual-beli buku-buku ayah, yang telah disenaraipendekkan untuk dibeli oleh Perpustakaan Negara. Yang menariknya, ia adalah satu skim untuk membantu para penulis. Buku-buku yang dibeli akan dibayar terus kepada pengarang, 100% mengikut harga asal buku tersebut. Kemudiannya para pengarang perlu pula membayar 70% daripada jumlah tersebut kepada penerbit, dan 3o% adalah hak pengarang. Selalunya, royalti sesebuah buku tidak lebih daripada 12% sahaja. 30% adalah sejumlah wang yang agak lumayan kepada seseorang pengarang.

Di Perpustakaan Negara, berkesempatan bertemu kenalan dan guru lama. Faizal Tehrani, yang juga satu batch dengan saya semasa mengikuti Minggu Penulis Remaja 1994 yang lalu. Juga satu batch pengajian penulisan di bawah kelolaan Puan Zaharan Nawawi, juga saya temui di pertemuan itu. Bertemu juga dengan Arif, anak puan Ainon, yang juga kenalan bukuonline.org.

Inilah dunia kedua saya. Penulisan dan buku. Dan tentunya saya begitu senang dengannya.

Friday, December 21, 2007

Sedang baca

Sedang membaca tulisan Prof. Hassan Langgulung. Buku lama. Pengenalan Tamadun Islam dalam Pendidikan.

Tuesday, December 18, 2007

Kegilaan baru


Buku belum berkubur...cuma masih beralih angin sekejap. Kini, tercari-cari buku mengenai fotografi yang lengkap tetapi mudah. Ada cadangan?

jemput lawat ke http://hasyun.fotopages.com

Saturday, December 15, 2007

Beralih angin sekejap

Telah lama saya impikan sebuah kamera SLR Digital. Masa bujang-bujang dahulu, pernah memiliki kamera-kamera SLR, tetapi pada masa itu semuanya manual. Dua buah kamera Canon dipinjam dari ayah, manakala sebuah Nikon pula dibeli dengan duit ayah juga. Tapi Nikon itu dicuri orang pula.

Semalam, dengan adanya duit sedikit hasil daripada projek perundingan saya dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya beli sebuah kamera SLR Digital baru...Canon 350D. Pada asalnya mahu membeli Nikon D40, tetapi habis stok kerana begitu popular. Sebagai seorang yang masih baru di dalam hobi ini, ternyata Canon 350D adalah antara yang terbaik.

Sepagian tadi, setelah menghantar isteri ke mesyuarat penandaan kertas SPM, terus menyelak-nyelak manual kecil yang diberi bersama 350D. Belajar sendiri. Boleh layari http://hasyun.fotopages.com untuk melihat hasilnya yang tak seberapa itu.

Tuesday, December 11, 2007

Pencarian ilham

Sudah lama tidak menulis di akhbar. Masih tercari-cari topik yang berkaitan. Kebanyakkan isu yang sedang hangat dibicarakan masa kini adalah berkaitan dengan hal-hal politik semasa. Dan inilah kelemahan dari aspek pembacaan saya, kurang membaca buku-buku politik. Maka disebabkan itulah saya kurang dan tidak mahu menulis tentang politik. Bukannya melarikan diri, tetapi kurang ilmunya.

Saya masih percaya untuk menulis, ia adalah bentuk tindakan ilmu yang tertinggi, iaitu setelah selesai membaca, selesai mempraktikkan ilmu dari pembacaan itu, cukup pengalaman, maka penulisan adalah akhiran kepada proses penerokaan ilmu itu.

Maka disebabkan itulah, saya sedang membaca sebuah buku lama yang ditulis oleh Prof. Dr. Hasan Langgulung yang bertajuk Pendidikan Islam dan Peralihan Paradigma. Buku ini telah lama saya miliki, juga telah lama memulakan pembacaannya, cuma tak terhabis-habis lagi.

Tuesday, December 4, 2007

Portal baru komuniti bukuonline.org

Portal baru komuniti bukuonline.org dilancarkan hari ini. Terima kasih kepada Dr. Abu Hassan (ketua dua bukuonline.org) yang telah merekabentuknya. Tentu sahaja hasilnya begitu memuaskan kerana Dr. Abu juga adalah seorang pensyarah media di Universiti Malaya. Semoga dengan wujudnya kembali rekabentuk baru bukuonline.org, ia akan mengembalikan semangat bukuonline.org untuk mewujudkan satu gelombang membaca di Malaysia.

Jemput lawat: http://www.bukuonline.org

Monday, December 3, 2007

Buku-buku yang perlu dibaca

501 Must-Read Books baru saya beli ketika pulang ke kampung di Batu Pahat, Sabtu yang lepas. Ketika melayani anak lelaki saya mencari buku ultramannya, saya pula terpandang sebuah buku yang agak tebal dan berwarna-warni. Buku ini dibeli di Popular Bookstore Batu Pahat, dengan harga RM59.90.

Ia adalah sebuah buku yang menghimpunkan ulasan-ulasan ringkas mengenai pengarang dan buku-buku yang dikategorikan sebagai 'wajib baca'. Walaupun terdapat banyak buku sebegini di pasaran, terutamanya di Borders, namun mungkin kerana 'keindahan' buku ini, juga rekaletaknya mudah untuk dibaca, terus saya beli.

Ia dibahagikan kepada 8 kategori buku, iaitu Children's Fiction, Classic Fiction, History, Memoirs, Modern Fiction, Science Fiction, Thrillers dan Travel. Setiap kategori ditulis dan diulas oleh beberapa pengarang.

Yang menariknya buku ini juga, selain daripada ulasan ringkas terhadap buku yang dipilih, ia juga memuatkan biodata ringkas pengarangnya, seperti nama si pengarang, tahun lahir dan mati, warganegara, maklumat ringkas mengenai buku yang diulas dan buku-buku lain yang ditulis pengarang tersebut.

Memoirs merupakan bahagian yang paling saya gemar, kerana saya memang gemar membaca buku-buku yang berkaitan dengan biografi dan autobiografi seseorang, syarikat dan produk.

Salah-satu daripada ulasan di bahagian memoirs ialah mengenai buku yang ditulis oleh George Orwell yang bertajuk Down and Out in Paris and London (DOPL), yang buku asalnya telah saya beli di Edinburgh dahulu, dah telah habis diratah. Orwell yang terkenal dengan Animal Farm dan Nineteen Eighty-four, telah menulis buku DOPL ini sebagai sebahagian daripada memoirnya yang juga bercampur aduk dengan fiction dan kadang-kala berbentuk esei. DOPL merupakan buku yang pertama ditulis oleh Orwell.

Menurut 501 must-read books ini, DOPL merupakan buku yang begitu penting di dalam sejarah kesasterawanan Orwell, kerana ia merupakan permulaan kepada penulisan buku-buku fiction yang berbaur politik tulisan Orwell yang lain.

Saya telah memiliki buku DOPL, Animal Farm dan Nineteen Eighty-Four. Dan kini saya ingin melengkapkan koleksi tulisan Orwell dengan mencari buku-bukunya yang lain: Burmese Days, A Clergyman's Daughter, Keep the Aspidistra Flying, The Road to Wigan Pier, Homage to Catalonia, Coming Up for Air.