Saturday, September 29, 2007

Media dan buku

Telah lama tak menonton TV1. Banyak juga maklumat yang disiarkan. Cuma, jika terpasang siaran-siaran lain di ASTRO, memang agak sukar untuk mengubah siaran.

Cuma tadi, terdengar siaran lagu membaca..tak terlihat pula tajuknya, dan siapa penciptanya. Dato' Wah Idris (ketika satu pertemuan dengan beliau tahun lepas) ada menyatakan bahawa sebuah lagu telah tercipta mengenai membaca. Mungkin juga itu lagu ciptaannya.

Peranan media amat penting di dalam proses pendidikan. Malangnya, umum mengetahui peranan media di Malaysia sebaliknya kurang ke arah itu. Tetapi bukan semuanya salah. Saya tidak pernah meragui peranan media di Malaysia di dalam membantu proses pendidikan di Malaysia berkembang. Masih ingat pada awal 80 an dulu, ketika TV masih ada 2 siaran, TVlah juga yang mewarnai proses pendidikan saya. Melalui program TV Pendidikan, banyak yang dipelajari. Tapi itu dulu, ketika ruang udara kita masih kurang di'cemari' proses globalisasi yang melampau.

Kini cabaran terlalu banyak. Sebagai seorang ayah, saya juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran ini untuk memastikan anak-anak saya tidak 'tercemar' dengan 'gelombang-gelombang terpesong' yang disiarkan 24 jam di TV. Tetapi, ada juga siaran yang begitu banyak manfaatnya kepada proses pendidikan anak-anak saya.

Seperti mana yang pernah diungkapkan oleh mantan PM, bahawa teknologi umpama sebuah pisau. Tajam. Dan ada banyak kegunaannya. Salah guna, negatif impaknya, betul gunanya, banyak pula kelebihannya.

Inilah cabaran ibu-bapa di alaf baru ini. Globalisasi ada baiknya, ada juga buruknya....

Jadi, apa hubungannya media dan buku? Seharusnya media dan buku tidak boleh diasingkan. Seharusnya media dipergunakan sepenuhnya (kerana kekuatan yang ia ada), untuk memastikan budaya membaca dapat diterapkan di dalam segenap masyarakat. Pasti ia bukannya satu perkara yang mudah.

Pengalaman ketika berada di luar negara beberapa tahun yang lalu, telah membuka minda saya. Misalnya, menerusi BBC1 (seperti RTM1 kita), tentunya begitu berinformasi. Yang menariknya, rancangan-rancangan TV yang popular itu telah dibukukan. Fungsinya telah dipelbagaikan. Malah program Big Read pada tahun 2003 yang lepas juga merupakan siri TV yang berjaya, yang telah memperlihatkan bahawa media boleh digunakan dengan jayanya untuk memastikan budaya membaca di dalam sesebuah masyarakat dapat digerakkan.

Monday, September 24, 2007

Mengapa perlu ambil peduli?

Antara persoalan yang sering ditanya oleh sahabat-sahabat saya, mengapa perlu ambil peduli terhadap masalah membaca di dalam masyarakat kita? Bukankah Malaysia sudah hampir pulih dari masalah buta huruf? Bukankah masyarakat sudah banyak membaca?

Jadi, apa masalahnya? Mengapa perlu ambil peduli jika semua jawapan di atas telah terjawab? Bagi saya, jawapan yang betul belum lagi terbukti benar. Apa alasannya?

Alasannya banyak. Antaranya masalah sosial yang berlaku. Ada pula yang mengatakan, masalah sosial bukannya masalah hasil dari tidak membaca. Malah, masyarakat barat yang terlalu banyak membaca pun banyak menimbulkan masalah masyarakatnya sendiri.

Jadi, tentunya ada yang masih tidak kena.

Pada saya, mungkin kerana hasil pembacaan itu tidak berkualiti. Banyak membaca 'sampah' daripada ilmu. Saya kutip kata-kata Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979, bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih '....membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu'.

Maknanya, pembacaan yang berkualiti adalah membaca bahan-bahan bacaan yang terpilih. Yang berilmu. Kerana dengan ilmulah, sesebuah masyarakat itu akan memilih kebenaran, dalam ertikata yang sebenarnya.

Memetik tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah untuk Kaum Muslimin:

Plato pernah menarik perhatian dengan menyatakan bahawa untuk seseorang menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan maka perlulah dia mempunyai ilmu yang lengkap pula mengenai bidang itu....

Friday, September 21, 2007

Shelfari, Bukuonline...dan Malaysia Menangis

Malaysia Menangis lagi...apabila berita tentang kehilangan kanak-kanak malang, Nurin, diakhiri dengan berita kematiannya. Al-Fatihah....semoga rohnya dicucuri Rahmat...dan semoga pembunuhnya dapat diberkas dan diadili seadil-adilnya di dunia dan di akhirat.

Mungkin kerana terlalu banyak berita di akhbar-akhbar masa kini yang memperlihatkan perlakuan 'aneh' rakyat Malaysia yang bertindak di luar batas kemanusian, maka terfikir dan terdetik di hati saya, apakah yang mampu kita sebagai salah-seorang dari masyarakat ini dapat kita bantu, atau adakah dengan menggunakan minat membaca itu dapat dijadikan salah-satu kaedah penyelamat bangsa? Persoalan-persoalan inilah yang berlegar-legar di minda, dan berkemungkinan akan saya lafazkannya ke dalam bentuk rencana. Insya Allah.

Minggu ini juga menemukan saya dengan 'kegilaan' baru di alam maya, mengaktifkan kembali 'permainan maya'. Jiwarasa telah memperkenalkan saya dengan Shelfari, iaitu salah-sebuah forum buku yang terkini. Mungkin ada gunanya nanti sebagai salah-satu alat yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat.

Malam ini pula, saya adakan mesyuarat bulanan bukuonline.org (malangnya ketua satu, Shaharom TM Sulaiman masih kurang sihat dan keadaan tidak mengizinkannya untuk bersama-sama). Cukuplah kami bertiga bersama Ali Dina dan Nal Azri. Membincangkan beberapa program terkini bukuoline.org untuk tahun ini dan awal tahun depan. Insya Allah, pada Disember nanti, bukuonline.org akan menganjurkan Siri Forum Penataran Bukuonline.org yang kedua, yang membicarakan tokoh Allahyarham Syed Hussien Al-Attas. Perinciannya akan dimaklumkan nanti di laman web bukuonline.org. Manakala pada awal tahun depan (2009), bukuonline.org akan menganjurkan Forum Malaysia Membaca 2008, dan Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-3.

Minggu yang sememangnya penuh petanda, dan minggu yang menjanjikan satu penyelesaian.

Wednesday, September 19, 2007

Salam Ramadhan, Salam Perkenalan

Assalammualaikum,

Salam perkenalan dan persahabatan kepada semua sahabat maya (yang baru dikenali atau yang telah lama berkenalan). Kiranya, ini adalah catatan tertunggak yang begitu lama difikir-fikirkan. Pernah dulu (pada 2003) saya telah menghasilkan siri catatan di dalam blog yang dikenali sebagai Catatan Seorang Pengembara. Dan begitu lama ia terhenti dan terbunuh sendiri dek kelewatan masa dan kealpaan saya sendiri.

Kini, setelah hampir 4 tahun berhempas pulas bekerja, tiba masanya untuk kembali menulis, membaca dan mendalami ilmu-ilmu pengetahuan yang tiada batasannya.

Insya Allah, penampilan kembali ini dengan memakai nama baru sebagai Kembara Pencinta Buku, yang sebenarnya begitu hampir dengan hati dan minat, untuk melihat bagaimana buku dan membaca dapat dijadikan sebagai satu budaya orang Malaysia yang hakiki. Ini perjuangan blog ini, juga merupakan perjuangan hakiki bukuonline.org sebagai tapak pergerakan budaya membaca dan budaya ilmu.

Insya Allah, bertemu lagi.

Wassalam